Tuesday, May 22, 2012

Breaking News! Mahkamah tetapkan 2 Julai perbicaraan Anwar, Azmin dan Chegu Bard.


Mahkamah Majistret Kuala Kumpur di Jalan Duta sebentar tadi telah menetapkan 2 Julai 2012 tarikh perbicaraan membabitkan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim; Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shahrin atau CheguBard.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dikenakan ke atas mereka dan hakim Mahkamah Sesyen, Mahmud Abdullah bersetuju bahawa ikat jamin sebanyak RM 500 dikenakan kepada tiap-tiap seorang bagi pertuduhan pertama iaitu melanggar perintah majsitret hadir dan berhimpun semasa himpunan Bersih 3.0 pada 28 April 2012 yang dikeluarkan pada 26 April 2012.

Bagi pertuduhan kedua mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan, ketiga-tiga mereka dibenarkan ikat jamin persendirian.

Paling mencuri tumpuan adalah kehadiran bekas Timbalan Pendakwaraya semasa Anwar menghadapi perbicaraan Fitnah Liwat 2, Mohd Yusof Zainal Abiden yang bertindak sebagai peguambela Anwar.

Turut mewakili Anwar adalah ahli parlimen Jelutong, Karpal Singh.

Sementara Azmin diwakili oleh ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah manakala Latheefa Koya mewakili CheguBard.

Anwar bersama dengan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail, tiba di Mahkamah Sesyen 5 pada jam 9 pagi.

Ketiga-tiga mereka merupakan yang pertama didakwa di bawah Akta Berhimpun Aman yang diluluskan baru-baru ini, di mana Anwar dan Azmin boleh kehilangan jawatan mereka sebagai wakil rakyat jika didapati bersalah.

Mereka boleh didenda RM10,000 jika sabit kesalahan di bawah akta tersebut.

Wakil rakyat secara automatik hilang jawatan jika disabit oleh mahkamah dan didenda lebih RM2,000 atau penjara lebih setahun.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 4(2) (c) Akta Perhimpunan Aman kerana didakwa mengambil bahagian dalam yang perhimpunan BERSIH 3.0 dan melanggar perintah Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan yang bersempadan dengan Jalan Sultan Hishamuddin, Jalan Raja dan Jalan Kelab.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu antara jam 2.30 petang dan 3 petang pada 28 April.

Mereka juga menghadapi satu lagi tuduhan di bawah Kanun Keseksaan, iaitu bersama penyokong BERSIH 3.0 yang melebihi lima orang yang masih bebas, dalam mencapai niat bersama, telah bersubahat dengan Tangam a/l Raju, Rajesh Kumar a/l Gejinder dan Farhan bin Ibrahim @ Alias, telah mengingkari perintah yang dikeluarkan oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir pada 26 April.

Azmin dituduh bersubahat dan menghasut Tangam, Rajesh dan Farhan membuka sekatan besi halangan di Dataran Merdeka yang mungkin menyebabkan rusuhan atau gaduh-gempur di kawasan tersebut.

JalanPulang


Laporan dari Sinar Harian..

Tindakan dakwa Anwar, 2 lain motif politik


SHAH ALAM - PKR menyifatkan tindakan kerajaan mendakwa tiga pemimpin parti itu termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara pagi ini sebagai satu tindakan terdesak yang bermotifkan politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Selain Ketua Umum PKR itu, dua lagi akan didakwa di Mahkamah Majistret ialah Timbalan Presidennya, Azmin Ali dan Badrul Hisham Shaharin.

"Peguam Negara sekali lagi bertindak atas perintah Barisan Nasional. Selepas gagal dalam usaha menghalang Anwar Ibrahim dalam kes tuduhan liwat, mereka cuba sekali lagi," kata anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR, R. Sivarasa dalam satu kenyataan.

Ketiga-tiga pemimpin itu menerima notis saman agar hadir di Mahkamah Majistret Jalan Duta, Kuala Lumpur berhubung perhimpunan Bersih 3.0 pada 28 April lalu.

Mereka akan dikenakan tuduhan di bawah Akta Perhimpunan Aman dan Kanun Keseksaan.

"(Nampaknya) sesuatu ketara apabila pendakwaan pertama di bawah Akta Perhimpunan Aman dituju ke atas Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang.

"Jadi, dakwaan terbaru ini yang bermotifkan politik sangat jelas," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Subang dan seorang peguam.

Malah kata beliau, tindakan terbaru ini juga usaha pihak kerajaan untuk menghalang misi Pakatan Rakyat untuk menuju ke Putarajaya dalam PRU13.

"PKR memberi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bahawa pendakwaan ini sekali lagi memperlekehkan dakwaan beliau bahawa mahu menjadikan Malaysia negara demokrasi terbaik di dunia (dengan mengadakan Akta Perhimpunan Aman).

"Kami akan menggerakkan rakyat Malaysia untuk membantah penyalahgunaan yang ketara dan manipulasi institusi-institusi kita," katanya lagi.





Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails