Monday, March 5, 2012

TERKINI! Azizan kekal MB Kedah, 2 Exco terima tawaran balik.. tapi...



KUALA LUMPUR - Misi damai yang diusahakan oleh Pas Pusat telah mencapai tiga kata putus dengan mengekalkan Datuk Seri Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar Kedah selain meminta dua Exco yang sebelum ini menolak tawaran dilantik semula bagi penggal 2012/2013 terus kekal dalam barisan pentadbiran kerajaan negeri.


Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, berikutan pertemuan khas bersama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Alor Setar, yang berakhir awal pagi semalam, Azizan diminta meneruskan tugasnya seperti biasa.

"Selain itu, Pas Pusat juga sebulat suara mahu Datuk Ir Phahrolrazi (Zawawi) dan Dr Ismail Salleh kembali sebagai Exco dalam pentadbiran negeri Kedah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Selain dua langkah itu, Pas Pusat akan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Pemandu untuk sama-sama bertangungjawab memantau dan memberi pandangan kepada negeri-negeri yang diterajui Pas dan juga negeri-negeri yang Pas adalah sebahagian daripada pentadbiran negeri tersebut.

Pakatan Rakyat yang dianggotai Pas, PKR dan DAP menerajui kerajaan negeri Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Wakil Pas merupakan Menteri Besar bagi Kelantan dan Kedah.

Pada pertemuan khas misi damai yang berlarutan lebih lima jam sehingga 3 pagi semalam, Dr Ismail tidak hadir bersama, tetapi keputusan sebulat suara itu telah dimaklumkan kepada beliau.

"Kedua-dua Exco dah tahu keputusan ini, dan itu yg kami putuskan," kata Mustafa lagi.

Ketika ditanya sama ada kedua-dua Exco telah memberi jawapan atau tidak, Mustafa berkata, pihaknya optimis yang kedua-dua mereka akan kembali menerima tawaran pelantikan semula - Sinar Harian

Alhamdulillah semuanya sudah berakhir.. tapi tertanya-tanya juga aku mengapa agaknya Berita Harian boleh mendahului Harakahdaily dalam melaporkan isu ini??

Siapa yang membocorkannya kepada Berita Harian hinggakan ianya boleh menyiarkan laporan sebelum Sidang Media diadakan?





Phahrolrazi tetap mahu Azizan berundur syarat dilantik semula

ALOR SETAR: Walaupun mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat selama lima jam berakhir 3 pagi semalam, memutuskan untuk mengekalkan jawatan Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, kemelut dalaman PAS Kedah dikatakan belum berakhir.

Pada mesyuarat itu, dua EXCO yang enggan menerima pelantikan semula, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh, diminta menerima jawatan itu yang tamat, Rabu ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, syarat yang diletakkan Phahrolrazi jika parti itu mahu beliau menerima jawatan itu, iaitu jawatan Pesuruhjaya PAS Kedah yang dipegang Azizan diserahkan kepadanya dan tidak membenarkan Menteri Besar itu bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13, masih belum diputuskan.

Dalam pertemuan tertutup antara dua pemimpin berkenaan dengan Jawatankuasa PAS Pusat diketuai Presidennya, Datuk Seri Hadi Awang itu, satu lagi permintaan Phahrolrazi supaya jawatan Menteri Besar dipangku pemimpin lain, ditolak jawatankuasa berkenaan.

Jawatankuasa itu memberi peluang sejam kepada setiap seorang untuk memberikan penjelasan dan mengemukakan hujah masing-masing.

Turut hadir pada mesyuarat itu, Timbalan Presiden PAS, Muhammad Sabu serta dua Naib Presidennya, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar. Selain itu, turut dilihat memasuki Seri Mantaloon ialah beberapa EXCO lain, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pelaburan dan Perindustrian, Datuk Amiruddin Hamzah; Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Badan Bukan Kerajaan, Abdul Ghani Ahmad serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS.
Kemelut dalaman PAS Kedah yang dikatakan antara krisis kepemimpinan terbesar dalam PAS tercetus apabila Phahrolrazi dan Dr Ismail secara terang-terangan menolak dilantik semula ke jawatan EXCO dengan alasan tidak dapat bekerja di bawah pentadbiran Azizan yang didakwa mereka tidak mendengar pandangan orang lain.

Malah Phahrolrazi yang juga ADUN Pengkalan Kundur yang dilihat mengetuai tentangan terhadap Menteri Besar itu, mengenakan tekanan ke atas Azizan apabila PAS Kawasan Kuala Kedah yang dipimpinnya memberi kata dua kepada Amiruddin yang juga ADUN Anak Bukit supaya melepaskan jawatan EXCO walaupun sudah mengangkat sumpah jawatan.

Phahrolrazi adalah Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah, manakala Amiruddin, timbalannya.

Difahamkan, Phahrolrazi sudah mendapatkan pandangan beberapa rakannya dalam Dewan Ulama PAS Kedah dan dikatakan akan menemui Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat di Kelantan.

Phahrolrazi yang dihubungi semalam berkata, beliau sudah dimaklumkan mengenai pendirian Jawatankuasa PAS Pusat itu, tetapi enggan mengulas lanjut.

"Biarlah mereka mengumumkan dulu keputusan mesyuarat malam tadi (malam kelmarin) yang saya difahamkan akan dibuat di Kuala Lumpur esok (hari ini)," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau mengesahkan ada lagi syarat yang beliau tetapkan belum diperhalusi jawatankuasa berkenaan.

Mesyuarat jawatankuasa itu dikatakan menemui jalan buntu apabila PAS yang sepatutnya membuat pengumuman keputusan yang diperoleh, terpaksa menunda sidang media yang sepatutnya diadakan di sini, semalam.

Sementara itu, Salahuddin yang dihubungi pagi semalam membayangkan masih ada perkara yang belum dapat diputuskan.

"Masih menunggu beberapa perkara yang perlu dinilai sebelum kita membuat keputusan," katanya.

Beliau yang dihubungi sekali lagi kira-kira jam 3 petang semalam mengesahkan sidang media bagi mengumumkan keputusan mesyuarat berkenaan akan diadakan di ibu negara hari ini.

Ini adalah kali kedua Jawatankuasa PAS Pusat bermesyuarat bagi mencari jalan penyelesaian dalam konflik antara Azizan dan Phahrolrazi dan Dr Ismail yang menolak pelantikan semula ke jawatan itu Isnin lalu.

Pada malam Khamis lalu jawatankuasa berkenaan bermesyuarat di ibu negara selama empat jam tetapi menemui jalan buntu, menyebabkan ia terpaksa mengadakan pertemuan kedua di sini.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails