Tuesday, April 24, 2012

Keluarga Sharizat kutip sewa dari aset NFC yang dibekukan Najib??


Walaupun Dato’ Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa aset NFC telah dibekukan, hakikatnya keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil masih lagi mendapat bayaran bulanan yang lumayan dari harta-harta yang dibeli menggunakan dana NFC.

Selain dari pelbagai kondominium yang telah didedahkan kini, keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil juga mendapat kutipan sewa dari hartanah-hartanah yang dibeli dengan dana NFC dan kemudiannya disewakan kembali kepada NFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain.

Bukti yang paling kukuh ialah dua premis utama operasi NFC iaitu pejabatnya di alamat L-3A, No. 2, Jalan Solaris, Solaris Mont Kiara dan restoran mewah Meatworks di alamat 2G 3A, Jalan Solaris 5, Solaris Month Kiara.

KEADILAN berjaya mendapatkan rekod hakmilik dan nilaian kedua-dua hartanah dari carian rasmi dengan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (sila rujuk dokumen carian harta JPPH yang disertakan bersama).

4 unit ruang pejabat yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutu di Tingkat 3A, Jalan Solaris dimiliki bersama oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail dan anaknya Wan Izanur Izran. Salah satu unit iaitu Unit L-3A-3A berjaya dipadankan dengan carian harta di JPPH atas nama Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail yang dibeli pada harga RM814,550.
Semakan pembayaran dari rekod kewangan NFC pula menunjukkan bahawa pada setiap bulan, NFC akan membuat dua pembayaran sewa pejabat seperti berikut:

RM28,000 setiap bulan kepada Wan Shahinur Izran

RM8,240 setiap bulan kepada Dato’ Seri Mohamad Salleh

Ini menimbulkan beberapa kesimpulan dan persoalan besar seperti berikut:

1. Dua orang pengarah NFC telah menyalahgunakan wang syarikat dengan mendapatkan pinjaman bank bagi hartanah yang kemudiannya disewakan kembali kepada syarikat;

2. Adakah urusniaga pembelian hartanah atas nama peribadi tetapi dibayar menggunakan kutipan sewa dari NFC dan syarikat bersekutu ini mendapat kelulusan Lembaga Pengarah? Jika tidak, Dato’ Seri Salleh Ismail dan Wan Shahinur Izran perlu disiasat atas kemungkinan pecah amanah wang syarikat;

3. Bayaran sewa yang dikutip oleh Dato’ Seri Salleh Ismail iaitu RM8,240 sebulan bagi ruang pejabat bernilai RM814,550 adalah terlalu tinggi. Jika pembelian ini dibiayai dengan pinjaman selama 25 tahun pada kadar faedah semasa, bayaran bulanan dianggarkan sekitar RM4,800 sebulan. Ini bermakna Dato’ Seri Salleh Ismail membuat keuntungan 72% setiap bulan; iaitu kadar keuntungan yang terlalu tinggi dari wang rakyat.

4. Jika ini keadaannya dengan unit L-3A-3A yang dimiliki oleh Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail, sudah tentu kadar keuntungan serupa juga dibayar oleh NFC kepada Wan Shahinur Izran bagi ruang-ruang pejabat lain yang dimiliki beliau.

Kaedah membeli hartanah atas milikan peribadi dan dibiayai oleh bayaran sewa oleh NFC dan syarikat bersekutu turut digunapakai dalam hartanah-hartanah lain.

Ruang niaga restoran yang disewa oleh RFC bagi operasi Meatworks di Mont Kiara pula dimiliki oleh Wan Shahinur Izran Mohamad Salleh.


Carian rasmi di JPPH menunjukkan beliau mempunyai dua ruang kedai iaitu unit 2 dan 3. Unit 2 berharga RM8.4 juta sementara unit 2 berharga RM5.7 juta. Ruang ini disewakan kepada RFC yang membayar sewa bulanan kepada Wan Shahinur Izran menggunakan dana RM250 juta yang dibiayai oleh rakyat.

Walaupun saya tidak mempunyai rekod kewangan terperinci bagi RFC dan syarikat-syarikat bersekutu yang lain, saya percaya Wan Shahinur Izran turut mendapat bayaran sewa yang lumayan dari dua ruang restoran yang dimilikinya.

Saya menganggarkan beliau memperolehi pendapatan sewa RM150,000 sebulan dari dua unit hartanah bernilai RM14.1 juta ini, mengambil kira kadar keuntungan sama yang diperolehi Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail.

Ini membuktikan sekali lagi bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak tidak mengambil sebarang tindakan untuk menghentikan penyelewengan wang rakyat walaupun pelbagai pendedahan telah dibuat.

Beliau berharap dengan pengunduran sementara Dato’ Seri Shahrizat Jalil dari jawatan kabinet, skandal ini akan reda sementara beliau membiarkan keluarga Dato’ Seri Shahrizat Jalil terus bermewah dengan wang rakyat sebanyak RM250 juta.

KEADILAN akan membuat laporan polis susulan berikutan pendedahan ini agar Wan Shahinur Izran dan Dato’ Seri Mohamad Salleh Ismail disiasat atas kemungkinan pecah amanah dalam urusan sewa beli hartanah-hartanah yang digunakan oleh NFC dan syarikat bersekutunya di Mont Kiara.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
24 APRIL 2012

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails