Tuesday, February 7, 2012

Parlimen bersidang 12 Mac 2012.. jadi tak bubarlah minggu ini..

7 Februari 2012


Kalau notis untuk bersidang pada 12 Mac ini sudah dikeluarkan kepada Ahli-ahli Parlimen maknanya lambat lagilah Parlimen nak dibubarkan..


Jadi Khabar angin yang tersebar meluas jumaat lalu.. hanyalah khabar angin.. sila baca di SINI

Parlimen sidang 12 Mac, PRU13 masih jauh?

SHAH ALAM - Spekulasi terbaru Parlimen akan dibubarkan pertengahan bulan ini kemungkinan besar akan meleset kerana sidang sesi Mac-April dijadual akan dirasmikan oleh Yang di-Pertuan Agong, 12 Mac ini.

Ahli-ahli Parlimen sudah menerima notis sidang Dewan Rakyat akan berlangsung selama sebulan mulai 12 Mac ini.

"Ya, kami sudah menerima makluman bahawa sidang Parlimen akan dirasmikan pada 12 Mac," kata Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan BN (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin kepada Sinar Harian Online.

"Kami menerima notis minggu lepas. Ya, boleh dikatakan Parlimen tidak dibubarkan, tetapi bila tarikh pembubaran, hanya Perdana Menteri sahaja yang tahu," kata Ahli Parlimen Kinabatangan ini.

"Tidak mungkin, tidak mungkin akan dibubarkan ketika Parlimen sedang bersidang, (jika dibubarkan), ia akan menyusahkan semua pihak... saya rasa (tarikh pembubaran) masih jauh," kata beliau mengulas lanjut spekulasi terbaru bahawa Parlimen akan dibubarkan bulan ini bagi membolehkan pilihan raya umum diadakan.

Perkara yang sama disahkan oleh Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, mengambil kira perkara itu, tidak mungkin Parlimen akan dibubarkan dalam waktu terdekat.

"Kami, ahli-ahli Parlimen juga telah diminta mengemukakan senarai soalan lisan sebelum 17 Februari ini," katanya ketika dihubungi.

Meskipun kedua-dua wakil rakyat itu berkeyakinan bahawa Parlimen tidak akan dibubarkan sebelum April ini, tetapi ia bukan petanda muktamad tidak akan ada pembubaran sama sekali.

Parlimen pernah dibubarkan ketika masih bersidang pada tahun 1999.

Selepas sidang Dewan Rakyat selama sebulan bermula 12 Mac ini, Dewan Rakyat dijadual akan bersidang selama dua minggu.

Bung Moktar menambah, pada pandangan beliau tidak ada keperluan untuk membubarkan Parlimen buat masa sekarang.

"Saya tidak nampak ada keperluan untuk mengadakan pilihan raya sekarang, Datuk Seri Najib Razak ada banyak perkara yang hendak dilaksanakan, beliau perlukan masa," kata beliau lagi.

Ketika bercakap kepada pemberita di Kuala Terengganu Khamis lalu, Najib berkata, PRU13 boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.

Mandat semasa akan berakhir April 2013.

Najib berkata, masa untuk mengadakan PRU13 bergantung kepada banyak factor, namun ia boleh diadakan pada bila-bila masa asalkan tidak lewat daripada April tahun depan.

“Buat masa ini, saya turun padang berjumpa rakyat, bukan sahaja saya tapi semua pemimpin kerana ini tanggungjawab sebagai pemimpin supaya rakyat tambah yakin kepada BN,” katanya mengulas desas-desus kononnya Parlimen akan dibubar minggu ini untuk memberi ruang kepada PRU13.

Mahfuz menambah, beliau yakin PRU13 tidak ada diadakan dalam waktu terdekat memandangkan ada beberapa isu semasa belum selesai sepenuhnya dan BN memerlukan masa untuk menyelesaikannya.

Katanya, ini termasuklah isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) dan skim Sistem Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang disemak semulam.

"Manakala urusan pengagihan wang tunai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) hanya akan selesai pertengahan April, jadi saya fikir BN memerlukan masa yang sesuai untuk memanggil pilihan raya umum," katanya lagi.

Katanya, mengambil kira perkembangan ini, pihaknya meramalkan PRU13 paling cepat akhir Mei atau Jun.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails