Tuesday, April 17, 2012

Malaysia bakal jadi negara republik sekiranya PR memerintah, kata Perkasa


KUALA LUMPUR, 17 April — Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) hari ini berkata, insiden yang mendakwa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mengejek dan mempersendakan raja-raja Melayu ketika pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong tempoh hari adalah petunjuk bahawa mereka akan menjadikan Malaysia sebagai negara republik sekiranya pakatan pembangkang itu memerintah negara.

Malah, kumpulan pendesak Melayu ini juga beranggapan, pemimpin pembangkang itu telah menderhaka kepada Raja-Raja Melayu, dan hilang kesetiaan kepada negara.
“Pada kejadian yang dikatakan wakil rakyat pembangkang menghina raja-raja Melayu di Istana Negara, Perkasa anggap mereka adalah penderhaka dan sudah hilang kesetiaan kepada negara,” tegas timbalan presiden Perkasa, Datuk Abd Rahman Abu Bakar, ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi selepas pertubuhan itu memohon permit untuk mengadakan perhimpunan sempena pertabalan Yang Di-Pertuan Agong baru-baru ini.

“Berdasarkan insiden itu, Perkasa merasakan kemungkinan mereka akan perlahan-lahan menukarkan Malaysia kepada negara Republik, negara tanpa Raja.”

Jelas Abd Rahman, Perkasa akan menentang habis-habisan pihak yang cuba menjadikan negara ini sebagai negara republik, dan akan tetap mempertahankan Raja-raja Melayu.

“Perkasa akan terus mempertahankan Raja-raja Melayu. Itu adalah salah satu perjuangan yang tercatat dalam Perlembagaan Perkasa,” tegasnya lagi.

Tambah Abd Rahman, pihaknya juga menyokong segala usaha menentang gejala LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, dan Trangender), termasuk akan mempertahankan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

“Peminjam harus membayar hutang. Malaysia bukan lagi negara maju yang mampu untuk menanggung segala perbelanjaan rakyatnya di menara gading secara percuma.

“Cukuplah kerajaan beri biasiswa untuk pelajar cemerlang SPM ke universiti, dan mereka yang kurang cemerlang jika mahu ke universiti perlu menanggung sendiri ataupun membuat pinjaman.

“Jika cemerlang di universiti, pinjaman itu baru akan di hapuskan menjadi biasiswa,” tegasnya.

Mengulas berkenaan “Perhimpunan Raja Berdaulat, Kasih Dijunjung” yang akan dianjurkan pertubuhan itu sempena meraikan pertabalan Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong ke-14 pada 11 April lalu, Abd Rahman berkata, perhimpunan itu dijangka akan berlangsung di Padang Merbok berhampiran Bank Negara pada 29 April ini, sehari selepas Perhimpunan Bersih 3.0 di Dataran Merdeka.

“Perhimpunan itu dijangka berlangsung pada 9.30 pagi sehari selepas Bersih 3.0. Sekiranya pihak polis tidak memberikan kebenaran di lokasi tersebut, Perkasa mungkin akan membuat permohonan di lokasi lain di tengah bandaraya ini seperti Dataran Merdeka atau mana-mana lokasi yang diluluskan oleh DBKL,” katanya yang turut menjemput penyertaan pertubuhan Jalur Tiga (Jati) yang diketuai oleh Adun Gombak Setia Datuk Dr Hasan Ali.

“Kami ingin merayakan perhimpunan besar-besaran melahirkan rasa syukur dan berdoa semoga pertabalan Agong akan terus berkekalan selamanya, kami turut menjemput Jati kerana matlamat perjuangan kami adalah serupa.

“Perkasa tidak berpeluang berada di Balairong Seni Negara semasa hari pertabalan, dan sekiranya diberikan kebenaran, kami akan bersikap tertib dan tidak biadap seperti pemimpin pembangkang,” tegasnya lagi.

Jelasnya, perhimpunan itu akan diisi dengan sesi ceramah antaranya daripada Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali dan Datuk Zukifli Nordin serta beberapa tokoh lain.

“Perkasa yakin perhimpunan ini akan mendapat sambutan daripada setiap rakyat pelbagai kaum di negara ini,” tambahnya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails