Thursday, March 8, 2012

Muhyiddin kata Projek lebuhraya RM2.2b diberi kepada Peguam UMNO atas merit



Projek Lebuhraya Kinrara-Damansara bernilai RM2.2 bilion yang dianugerahkan kepada seorang peguam Umno adalah "berdasarkan merit", kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.


Projek berkenaan diberikan kepada Emrail Sdn Bhd dan dan Zabima Engineering Sdn Bhd.

Penasihat undang-undang Umno Datuk Mohd Hafarizam Harun adalah seorang pengarah dalam kedua-dua syarikat berkenaan.

"Ia berdasarkan penilaian yang sewajarnya berdasarkan kertas kerja yang dibuat oleh syarikat itu kepada kerajaan," kata Muhyiddin ketika ditanya wartawan.

Sebelum ini, penulis blog Raja Petra Kamaruddin mendakwa kerajaan persekutuan mengamalkan kronisme dalam penganugerahan projek itu dan dipercayai projek Lebuhraya Kinrara-Damansara itu adalah sebagai habuan atau ganjaran kerana peranannya membantu BN merampas Perak dari Pakatan Rakyat.

Namun Hafarizam ketika dihubungi Malaysiakini pada 21 Februari lalu berkata bahawa kedua-dua syarikat itu menghadapi "persaingan sengit" semasa proses tender.

Katanya, pengalaman mereka menyiapkan projek landasan berkembar keretapi dari Rawang ke Ipoh sepanjang 179 kilometer diambil kira dan mereka menang atas merit.

Raja Petra berkata Hafarizam adalah ahli lembaga pengarah di kedua-dua syarikat - Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd yang mendapat konsesi lebuh raya itu.

Selain penasihat undang-undang Umno itu, Raja Petra juga mendedahkan bahawa seorang lagi pengarah Emrail adalah Nik Sazlina Mohd Zain, isteri bekas Ketua Hakim Negara Tun Zaki Azmi - Malaysiakini


Baca pula apa ulasan Peguam UMNO itu..

Peguam UMNO yang dimaksudkan, Datuk Hafarizam Harun memberitahu Malaysian Insider bahawa sebarang tanggapan kononnya satu persetujuan dibuat berikutan peranan beliau dalam krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009 telah ‘dicemari dan bersifat mala fide (berniat buruk) serta bertujuan mencetuskan kebencian, skandal dan memburukkan nama mereka.”

Hafarizam yang merupakan penasihat undang-undang UMNO, bagaimana pun menafikan konsesi pembinaan lebuh raya itu diberikan kepada beliau dan Tun Zaki kerana peranan mereka dalam krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009. Dalam krisis tersebut kerajaan negeri bertukar tangan dari Pakatan Rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang dikuasai UMNO.

Usaha Malaysian Insider untuk mendapat penjelasan daripada Tun Zaki gagal kerana beliau enggan membuat sebarang komen.

Dalam satu pesanan ringkas yang dikatakan dihantar kepada Malaysian Insider, Hafarizam dilaporkan berkata,”Kontrak tersebut diberikan kepada kami setelah syarikat berkenaan terbukti mempunyai keupayaan berdasarkan rekod prestasinya.”

Hari ini portal itu melaporkan pengesahan Hafarizam bahawa syarikat Emrail Sdn Bhd dan Zabima Engineering Sdn Bhd dianugerahkan kontrak bernilai RM2.2 bil itu untuk membina Lebuh raya Kinrara-Damansara.

“Ya, saya pengarah kedua-dua syarikat Zabima dan Emrail,” beliau memberitahu Malaysian Insider dalam jawapannya pagi tadi.

“Kedua-dua syarikat adalah berasingan dari segi pengkhususan, iaitu kepakaran dalam pembinaan landasan kereta api dan kontraktor Kelas A. Perkataan ‘D’ yang bermaksud ‘deal’ (urus janji) tidak tepat dan mengelabui fakta, selain dicemari niat buruk (mala fide) dan juga bertujuan mencetuskan kebencian, skandal dan memburukkan nama mereka,” jawab beliau apabila diminta menjelaskan berhubung dakwaan oleh RPK pada Ahad.

Dalam artikel bertajuk “Episod 9: Ganjaran kerana memulangkan Perak kepada UMNO” yang disiarkan dalam Malaysia Today, RPK mendakwa Hafarizam dan Tun Zaki yang bersara pada 9 September tahun lalu, dianugerahkan kontrak pembinaan lebuh raya bertol, melalui syarikat Emrail.

“Secara kebetulan, apakah anda dapat mengesan sesuatu yang penting dalam hal ini? Ya, betul tu…Penasihat Undang-Undang UMNO sekarang ini, yang mewakili parti tersebut sepanjang Krisis Perlembagaan Negeri Perak, sementara Penasihat Undang-Undang UMNO sebelumnya (Ketua Hakim Negara) membuat keputusan untuk ‘mengarahkan orang nombor dua beliau mengambil tempat di mahkamah sebagai menggantikan beliau.’ Cuba teka siapa yang menang dalam kes tersebut? Semua dalam keluargalah, katakan…!”

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails