Friday, May 18, 2012

Berita panas yang tidak akan disiarkan TV3 dan Utusan..


KUALA KRAI: Mesyuarat Agung Tahunan PAS kali ke-34 di sini mencatat sejarah apabila 50 anggota Umno Kampung Sungai Tias, dekat sini menyerah borang menyertai PAS kepada Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Penyerahan borang tersebut dilakukan Wan Nor Abdullah, 46 mewakili rakan-rakan lain. Pada majlis itu juga Presiden memakaikan baju-T bergambar Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Hadir sama Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, Yang Dipertua PAS Kuala Krai, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, timbalannya, Mohd Fauzi Abdullah, Adun Dabong, Arifabillah Ibrahim dan Adun Guchil, Tuan Zamri Ariff Tuan Zakaria.

Wan Nor ketika ditemui berkata, beliau memilihPAS selepas melihat dasar-dasar kebajikan kerajaan negeri dan PAS lebih baik berbanding Umno. Katanya juga, pemimpin Umno tidak menghormati ulama dan sanggup menghina golongan terbabit bagi kepentingan politik mereka.

“Mereka sanggup mencaci ulama sedang mereka sendiri tidak betul,” katanya kesal.

Rakannya Muhammad Omar, 42 berkata, pemimpin Umno jarang mengambil berat masalah rakyat kerana tinggal jauh dari tempat yang diwakili dalam pilihan raya.

Kata beliau bekas Adun Dabong, Dato’ Ramzi Abdul Rahman bukan orang Dabong dan hanya datang sekali sekala biarpun mempunyai banglo mewah di atas bukit di Jelawang.

“Sedangkan Adun sekarang orang tempatan dan mudah ditemui. Arif sering keluar masuk kampung menemui rakyat tanpa mengira parti.

“Inilah yang menyebabkan saya dan kawan-kawan mengambil keputusan keluar Umno dan menyertai PAS,”tambahnya.

Arifabillah berkata, beliau bersama pemimpin PAS di Majlis Tindakan Dun Dabong sentiasa menganjur program bersama rakyat termasuk Cakna Keluarga, sukan dan lawatan dari rumah ke rumah.

“Alhamdulillah melalui program yang diadakan sejak beberapa tahun lalu berjaya mendekatkan PAS dan penyokong-penyokong Umno sehingga ada yang membuat keputusan menyertai kita,” katanya.

Beliau juga berkata, seramai 30 lagi ahli Umno iaitu dari Kampung Lanchang akan menyertai PAS dalam masa terdekat.

Manakala di Chalil, Gua Musang lebih 100 ahli dan penyokong Umno di tanah rancangan tersebut dijangka membuat kejutan keluar Umno pada satu program yang akan diadakan 20 Mei ini.

Sementara itu, Ustaz Abdul Hadi berkata, biarpun ada pihak cuba mempertikaikan bekas Presiden Majlis Peguam, Dato’ S Ambiga mengetuai Bersih 3.0, namun bagi PAS persamaan perjuangan bagi membersihkan pengendalian pilihan raya di negara ini lebih penting.

Katanya, soal siapa yang berada di depan Bersih 3.0 tidak menjadi isu utama, sebaliknya matlamat perjuangan memastikan proses pilihan raya telus di negara ini lebih penting.

“Tak kiralah siapa yang berada di depan Bersih 3.0 baru-baru ini, kerana apa yang lebih penting berjuang memastikan pilihan raya benar-benar bersih dan adil,” katanya ketika merasmikan mesyuarat agung tersebut.

Manakala ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Pengkalan Chepa pada hari yang sama, beliau menyifatkan Umno menyebarkan ajaran salah apabila mendakwa hanya parti itu sahaja yang boleh memberi pembangunan dan kemajuan kepada rakyat.

“Kerana tamak kuasa Umno sanggup mencanangkan fahaman tersebut, seolah-olah mereka pemberi rezeki kepada rakyat. Umno terus mendabik dada,” ujarnya.

Turut hadir pada mesyuarat agung di Putik itu, Penolong Setiausaha Agung PAS, Dato’ Takiyuddin Hassan, anak bekas Tun Ghaffar Baba, Tamrin Ghafar dan rombongan PAS Kuala Kangsar.


PAS

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails