Monday, March 5, 2012

Najib Sedia Berdebat dengan sesiapa saja tentang politik.. tapi..



Dalam entri terbaru bertajuk “Kebenaran Mengenai Malaysia” dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my, Najib kata dia sedia berdebat dengan sesiapa saja mengenai politik..


Sesiapa saja yang dimaksudkannya itu ialah orang yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara..

Alasan lagi... takut cakaplah takut Najib..

Najib Sedia Berdebat Dengan Orang Berfikiran Munasabah

KUALA LUMPUR, 5 Mac - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa saja yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan yang serius mengenai masa depan negara.

Perdana Menteri berkata bahawa sebagai seorang ahli politik dalam sebuah negara demokrasi, beliau tidak dapat elak daripada orang bercerita perkara buruk mengenai diri beliau.

“Jika saya tidak boleh menerima hakikat ini, maknanya saya telah buat pilihan kerjaya yang salah.

“Saya terima dengan adanya. Saya sedia berdebat mengenai politik dengan sesiapa, sama ada lelaki atau perempuan, yang mempunyai pemikiran yang munasabah dan saya hargai suasana politik di Malaysia yang meriah,” katanya dalam entri terbaru bertajuk “Kebenaran Mengenai Malaysia” dalam blog beliau di www.1malaysia.com.my.

Bagaimanapun, Najib berkata ada satu garis di mana perdebatan demokratik berakhir dan digantikan pula dengan penyalahgunaan, penipuan dan penyalahgambaran.

“Mereka yang serius mengenai masa depan negara kita harus cuba untuk tidak menyeberangi garisan ini,” katanya.

Katanya ada sesetengah pihak di negara ini yang tidak dapat menahan daya tarikan teori konspirasi yang hanya wujud dalam filem-filem Jason Bourne, bukan dalam perdebatan politik yang rasional, kerana teori sebegitu membebaskan diri mereka daripada menanggung tanggungjawab atas kegagalan mereka sendiri.

“Sukar untuk memenangi sesuatu hujah atau gagal mendapatkan sesuatu cara anda? Cara penyelesaian yang lebih mudah adalah untuk mengadu bahawa sistem yang ada ini telah dikongkong daripada bekerja keras untuk mencari hujah yang lebih baik atau mengakui kesilapan diri dengan rendah diri,” katanya.

Najib berkata beliau sangat bimbang apabila melihat terlalu ramai yang mengatakan mereka mahu memimpin Malaysia namun mereka tidak mampu mengawal diri apabila berdepan dengan sesuatu perdebatan.

“Bagi mereka, tiada batasan dalam menggunakan apa sahaja cerita, tuduhan atau teori yang keterlaluan, tidak kisahlah sama ada ianya berasas atau tidak, dan berlandaskan fakta atau tidak.

“Mereka tetap menggunakannya walaupun ianya akan merosakkan reputasi Negara di mata antarabangsa dan mengganggu kestabilan dalam negara,” katanya.

Beliau turut menekankan betapa pentingnya kestabilan itu untuk semua, tidak kira apa latar belakang serta warisan mereka, ia antara ciri keunikan negara ini di mata antarabangsa.

“Namun begitu, walaupun kepelbagaian ini menjadi sumber kekuatan kita, ianya juga mudah bertukar menjadi kelemahan kita sekiranya pemimpin-pemimpin politik kita memilih provokasi daripada tanggungjawab, dan kita pula secara keseluruhannya tidak dapat mengawal diri dan memahami keseimbangan-keseimbangan sensitif di negara kita,” katanya.

Najib berkata konsep 1Malaysia yang beliau perkenalkan adalah mengenai “pemanfaatan kekuatan dalam kepelbagaian kita agar kita, sebagai sebuah negara, dapat menjadi lebih kukuh.”

Beliau berkata 1Malaysia terbina daripada realiti Malaysia hari ini – adanya perbezaan pada warisan dan tradisi, pandangan dan pengalaman agama dan pendidikan – ianya tidak cuba untuk menidakkan kewujudan perbezaan itu.

Namun 1Malaysia juga menyatakan bahawa perbezaan itu bukanlah halangan bagi rakyat untuk mencapai matlamat bersama, iaitu meningkatkan kemakmuran negara, katanya.

“Ia juga menyatakan bahawa sedang negara kita berkembang maju, sumber dan peluang yang semakin meningkat perlu diagihkan bagi menangani masalah yang dihadapi pada hari ini dan bukan masalah yang dihadapi oleh generasi bapa saya dahulu,” katanya.

Walaupun begitu, Najib berkata, tentunya telah timbul beberapa isu yang telah diperhebohkan oleh pihak-pihak yang menentang 1Malaysia dan beliau akan membincangkan isu-isu berkenaan dengan lebih mendalam di dalam entri blog yang seterusnya - Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails