Wednesday, March 7, 2012

Projek Selenggara Jalan RM1bilion Untuk Mr E Jadi Punca Krisis PAS Kedah?



Krisis kepimpinan Kedah memuncak setelah Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak di dakwa bersetuju memberikan kontrak penyenggaran jalan selama 10 tahun bernilai RM1 bilion kepada syarikat yang dikuasai oleh anak angkat beliau yang juga bekas pemimpin kanan Umno Kedah, sumber-sumber dalaman Pas memberitahu .


Isu itu membawa kepada pertikaian terbuka melibatkan kedua-dua Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Datuk Dr Ismail Salleh terhadap Azizan sehingga mereka tidak mahu dilantik semula sebagai Exco Kerajaan Negeri.

"Projek ini adalah projek jalan raya selama 10 tahun mulai tahun ini. Ia adalah untuk penyenggaran jalan yang nilainya sudah meningkat kepada RM100 juta setahun...dan projek ini hendak diberikan kepada bekas pemimpin Umno Kedah yang menjadi anak angkat kepada Datuk Seri MB Kedah,"

Menurut sumber berkenaan lagi antara dua Exco berkenaan, Phahrolrazi yang lebih lantang menentang keputusan Azizan itu kerana penyenggaran jalan dahulunya adalah di bawah Jabatan Kerja Raya yang menjadi sebahagian daripada portfolio beliau.

Sejak berbulan-bulan, Phahrolrazi dan Ismail membantah sebarang cubaan memberikan projek berkenaan kepada syarikat bekas pemimpin Umno itu yang popular dengan gelaran Mr E di Kedah.

Majlis Mesyuarat Exco yang dipengerusikan oleh Azizan memberi persetujuan kepada kontrak itu diberikan kepada Mr E walaupun ditentang oleh Phahrolrazi dan Ismail.

Bagaimanapun pelaksanaan keputusan itu ditangguh kerana Setiausaha Kerajaan Negeri tidak mahu menandatangani pemberian kontrak itu kepada syarikat berkenaan.

"Sudah setahun masalah ini diutarakan oleh kedua-dua Exco. Majlis Mesyuarat Exco sudah lulus (tender itu) tetapi pelaksanaan projek tidak boleh dijalankan sebab Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri tidak mahu tandatangan,"

Sumber berkenaan menambah Phahrolrazi dan Ismail kemudian memutuskan untuk mengambil keputusan lebih drastik kerana bimbang Azizan memilih sepupunya sebagai SUK baru yang bersedia melaksanakan keputusan Majlis Mesyuarat Exco itu.

"Dalam tempoh tiga empat bulan ini, Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri akan bersara dan Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru akan 'naik' dan Datuk Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru ini pula difahamkan adalah sepupu dia (MB Kedah),"

"Keputusan yang telah diluluskan oleh mesyuarat Exco itu dijangka ditandatangani (oleh SUK baru), jadi apabila ditandatangani maknanya akan berjalanlah projek RM1 bilion itu," katanya.

Dalam usaha untuk meredakan bantahan Phahrolrazi dan Ismail, Azizan mengambil keputusan baru-baru ini untuk menyalurkan konrrak lumayan itu kepada sebuah syarikat kaitan kerajaan (GLC) yang akan memanggil tender untuk menjalankannya.

"Bagaimanapun "tangan Mr E" masih kelihatan dengan sekurang-kurangnya lima syarikat yang mempunyai kaitan dengan beliau akan membida kontrak lumayan itu....ini maklumat yang sampai kepada dua Exco berkenaan, menyebabkan mereka terus menentang Azizan habis-habisan," tambah sumber itu.

Pada malam perjumpaan mahabbah di Alor Setar Sabtu lalu, Azizan menafikan mengenali Mr E.

"Pada malam itu,isu ini berbangkit dan MB Kedah menafikan dengan mengatakan dia tidak kenal dengan orang yang hendak diberikan projek RM1bilion itu. Malah dia berkata mungkin pemandu dia kenal (MR. E) ini," katanya.

Bagaimanapun menurut mereka, pemimpin Pas Pusat mempunyai rujukan sendiri untuk menyisat kesahihan maklumat mengenai pemberian kontrak itu kepada syarikat milik Mr E.

Sumber-sumber itu berkata walaupun Phahrolrazi dan Ismail akur arahan Pas Pusat untuk dilantik semula menjadi Exco Kerajaan Negeri, mereka bertekad memastikan kontrak penyenggaran jalan itu tidak diberikan kepada mana-mana syarikat kroni.

"Ya bila exco lawan ..dia bagi tender tu kepada anak syarikat negeri, ... tetapi anak syarikat kerajaan negeri mana, dia yang lantik. Oleh kerana hendak nampak telus, dia buat tender terbuka. Tetapi jika buat tender terbuka pun namun yang minta projek ialah syarikat-syarikat Mr. E, sama sahajalah," katanya.

Sumber-sumber itu berkata Jawatankuasa Pemandu Pas Pusat yang ditugaskan untuk memastikan perjalanan kerajaan negeri selari dengan perjuangan parti menghadapi ujian pertama untuk mencari penyelesaian terhadap isu kontrak penyenggaran jalan itu.

Phahrolrazi dan Ismail bersetuju dilantik semula sebagai Exco kerana yakin Jawatankuasa Pemandu itu berupaya memantau dan memanggil tindakan yang perlu terhadap sebarang keputusan Azizan yang dianggap tidak kena atau membelakangi kepentingan parti.


AntaraPos

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails