Monday, January 16, 2012

Saya akan berada di barisan hadapan BERSIH 3.0 - Kadir Sheikh Fadzir


SHAH ALAM - Timbalan Presiden Angkatan Amanah Merdeka (Amanah), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir tidak menyatakan pendirian menyokong Pakatan Rakyat (PR), tetapi yang jelas beliau menyokong sesebuah kerajaan yang bersih, adil dan berusaha menghapuskan amalan rasuah.


“Saya tidak mahu komen kenyataan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu mengenai sokongan saya dan beberapa sahabat lain kepada PR untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang,” katanya.

Bekas Menteri Penerangan ini berkata, beliau menyokong mana-mana kerajaan yang mengamalkan pilihan raya bebas, telus dan berkecuali, sebagaimana dengan pendirian pemimpin dan dasar Amanah.

Menurutnya, sudah tiba masa kerajaan menghormati hak rakyat dengan mengadakan pilihan raya adil sebagaimana dilakukan bekas Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

“Sekiranya ada perhimpunan Bersih 3.0, saya akan kerahkan semua ahli Amanah menyertainya dan saya akan berada di barisan hadapan. Saya bukan berniat hendak mengugut kerajaan, tetapi saya tidak mahu peme-rintah menipu rakyat.

“Amanah juga berjumpa dengan beberapa Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen mengenai pilihan raya. Kami sarankan media masa diberi kebebasan dan tidak menyiarkan berita berat sebelah, serta berharap pilihan raya diadakan selepas melaksanakan penambahbaikan,” katanya.

Abdul Kadir berkata, kerajaan perlu berubah supaya mereka tidak mengalami nasib seperti berlaku di Mesir, Syria dan Libya, apabila rakyat memberontak dan menuntut hak asasi serta mahu kerajaan yang adil.
Sementara itu, Umno menyifatkan kenyataan Mohamad mengenai ‘sokongan orang BN kepada Pakatan Rakyat tidak benar.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Mazlan berkata, kalau benar ada pemimpin atau bekas pemimpin BN sokong PR, kemukakan senarai nama mereka.

“Kenyataan itu cuba menghuru-harakan BN. Kita kenal siapa Mohamad atau Mat Sabu dan sedia mendedahkannya kepada rakyat mengenai perkara ini. Jangan pula beliau memberi gelaran hero kepada komunis tanpa melakukan apa-apa kajian. Sekarang kita hendak percaya cerita ini?” katanya.

Sekiranya Amanah menyokong PR, katanya, sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mereka berhak berbuat demikian dan ini tidak bermakna tindak tanduk berkenaan membenci parti sendiri.

Menurutnya, Umno akan tergugat sekiranya, pemimpin Amanah mengumumkan untuk keluar parti dan memberi sokongan terbuka kepada PR.

“Bagaimana pula dengan Pengerusi Bersih, Datuk S Ambiga yang mahu perasuah kecil diberi pengampunan? Kita dalam kerajaan, tidak kira kakitangan kerajaan yang menerima rasuah RM5 hingga RM5,000, misalnya, tetap ambil tindakan,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, sekiranya ini menjadi dasar PR, negara akan hancur kerana rasuah perlu dihapus bermula akar umbi, bukan di peringkat atasan sahaja.

“Hendak hapus rasuah bukan perkara senang dan mudah macam mereka cakap. Saya tahu mereka gelar pemerintah sekarang sebagai kerajaan tidak peka pada rasuah kerana melihat kes Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Khir Toyo.

“Sedangkan Shahrizat sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Khir masih membuat rayuan mengenainya. Kita tidak menutup kes ini,” katanya.

Beliau berkata, memberi imej hanya pemimpin dan ahli Umno serta BN sahaja rasuah tidak adil kerana amalan ini tidak mengenal bangsa dan fahaman politik.

“Penulis Blog, Raja Petra Kamarudin ada buat pendedahan tentang rasuah di Selangor dan sebelum ini beberapa pemimpin DAP ditangkap kerana rasuah dan ada yang sanggup bunuh diri kerana takut mendedahkan pemimpin mereka (PR) terlibat dengan rasuah.

“Nasihat saya, Mat Sabu perlu cermin diri terlebih dahulu sebelum menuduh orang lain mengamalkan rasuah kerana ada pemimpin mereka tidak semuanya suci dan bersih daripada menerima rasuah,” katanya.

Sinar Harian

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails