Wednesday, March 7, 2012

Projek jalan tu 'cerita lama', kata Phahrolrazi



ALOR SETAR - Belum pun reda isu membabitkan lantikan semula dua Exco Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh, kini timbul pula spekulasi mendakwa antara punca keengganan menerima pelantikan semula jawatan itu berkaitan dengan sebuah projek didakwa mencecah RM600 juta.


Sebuah laman portal berita melaporkan, krisis Pas Kedah memuncak apabila Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak didakwa mahu memberikan projek itu kepada syarikat yang dikaitkan dengan pemimpin Umno.

Sebagai protes terhadap tindakan itu, Phahrolrazi dan Ismail dikatakan menolak pelantikan semula ke jawatan itu bagi penggal akan datang.

Difahamkan, projek itu membabitkan pembinaan jalan di Kedah, yang mahu diberikan kepada syarikat milik bekas pemimpin Umno bahagian di negeri itu.

Phahrolrazi ketika dihubungi bagi mengesahkan dakwaan itu, enggan memanjangkan isu terbabit dan menyifatkan ia cerita lama.

“Itu cerita lama. Mungkin kenyataan saya disalah tafsir pihak tertentu,” katanya.

Bagi mendapatkan kepastian, Sinar Harian mendapatkan maklum balas daripada dua Exco, yang turut serta dalam mesyuarat sebelum ini membincangkan mengenai projek berkenaan.

Exco Penerangan, Badan-badan Bukan Kerajaan dan Pembangunan Insan, Abd Ghani Ahmad berkata, beliau menafikan dakwaan itu dan menegaskan, Kerajaan Negeri tidak pernah memberi tender secara terus kepada mana-mana syarikat, sebaliknya dibuat secara tender terbuka.

“Saya difahamkan sekiranya projek dikaitkan ialah projek jalan, ia mula dibincangkan dalam mesyuarat Exco sekitar Disember lalu, dan dicadangkan dibuat secara kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan negeri, GLC Kedah,” katanya.

Sementara, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang kini memegang portfolio Peruma­han dan Kerajaan Tempatan, Kerja Raya, dan Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, yang sebelum ini disandang Phahrolrazi, turut menafikan projek itu diserahkan kepada syarikat seperti didakwa.

“Berdasarkan keputusan mesyuarat Exco, projek berkenaan akan dibuat secara tender terbuka namun belum dibuat tawaran,” katanya.

Bagaimanapun, Amiruddin menafikan nilai tender itu mencecah RM600 juta, sebaliknya mendakwa projek penyelenggaraan jalan-jalan negeri itu hanya sekitar RM60 juta setahun.

“Hasil negeri tidak memungkinkan kita mampu tawar tender setinggi itu, ia mustahil cecah RM600 juta,” katanya.

Menurutnya, walaupun portfolio berkenaan kini bawah tanggungjawabnya, namun beliau belum meneliti projek bawah portfolio itu mahupun melihat kertas kerja atau laporan berkaitan.

Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails