Thursday, April 26, 2012

Pengerusi SPR, Timbalannya ahli UMNO?.. patutlah pun...


Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz dan timbalannya, Mohd Yusof dan Datuk Wira Wan Ahmad Wan Omar dicabar untuk menafikan mereka bukan ahli Umno bagi membuktikan benar-benar berkecuali.

Pakatan Rakyat (PR) membangkitkan perkara ini ketika desas-desus menyebut Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan diadakan dalam waktu terdekat sementara membangkitkan ketelusan SPR dalam mengendalikan pilihan raya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, pada dasarnya mana-mana ahli panel SPR sepatutnya tidak menganggotai parti politik supaya mereka kelihatan berkecuali dan dapat bertindak tanpa condong kepada mana-mana pihak.
Sehubungan itu kata Saifuddin, beliau mempunyai bukti kukuh mengenai keanggotaan mereka dalam Umno - parti teras Barisan Nasional (BN).

“Saya tahu Aziz ahli Umno, cawangan mana, nombor ahli Umno. Satu-satu SPR di dunia, ketua dan timbalannya secara rasmi menjadi ahli politik yang bertanding dalam pili­han raya.

“Mereka patut lepaslah (keahlian dalam Umno), jangan ada sekelumit prejudis dan prasangka bahawa SPR ini berpihak kepada mana-mana parti politik,” katanya.

“Saya juga ada maklumat di mana cawangan mana Tan Sri Aziz dan timbalannya (Wan Ahmad) menjadi ahli (Umno),” kata beliau dalam satu temu bual eksklusif dengan Sinar Harian di pejabatnya, semalam.

“Saya minta, esok, mereka menafikan yang mereka bukan ahli Umno. Jika tidak, saya akan dedahkan di cawangan mana mereka menjadi ahli Umno,” katanya lagi.

Saifuddin berkata, kedua-dua Abdul Aziz dan Wan Ahmad seharusnya telah meletakkan jawatan dalam parti sebaik sahaja dilantik ke jawatan penting agensi pengendali pilihan raya itu.

“Kalau ya pun, hati kecil biarlah dapat bersuara... dalam menguruskan SPR, pihak berkepentingan adalah rakyat,” katanya.

Dalam hal ini, katanya, beliau menghormati pendirian Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang melepaskan jawatan dalam parti sebagai Ketua Umno Bahagian Kota Marudu , apabila dilantik ke jawatan itu.

Kata Saifuddin, Pandikar sendiri ada memaklumkan perkara itu kepadanya dan sewajarnya Abdul Aziz dan Wan Ahmad mengikut jejak langkah Speaker Dewan Rakyat.

“Itu (jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR) bukan jawatan politik, Agong yang lantik, mereka masih ahli Umno yang sah, saya minta mereka menafikan perkara tersebut,” katanya.

Pandikar dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat empat tahun lalu.

Abdul Aziz menjadi Pengerusi SPR pada Januari 2009 manakala Wan Ahmad pula kira-kira setahun sebelum Pilihan Raya Umum 2008.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails