Saturday, May 12, 2012

1 Ahli UMNO maut, 77 cedera nahas 2 Bas dan Treler


SEREMBAN: Seorang wanita warga emas maut, manakala 77 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua buah bas dan sebuah lori treler di Kilometer 258.8 Lebuh Raya Utara Selatan arah Selatan berhampiran susur keluar ke Port Dickson, di sini awal hari ini.

Roha Dol, 79, ahli Wanita UMNO Batu Pahat, meninggal dunia semasa menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja'afar di sini akibat kecederaan di kepala dan badannya.

Pengarah hospital berkenaan, Dr Jaafar Che Mat, berkata mangsa disahkan meninggal dunia 5.40 pagi. Semua yang cedera pula dirawat sebagai pesakit luar di hospital itu.

Dalam kejadian 2.58 pagi itu, dua bas berkenaan yang membawa ahli UMNO, dalam perjalanan ke Melaka dan Batu Pahat, Johor, selepas menghadiri sambutan ulang tahun UMNO ke-66 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, di Kuala Lumpur malam tadi.

Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati bas yang membawa 40 ahli Puteri UMNO dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Berang, Terengganu, ke Melaka, melanggar belakang sebuah treler ketika tiba di tempat kejadian.

Katanya, sebuah lagi bas yang membawa 44 ahli UMNO pulang ke Batu Pahat pula gagal mengelak bas di hadapan itu lalu melanggar bahagian belakang.

Pegawai Turus Trafik Negeri, ASP Abd Halil Hamzah, ketika dihubungi berkata semua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk menerima rawatan.

Seorang mangsa, Mohd Hafizan M Senin, 30, ketika ditemui berkata, sewaktu kejadian dia sedang tidur dan terjaga apabila terdengar dentuman akibat pelanggaran itu.

Dia yang menaiki bas belakang, tercampak ke tengah bas dan mengalami kecederaan ringan.

"Saya berada dalam bas di belakang apabila tersedar saya nampak dua bas dengan sebuah lori sudah berlanggar dan saya nampak ada cedera, ada yang teruk juga," katanya.

Seorang lagi mangsa, Raja Sulaiman Busu, 59, berkata, ketika kejadian kebanyakan penumpang sedang tidur sebelum dikejutkan dengan kejadian itu.

"Bagaimanapun saya bersyukur kerana saya tidak mengalami kecederaan," katanya.

Turut hadir melawat mangsa di hospital adalah Anggota Parlimen Parit Sulong, Datuk Noraini Ahmad. - BERNAMA


Laporan sebelum ini sila baca di ( SINI )

Al-Fatihah buat yang terkorban.....

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails