Saturday, January 14, 2012

Scandal NFC: Takkan beku harta saja kot...


SHAH ALAM – Pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak membekukan aset Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC) sehingga siasatan pihak berkuasa berhubung kontroversi yang menyelubungi projek lembu daging itu selesai, menandakan Perdana Menteri mula memikul pertanggungjawaban awal, setelah mendiamkan diri selama tiga bulan.


Najib mengumumkan keputusan itu awal hari ini di Perak. Pengarah Stretegi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli berkata, keberkesanan langkah membekukan aset itu bergantung kepada sejauh mana tindakan itu akan dilaksanakan.

“Saya menyeru Perdana Menteri memastikan bahawa kesemua aset yang dibeli menggunakan dana NFC oleh syarikat-syarikat lain milik keluarga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, turut dibekukan.

“Pendedahan PKR setakat ini jelas menunjukkan bahawa hartanah dan aset berharga yang dibeli tidak diletakkan di bawah NFC tetapi dimiliki oleh syarikat-syarikat lain yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Jalil,” katanya.

Semalam, Sinar Harian Online melaporkan Rafizi tetap konsisten mahu kepimpinan Najib membekukan operasi dan aset NFC, projek ternakan lembu, yang dikaitkan dengan keluarga Shahrizat.

Menurutnya, kerajaan harus membekukan aset NFC sementera siasatan dijalankan, harus menghentikan operasi NFC dan menghentikan sebarang bayaran dan menghalang NFC daripada membuat sebarang keputusan-keputusan penting.

"Soal Datuk Seri Shahrizat mengambil cuti selama tiga minggu bagi membolehkan siastaan dijalankan, ia adalah perkara kedua, bukan keputusan signfikan," katanya.

Kata beliau, kerajaan pusat perlu mengambil tindakan membekukan dana yang disalurkan sebab ia membabitkan wang rakyat dan negara.


Sehubungan itu, Rafizi berkata, Najib perlu membentangkan pelan menyeluruh kerajaan untuk membekukan dan mengambil kembali aset-aset ini kerana tindakan membekukan aset NFC sahaja adalah tidak memadai walaupun ia satu langkah permulaan yang baik.

Mengulas tentang keputusan Najib menyerahkan kawalan projek NFC kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri, Noh Omar, beliau tidak setuju dengan keputusan itu.

Beliau mendakwa, keseluruhan penyelewengan yang berlaku di NFC adalah dibawah seliaan mereka sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani sebelum ini.

“Kejadian dana yang besar yang dipindahkan ke syarikat-syarikat milik keluarga Shahrizat berlaku pada ketika kedua-dua orang menteri ini sepatutnya memastikan dana hanya dibelanjakan bagi tujuan aktiviti perniagaan NFC sahaja.”

“Kecuaian mereka sebelum inilah yang menyebabkan dana rakyat diselewengkan untuk membeli kondominium mewah, tanah banglo, melancong ke luar negara dan lain-lain,” katanya.

Rafizi berkata, tindakan Najib menyerahkan tanggungjawab kepada timbalannya dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani seumpama mencuci tangan, dengan harapan kedua-dua mereka ini pula yang mendapat tempias.

“Rakyat tidak berminat dengan permainan politik dalaman Umno asalkan keseluruhan wang yang telah diselewengkan dikembalikan kepada rakyat dan mereka yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.”

“Saya mendesak supaya langkah awal membekukan aset NFC ini disusuli pula dengan pelantikan pentadbir korporat untuk mengambil alih pentadbiran NFC dan melaporkan kepada Dewan Rakyat kesemua penyelewengan yang telah berlaku di dalam NFC dan syarikat-syarikat milik keluarga menteri,” katanya.

Beliau menambah, sekiranya tindakan membekukan aset tidak disusuli dengan perantikan pentadbir korporat, ia tidak ubah seperti melepaskan batuk di tangga seperti mana keputusan mengarahkan Shahrizat mengambil cuti berbayar selama tiga minggu sahaja.


Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails