Friday, January 20, 2012

Tun Faisal dedahkan UMNO miliki 1800 Cybertrooper


Pengerusi unit media baru Umno, Tun Faisal Ismail Aziz berkata beliau tidak dapat mengawal penulis blog tertentu seperti Papagomo dan Parpukari yang dikatakan sering menyiarkan tulisan berunsur fitnah di laman berkenaan.


Katanya, beliau tidak menyokong pandangan tertentu yang diketengahkan dalam blog berkenaan namun beliau mengakui bahawa laman berkenaan menyumbang kepada pengaruh Umno, lebih-lebih lagi ketika menghadapi pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.

"Tapi saya lebih bimbang apabila berdepan dengan pemilihan Umno. Penulis blog ini akan bersaing antara satu sama lain.

"Nak kawal blogger Umno sendiri bukan senang. Apa cara kita hendak kawal mereka?," katanya lagi ketika ditemui di satu majlis diskusi pengguna laman blog popular Twitter, malam tadi.

Jelasnya, kedua-dua penulis blog berkenaan juga telahpun meraih populariti apabila Umno mula menubuhkan unit baru itu ketika memasuki gelanggang pilihan raya 2008.

Tambahnya, kumpulan pro-pembangkang telah mula menggunakan ruang Internet semenjak 1999 ketika slogan seperti "Mahazalim" mula timbul sebagai kritikan kepada corak pemerintahan perdana menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Kita jauh ketinggalan di belakang sedangkan lanskap (perang media) telahpun berubah. Pada 2008 kita terkejut kerana ia bukan lagi sekadar tulisan tetapi kandungan multimedia digunakan.

"Fitnah semakin banyak dengan gambar dan visual. Sebab itu Pak Lah kena teruk (diserang). Ianya lebih teruk daripada (fitnah) 'zaman Mahazalim'," katanya lagi.

Semenjak dilantik mengetuai unit berkenaan pada 2010, Tun Faisal berkata beliau telah melatih seramai 1,800 orang untuk bergiat di ruang siber melalui penulisan blog dan juga menyertai laman sosial.

Secara peribadi, beliau bagaimanapun hanya mengenali seramai 27 orang daripada jumlah tersebut.

"Penulis blog yang menyerang ini, sukar untuk kenali mereka, mungkin mereka terikut dengan orang lain," katanya lagi.

Beliau dilantik oleh ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin ke unit berkenaan untuk mendedahkan orang Umno supaya tidak begitu bergantung kepada media arus perdana.

Sekarang, kata Tun Faisal, pihaknya ada lebih ramai orang di media dalam talian untuk mengimbangi keadaan tersebut.

'Cybertrooper' berkenaan juga, katanya, dilatih untuk menyerang pembangkang dan juga untuk melengkapi fungsi media arus perdana yang lebih banyak melaporkan dasar dan implementasi kerajaan

"(Latihan tersebut) sama ada anda kelirukan orang atau beritahu sisi cerita yang lain," katanya lagi berjenaka.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails