Saturday, May 19, 2012

Dakwa polis di mahkamah hanya Wayang - Maria Chin


Ahli jawatankuasa pemandu BERSIH, Maria Chin Abdullah menyifatkan tindakan mendakwa dua orang polis atas tuduhan mengasari seorang jurugambar sebagai satu 'pertunjukan' semata-mata.

Menurutnya, lebih ramai polis sepatutnya didakwa berdasarkan jumlah peserta yang tampil ke depan memberi keterangan dan membuat laporan polis.

"Saya rasa tidak cukup. Apabila kita dengar cerita daripada mereka kita tahu ada lebih daripada dua orang anggota polis yang sepatutnya didakwa.

"Ini bukan keadilan. Ini satu pertunjukan cubaan gubahan imej polis semata-mata," katanya.

Dua anggota polis didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur semalam atas tuduhan mencederakan jurugambar Guang Ming Daily, Wong Kin Onn sewaktu himpunan BERSIH 3.0 pada 28 April lalu.

Mohd Khairul Asri Mohd Sobri dan Shahrul Niza Abd Jalil didakwa bawah Seksyen 350 Kanun Keseksaan kerana menggunakan keganasan jenayah terhadap Wong.

Berdasarkan keterangan mereka yang mendakwa dikasari, Maria Chin menggesa agar Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar menjelaskan sebab sebahagian polis yang didakwa melakukan kekasaran tidak memakai tag nama atau nombor pengenalan polis pada hari itu.

"IGP kena jawab kenapa polis pada hari itu tidak memakai tag nama" kata Maria Chin - Malaysiakini

****************************************

Dua polis didakwa kasari jurugambar

L/Kpl Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Shahrul Niza Abd Jalil, 24
KUALA LUMPUR: Dua anggota polis masing-masing berpangkat lans koperal dan konstabel dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan melakukan kekerasan terhadap seorang jurugambar akhbar Cina pada perhimpunan Bersih 3.0, akhir bulan lalu.

Mohd Khairul Asri Mohd Sobri, 30, dan Shahrul Niza Abd Jalil, 24, mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Zulkpli Abdullah.

Mereka didakwa bersama dua lagi yang masih bebas melakukan kekerasan jenayah terhadap jurugambar akhbar Guang Ming Daily, Wong Onn Kin, 33, di persimpangan Jalan Tun Perak dan Jalan Raja di sini, antara jam 5.20 petang dan 5.30 petang, 28 April lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farizul Hassan Bakri menawarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000, namun peguam mereka, Salim Bashir membantah kerana menganggapnya terlalu tinggi.

Dalam rayuannya, Salim berkata, kedua-dua tertuduh masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan pendapatan rendah dan memohon ikat jamin dibenarkan RM1,000.


Menurutnya, Mohd Khairul Asri yang sudah berumahtangga dan menanggung isteri serta tiga anaknya bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanjung Malim, manakala Shahrul Niza berkhidmat di IPD Dang Wangi.

Mahkamah membenarkan jaminan RM3,000 dan menetapkan 18 Jun depan untuk sebutan semula kes.


myMetro

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails