Friday, March 2, 2012

PAS dakwa Kementerian Belia peruntuk RM30Juta taja ceramah Hassan Ali



KUALA LUMPUR, 2 Mac — PAS hari ini mendakwa Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menaja ceramah bekas Pesuruhjayanya, Datuk Hasan Ali kepada belia melalui peruntukan RM30 juta disalurkan melalui Cawangan Pembangunan Strategik dan Saraf kementerian berkenaan.


Naib Presiden PAS Mahfuz Omar berkata, pihaknya turut memperolehi maklumat bahawa KBS turut menggunakan cawangan berkenaan sebagai unit khas untuk menghadapi pilihan raya, sedangkan tiada peruntukan khas yang disalurkan kepada cawangan berkenaan, sebaliknya peruntukan diperolehi daripada unit-unit lain di dalam KBS.

"Kami mendapat maklumat bahawa sejumlah RM30 juta disalurkan kepada cawangan berkenaan bagi membiayai ceramah Dr Hasan Ali di seluruh negara, dan ini jelas melihatkan Umno Barisan Nasional (BN) menggunakan cawangan ini sebagai unit untuk melaksanakan tugas mereka meraih undi golongan muda sebagai persiapan menghadapi pilihan raya.

"PAS dengan ini menuntut penjelasan menteri berkenaan untuk memberi penjelasan keperluan mewujudkan unit khas ini," katanya yang menjelaskan, ketika pilihan raya di Sarawak, unit khas KBS ini berada selama tiga bulan di sana.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena ini lagi, keadaan itu jelas menunjukkan Umno BN menggunakan dana belia bagi tujuan politik.

"Kewujudan unit khas ini tidak pernah diperakui oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Sehubungan itu, kami mendesak satu audit keseluruhan dilaksanakan terhadap unit ini bagi melihat dari mana dan ke mana dana disalurkan, kerana unit ini tidak mendapat peruntukan khas untuk menjalankan aktiviti mereka," tegasnya ketika sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di sini.

Mahfuz turut menuntut penjelasan KBS berhubung peruntukan yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kepada belia sebanyak RM10 juta, namun hanya RM2 juta yang disalurkan kepada belia, sedangkan baki RM8 juta tidak diketahui di salurkan ke mana.

"Kerajaan tidak menggunakan dana yang disalurkan kepada belia dengan berkesan. Saya menyokong peruntukan yang besar disalurkan kepada belia, tetapi kenyataannya hanya syarikat-syarikat kroni yang mendapat keuntungan daripada aktiviti-aktiviti seperti Himpunan Sejuta Belia dan sebagainya," katanya.

Jelas Mahfuz, penganjuran Himpunan Sejuta Belia pada tahun lalu, dan Himpunan Jutaan Belia yang bakal berlangsung Mei ini dilihat tidak memberikan manfaat sepenuhnya kepada belia.

"Himpunan Jutaan Belia dan Himpunan Sejuta Belia itu tidak memberikan manfaat, kecuali program bersifat karnival dan hiburan, sedangkan lebih baik sekiranya peruntukan jutaan ringgit itu disalurkan kepada persatuan belia kerana mereka lebih dekat dengan golongan berkenaan dan dari situ akan dapat melakukan aktiviti yang lebih berfaedah untuk generasi muda," katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails