Sunday, January 22, 2012

Scandal NFC: PERKASA pula cabar NFC lapor polis isu kad kredit..


Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini mencabar pengendali projek lembu National Feedlot Corporation (NFC) membuat laporan polis balas bagi menafikan dakwaan penyelewengan perbelanjaan kad kredit syarikat itu sehingga RM600,000.


Presidennya Datuk Ibrahim Ali secara spesifik menyebut laporan itu mesti dibuat oleh pengarah eksekutif NFC Wan Shahinur Izmir Salleh yang tampil menafikannya sebelum ini.

"Baru-baru ini adalah laporan polis oleh sekumpulan yang memakai baju hitam bertulis JINGGA 13 yang membuat laporan polis di balai polis Dang Wangi.

"Jadi saya cabar Izmir, oleh kerana itu laporan polis yang tidak betul, supaya minta dia buat laporan polis pula.

"Saya cabar Izmir kalau kalau di pihak yang betul, kamu (Izmir) kata itu tak betul, itu fitnah, saya cabar Izmir ini pula, kamu pula buat laporan bahawasanya itu laporan palsu," katanya.

PERKASA dan beberapa NGO Melayu hari ini diberikan taklimat oleh pengerusi NFC Datuk Mohamad Salleh Ismail - yang juga suami kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Jalil - lebih dua jam di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

JINGGA 13 - minggu lalu membuat laporan polis terhadap empat anggota keluarga mereka yang didakwa membelanjakan hampir RM600,000 pada tahun 2009 dengan kad kredit yang wangnya dari dana NFC.

NGO yang dekat dengan Pakatan Rakyat itu juga mempersoal sama ada benar wang itu tidak dibelanjakan untuk kepentingan peribadi atau berpoya-poya, sebaliknya untuk perbelanjaan pengurusan projek lembu atau NFC.

Dalam sidang media selepas itu, Ibrahim berkata, beliau difahamkan laporan polis itu akan dibuat atau jika tidak PERKASA akan "simpan kepercayaan" atas penjelasan isu itu hari ini.

Ibrahim juga berkata, dalam dialog dengan 12 NGO hari ini, mereka difahamkan perbelanjaan tinggi kad kredit itu itu dibuat atas nama aktiviti syarikat.

"Tetapi mereka pergi ke Australia untuk promosikan itu dan ini, jadi syarikat bayarlah guna dia punya kad kredit. Ini aktiviti syarikat," katanya lagi.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails