Monday, January 16, 2012

Selepas Liwat II, akhbar Umno tuduh Anwar bela hak golongan gay


KUALA LUMPUR — Hanya beberapa hari selepas bebas tuduhan liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini dituduh mempertahankan hak golongan homoseksual, dakwa Mingguan Malaysia mendakwa beliau berkata demikian semasa temubual dengan BBC.


Anwar telah dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan, dengan Mahkamah Tinggi memutuskan tidak cukup bukti untuk membuktikan Anwar melakukan perkara itu.

Akhbar milik Umno itu dalam laporan muka depan bertajuk “Anwar ulas isu gay” sementara Berita Harian pula dengan tajuk “Tindakan Anwar sokong homoseksual dikecam”.

Mingguan Malaysia berkata ketua pembangkang itu semasa temubual dengan BBC mengatakan undang-undang berkaitan hak golongan seksual di Malaysia tidak boleh diterima sebagai sesuatu yang relevan.

Wartawan BBC bertanya kepada Anwar sama ada beliau bersedia untuk menolak idea anti-diskriminasi hak golongan gay yang menjadi kebimbangan di mana beliau berkata “kami akan kaji semula undang-undang lapuk ini.”

“Kami masyarakat Islam dan bukan Islam di Malaysia secara keseluruhannya percaya dan komited untuk menyokong kesucian perkahwinan antara lelaki dan wanita tetapi kami tidak harus dilihat sebagai menyusahkan dan menganggap undang-undang lapuk sebagai relevan.” kata Anwar kepada BBC.

Tetapi ayat sambungan pemimpin pembangkang itu tidak dinyatakan di kedua-dua akhbar itu.

Anwar juga berkata pandangan Pakatan Rakyat adalah “kami tidak menggalakkan homoseksual di domain awam dan kami tidak perlu meminta maaf.”

Laporan Utusan itu menegaskan pembebasan Anwar diterima baik oleh beberapa pihak yang cenderung menyokong kebebasan hak kumpulan lesbian, gay, bisesksual dan transeksual (LGBT) termasuk sebuah pertubuhan homoseksual di Filipina.

Dalam sokongan kepada Anwar, pertubuhan yang dikenali sebagai Organisasi Progresif Gay Filipina (ProGay) menerusi sebuah portal berita membuat kenyataan, sudah tiba masanya undang-undang berkenaan liwat yang merupakan sebahagian daripada legasi kolonial British itu dihapuskan.

Sementara itu Berita Minggu, edisi mingguan Berita Harian mengkritik Anwar kerana menyokong hubungan sesama jenis.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria berkata umat Islam tidak boleh mengeluarkan kenyataan yang dilihat menyokong amalan seks sejenis iaitu homoseksual, lesbian atau liwat antara dua jantina berbeza kerana ia boleh menyebabkan mereka terkeluar daripada asas akidah.

“Kita tidak boleh menyokong atau menghalalkan hubungan sejenis kerana ia sama dengan menghalalkan zina. Ini boleh menyebabkan seseorang itu murtad.

“Umat Islam harus menentang amalan seks sejenis tidak kira sama ada lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan atau amalan liwat antara lelaki dengan wanita. Jangan kerana mahu mengejar sokongan, kita membelakangkan agama,” katanya dipetik Berita Minggu.

Bekas ahli Parlimen PKR Wee Choo Keong berkata keberanian Anwar adalah untuk mewujudkan undang-undang membela hak golongan gay dalam manifesto Pakatan Rakyat.

“Setahu saya, homoseksual perbuatan serius dalam hukum syariah Islam dan sebarang pandangan mengenainya perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam. Dalam hal ini, seharusnya Anwar lebih faham berbanding saya,” kata Ahli Parlimen Wangsa Maju ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails