Saturday, February 18, 2012

Selepas Guan Eng vs Soi Lek.. 1Malaysia ingin saksi debat Najib vs Anwar pula...

Debat yang dianggap sedikit keluar tajuk dan berat sebelah..



Meskipun dianggap sedikit keluar tajuk, namun kesemuanya teruja dengan debat antara Setiausaha Agong DAP Lim Guan Eng dengan Presiden MCA Chua Soi Lek.


Dari pengulas, pengacara rancangan, sehingga hadirin yang ditemubual, kesemuanya menyatakan hasrat yang sama, yang turut diungkapkan oleh Lim Guan Eng sebermulanya debat pada petang ini, "Seluruh rakyat Malaysia ingin menyaksikan debat antara Najib dengan Anwar!"

Perbahasan dua pemimpin tertinggi dari DAP dan MCA ini diadakan dalam conference bertemakan "Kaum Cina Malaysia di persimpangan politik", dengan tajuk debat "Apakah Sistem Dua Parti akan menjadi Sistem Perkauman untuk dua kaum?", pada jam 5 petang di Hotel Berjaya Times Square.

Perdebatan anjuran bersama Institut Kajian Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI) dengan badan pemikir MCA, INSAP ini berlangsung untuk sejam, merangkumi sesi soal-jawab dari bawah pentas, dipengerusikan oleh Tang Ah Chai, Ketua Eksekutif Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KL-SCAH), disiarkan secara langsung oleh ASTRO.

Chua Soi Lek bermula dengan mengakui kebaikan "sistem dua parti" di negara demokrasi, namun menyerang DAP sebagai parti yang menabur fitnah dan mengamalkan politik dendam untuk merampas kuasa.

Chua mendakwa DAP sekarang sudah tidak sama dengan DAP yang lalu, kerana bersekutu dengan PKR dan PAS - satu gandingan politik yang akan didominasi PAS pada akhirnya.

Chua mengulangi serangannya, bahawa PAS akan menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan Hukum Hudud di Malaysia, dan ia gagal dihalang oleh DAP, yang disifatkan olehnya sebagai "eunuch" (pegawai yang dimandulkan) politik.

Chua menyindir DAP sebagai parti yang bijak menyolek imej dirinya, memberi contoh bagaimana parti yang mendakwa dirinya berbilang kaum itu selama ini hanya berani bertanding di kawasan majoriti Cina. Malah, Chua sekali lagi menyindir bahawa DAP tidak berani bertanding untuk mencabar UMNO.

Pakatan bersedia diperalatkan Rakyat

Lim yang berucap kemudiannya, mampu menjawab beberapa soalan, termasuk menyanggah tuduhan dengan mengemukakan hujah UMNO yang menyerang bahawa PAS dan PKR diperalatkan DAP.

Malah Lim menambah, parti komponen Pakatan Rakyat bukan saling memperalatkan, tetapi hanya bersedia diperalatkan oleh rakyat.

Sebaliknya, Lim berkata sistem perkauman wujud dalam Barisan Nasional sendiri, dengan UMNO untuk Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India.

Lim juga memetik kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang mendakwa dirinya mendahulukan identitinya sebagai orang Melayu lebih daripada sebagai orang Malaysia, untuk menunjukkan sistem perkauman dalam BN.

Malah, beliau mencabar pemimpin UMNO untuk mencontohi keberanian Anwar Ibrahim, yang melaungkan "Ketuanan Rakyat", menggantikan "Ketuanan Melayu", bukan sahaja di depan bukan Melayu, tetapi di depan masyarakat Melayu sendiri.

Malah Lim menekankan sekurang-kurangnya 40% Melayu menyokong parti komponen PR dalam PRU 12, yang menyebabkan beliau mampu diangkat sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang.

Chua-Lim bersilat lidah

Perdebatan semakin menyimpang dari tajuk, apabila memasuki pusingan seterusnya. Beberapa contoh dipetik oleh Chua, mahupun hadirin di bawah pentas, antaranya isu pengambilan komisen di Kedah yang didedahkan baru-baru ini, malah bantahan Pemuda PAS ketika Najib mengumumkan untuk memansuhkan kuota bumiputera - untuk menunjukkan PAS masih mengamalkan politik rasuah dan perkauman.

Malah, Lim diserang dengan isu tender "kot" yang melibatkan Nga Kor Ming (bekas EXCO Pakatan Rakyat Perak), dan ketidaksampaian kerajaan negeri Pulau Pinang untuk melaksanakan manifesto pilihan rayanya.

Lim apabila sampai gilirannya, menyerang dengan mendakwa bekas Presiden MCA yang terpalit dengan skandal-skandal, termasuk skandal koperasi pada tahun 1980-an, hingga PKFZ pada beberapa tahun kebelakangan ini. Malah beliau mempersoalkan sama ada Chua menerima keadaan di mana tiada pimpinan UMNO didakwa dalam kes PKFZ?

Chua tidak menyerah begitu sahaja, mendakwa MCA yang berumur lebih 60 tahun, semestinya melakukan kesilapan, sementara kebaikan yang juga dilakukan pada masa yang sama.

Namun, Pakatan Rakyat yang hanya berumur 3.5 tahun, telah menunjukkan rekod yang tercemar, menurutnya. Malah, Chua mendakwa MCA yakin dengan sistem penghakiman untuk menegakkan keadilan, berbeza dengan mereka yang mengerah demonstrasi apabila dibicarakan di mahkamah.

Ketika menggulung perdebatan, Lim lebih untuk mempromosi dasar Pakatan Rakyat, mengambil kesempatan untuk menyeru agar masyarakat Cina menyokong PR. Lim tidak menjawab isu Negara Islam, cuma membalas dengan "PAS tidak pernah membunuh orang Cina", tanpa sebut nama Teoh Beng Hock.

Bagaimanapun, Chua mengasak Lim untuk mengemukakan satu dasar ekonomi - bagaimana untuk mengeluarkan rakyat dari tersepit dengan pendapatan rendah? Chua menganggap Lim masih kekal dengan perangainya sebagai kaki demo, dan hanya mengubal dasar populis ketika menerajui tampuk kerajaan.

Debat itu dihadiri oleh kira-kira 1,000 orang dalam dewan, terdiri daripada penyokong MCA, DAP, orang awam dan pengamal media, dengan kelebihan peluang soal diberikan kepada penyokong MCA - sehingga diprotes penyokong DAP.

Pengerusi debat ini, Tang Ah Chai bagaimanapun memuji prestasi kedua-dua Lim dan Chua, dan berharap masyarakat ini memiliki keberanian untuk bersuara, dan kelapangan dada untuk mendengar pandangan yang berbeza.


MerdekaReview

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails