Wednesday, March 14, 2012

Banquet Event Order bukti Najib belanjakan RM79,053 untuk Majlis Harijadinya..



Saya memandang serius kenyataan-kenyataan penafian yang dibuat tanpa disertakan bukti berhubung dakwaan salah guna kuasa Perdana Menteri yang ditimbulkan mutakhir ini. Walaupun saya mengalu-alukan kenyataan yang dibuat oleh Shangrila Hotel, ada dua aspek yang mempersoalkan ketelusan Perdana Menteri dalam berdepan dengan rakyat:


1) Sehingga sekarang, tidak ada sebarang maklumbalas dari Perdana Menteri mengenai 8 bukti yang sewajarnya diberikan kepada rakyat agar sebarang keraguan dapat dirungkai secepat mungkin, seperti yang disyorkan KEADILAN; dan

2) Perdana Menteri seolah-olah merasakan kenyataan penafian oleh pejabat beliau dan Shangrila Hotel sudah memadai untuk memadamkan isu ini.

Persoalan yang dibawa bukanlah semata-mata siapa yang menanggung kos majlis pertunangan tersebut, tetapi ketelusan dan operasi Pejabat Perdana Menteri yang sewajarnya mengasingkan di antara kepentingan peribadi dan tugasan umum. Perdana Menteri menjanjikan transformasi politik, ekonomi dan sosial sebagai jawapan kepada tuntutan rakyat agar rasuah dan salahguna kuasa pimpinan diperangi sehabis-habisnya; maka Perdana Menteri perlulah memberikan teladan yang baik bahawa segala urusan Pejabat Perdana Menteri bebas dari sebarang unsur salah guna kuasa dan pecah amanah.

Ini adalah piawaian integriti baru yang dituntut rakyat Malaysia. Mungkin Perdana Menteri merasakan isu ini remeh, tetapi sikap Perdana Menteri menangani isu ini membayangkan sama ada beliau betul-betul ikhlas dalam menjalankan transformasi politik, ekonomi dan sosial negara.

Sebab itu KEADILAN berpendapat masih banyak persoalan yang belum dijawab dalam hal ini, terutamanya apabila dibandingkan dengan satu lagi majlis peribadi yang menggunapakai khidmat Shangrila Hotel.

Pada hari Ahad 24 Julai 2011, Perdana Menteri telah mengadakan satu jamuan meraikan hari lahir beliau di Sri Perdana. Banquet Event Order (BEO) majlis tersebut diedarkan bersama-sama dengan kenyataan akhbar ini.

Berdasarkan BEO tersebut, fakta-fakta berikut adalah tepat:

1) Tempahan turut dibuat oleh Pejabat Perdana Menteri, walaupun ia jelas adalah majlis peribadi Perdana Menteri;

2) Berbanding dengan majlis pertunangan anak beliau, majlis ini dengan jelas menyatakan bahawa ia majlis peribadi Perdana Menteri. Ini menimbulkan persoalan kenapa majlis pertunangan anak Perdana Menteri tidak dinyatakan secara jelas sebagai majlis peribadi, sebaliknya disebut sebagai “majlis Pejabat Perdana Menteri”?

3) Perdana Menteri membelanjakan sekitar RM79,053 untuk satu majlis meraikan hari lahir beliau; pecahannya seperti berikut:

-Buffet untuk 100 tetamu @ RM207 setiap seorang = RM20,700
-Band Syed Sobri @ RM7,300 + 6% cukai = RM7,738
-Band Batak @ RM5,000 + 6% cukai = RM5,300
-Minuman 5 gallons @ RM750 + 6% cukai = RM795
-Gubahan bunga @ RM30,000 + 6% cukai = RM31,800
-Caj pengendalian @ RM12,000 + 6% cukai = RM12,720

JUMLAH = RM79,053

4) Majlis tersebut menyajikan 47 juadah antarabangsa termasuklah daging panggang yang diimport dari New Zealand, makanan Jepun, makanan Barat dan lain-lain.

Oleh yang demikian, saya ingin mengajukan soalan-soalan berikut kepada Perdana Menteri jika beliau benar-benar telus dan ikhlas untuk menjadi teladan kepada seluruh rakyat Malaysia:

1) Bilakah beliau akan mengemukakan 8 bukti yang disyorkan KEADILAN agar nama beliau dapat dibersihkan?

2) Dalam masa lebih kurang satu bulan, Perdana Menteri membelanjakan setengah juta ringgit untuk dua majlis mewah di Sri Perdana. Jika beliau bertegas ini dibayar oleh beliau sendiri, bagaimanakah beliau mampu berbelanja sedemikian rupa sedangkan pendapatan Perdana Menteri tidaklah seberapa?

3) Jika perbelanjaan mewah ini ditanggung oleh rakan taulan yang memberi tajaan, siapakah mereka ini dan apakah bukti Perdana Menteri bahawa sumbangan kepada majlis peribadi tidak mempengaruhi apa-apa keputusan beliau selama ini?

4) Wajarkah Perdana Menteri berbelanja besar sebegini untuk majlis hari lahir beliau sedangkan beliau menyeru rakyat Malaysia mengamalkan sikap sederhana (wasatiyah) dan mengawal perbelanjaan dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu ini? Kos hampir RM800 setiap tetamu ini lebih mahal dari sumbangan BR1M sebanyak RM500 yang diberikan kepada rakyat.

Perdana Menteri boleh sahaja tidak mengendahkan soalan-soalan ini, tetapi dengan bertanyakan soalan sebeginilah rakyat dapat membongkar pelbagai penyelewengan yang berlaku di dalam pengurusan dana awam NFC sehinggakan Barisan Nasional terpaksa tunduk kepada tekanan rakyat.

Perdana Menteri membuat keputusan tidak menyambung tempoh perkhidmatan Dato’ Seri Shahrizat Jalil apabila persoalan moral bersabit integriti sebegini diajukan kepada Dato’ Seri Shahrizat Jalil.

Apabila soalan-soalan yang sama diajukan kepada beliau sekarang, wajarlah beliau juga membuat ‘pengorbanan’ seperti yang dilakukan oleh Dato’ Seri Shahrizat Jalil dengan menjawab satu persatu secara ikhlas dan telus, demi menjaga integriti kerajaan.


MOHD RAFIZI RAMLI
PENGARAH STRATEGI KEADILAN
14 MAC 2012

RafiziRamli dotCom





Sila klik pada imej untuk paparan lebih jelas.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails