Tuesday, March 6, 2012

Timbalan Menteri Pelajaran berikan 10 Sebab dan Alasan kenapa cabaran debat perlu diterima Najib..



KUALA LUMPUR, 6 Mac: Tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menolak debat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim diperlekehkan oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Saifudin Abdullah.


Saifudin memberikan 10 sebab dan alasan kenapa cabaran debat ini perlu diterima oleh Najib demi untuk kebaikan negara ini.

Saifudin berkata demikian dalam tulisannya sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar Sinar Harian.

Bekas Pendebat Terbaik Piala Perdana Menteri dalam tahun 1980an ini berkata, debat baik untuk demokrasi.

"Ia peluang untuk mencetuskan idea yang bernas dan mempertahankannya dengan cerdas. Rakyat akan menilai.

"Namun, terdapat mereka yang menolak debat. Tidak mengapa jika tidak ingin berdebat kerana itu pilihan masing-masing, tetapi usahlah menolaknya bulat-bulat," kata beliau dalam tulisan itu.

Malam tadi Buletin Utama TV3 di awal beritanya melaporkan Najib sedia berdebat untuk perkara-perkara kepentingan negara.

Namun di pertengahan siaran berita itu, TV3 memohon maaf kerana yang dimaksudkan Perdana Menteri adalah beliau sedia berbincang bukannya berdebat.

Semalam, firma kajian pendapat Merdeka Centre melaporkan, majoriti anak muda negara ini mahukan debat antara Najib dan Anwar.

Golongan paling tinggi menyokong menurut kajian itu adalah golongan muda yang berumur 21 hingga 30 tahun iaitu sebayak 67 peratus.

Mereka masing-masing mahu melihat kedua-dua tokoh politik tanah air itu mengutarakan 'idea dan dasar' masing-masing kepada rakyat.

Berikut adalah hujjah Saifudin iaitu 10 alasan yang menolak debat dan jawapan terhadapnya sebagaimana yang disiarkan dalam akhbar itu.

Alasan 1: Tiada apa hendak didebatkan.
Jawapan 1: Takkanlah tokoh politik tidak punya idea. Banyak perlu didebatkan, contohnya dalam bidang politik apakah politik baru, transformasi politik, inovasi demokrasi dan pemikiran politik progresif untuk masa depan? Bidang-bidang lain juga ada isu yang wajar didebatkan.

Alasan 2: Tidak perlu debat, ucapan mencukupi.
Jawapan 2: Ramai boleh berucap. Adakalanya teks ucapan disediakan orang lain dan yang menyampaikannya tidak fahampun kandungannya. Kekurangan ucapan ialah idea itu tidak dapat diuji kebenaran dan kekuatannya. Sebaliknya, melalui debat, pendebat bukan sahaja perlu menyampaikannya, tetapi lebih penting lagi perlu mempertahankannya.

Alasan 3: Ia lebih banyak keburukan daripada kebaikan.
Jawapan 3: Ia menimbulkan keburukan jika tidak dilaksanakan dengan bijaksana. Sebenarnya, ia lebih banyak kebaikan sebab itu ia sebahagian daripada pendekatan dakwah Islamiah, iaitu seperti yang dicatat dalam al-Nahl:125, “...berdebatlah dengan mereka dengan cara yang terbaik”.

Alasan 4: Ia menyebabkan lawan memanipulasi masalah kita.
Jawapan 4: Pertama, siapa suruh mendebatkan masalah kita? Kedua, memang kerja lawan memanipulasi kita, tidak kira diadakan debat ataupun tidak, dan ketiga, debat adalah gelanggang untuk menunjukkan kebaikan kita.

Alasan 5: Tidak perlu ikut format debat pemilihan Presiden Amerika Syarikat.
Jawapan 5: Siapa kata mesti ikut format itu? Terdapat banyak format debat. Peserta boleh menentukan formatnya.

Alasan 6: Rakyat belum bersedia.
Jawapan 6: Rakyat telah lama bersedia. Rakyat inginkan keterbukaan dan ketelusan, pemimpin yang berilmu dan artikulatif, yang punya pendirian serta pandangan, dan bukannya sekadar pandai mengampu dan meraih undi semata-mata. Soalnya ialah adakah tokoh politik telah bersedia?

Alasan 7: Debat bukanlah jawapan kepada masalah negara. Apa yang penting ialah usaha membangun negara.
Jawapan 7: Siapa kata debat adalah jawapannya? Ia adalah satu daripada jalan terbaik untuk mendapatkan jawapannya.

Alasan 8: Kita perlu pemimpin yang pandai bekerja dan bukannya hanya pandai berdebat.
Jawapan 8: Siapa kata kita hendak pemimpin yang hanya pandai berdebat? Adakah pemimpin yang pandai berdebat tidak pandai bekerja? Adakah pemimpin yang tidak berdebat semestinya pandai bekerja? Pandangan ini adalah pelarian daripada realiti bahawa antara kualiti pemimpin yang baik ialah kebolehannya berhujah. Kerana ia mencerminkan pemikirannya yang rasional dan kritis. Bukankah lebih baik memiliki pemimpin yang pandai kedua-duanya, iaitu berhujah dan bekerja?

Alasan 9: Debat di dewan legislatif memadai.
Jawapan 9: Agenda dewan legislatif mengehadkan peluang untuk debat yang sepatutnya. Lagipun, dunia demokrasi hari ini tidak terhad kepada dewan legislatif semata-mata.

Alasan 10: Debat bukan budaya kita.
Jawapan 10: Kalau begitu, tidak perlulah mengamalkan demokrasi!


Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails