Friday, January 6, 2012

Salahguna Wang Zakat : Siapa BOHONG? Jamil Khir atau Ketua Audit Negara?


PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Jingga 13 hari ini mahu Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang segera memberi penjelasan tentang penyelewengan dan salah guna kuasa RM63,650 wang zakat oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom bagi menguruskan kes tuntutan qazaf oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Dalam memorandumnya kepada Ambrin, Jingga 13 mohon penjelasan berikutan penafian Jamil Khir yang dianggapnya sebagai memperlekehkan kredibiliti dan integriti Jabatan Audit Negara.

Memorandum itu diserahkan oleh Penyelaras Jingga 13 Fariz Musa kepada Pegawai Khas Ketua Audit Negara Jamilah Jais di Putrajaya petang tadi.

Fariz berkata walaupun tidak menafikan wang zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu sudah dikembalikan semula, namun yang dipertikaikan adalah wujudnya penyelewengan dan salah guna kuasa terhadap wang zakat selama hampir 11 bulan (Februari – Disember 2010) yang cuba dinafikan oleh Jamil Khir malah kini memutarbelitkan kenyataan dan fakta.

“Pada 21 Jun tahun lalu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Mashitah Ibrahim mengakui kos guaman dibayar menggunakan peruntukan wang zakat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang Saifuddin Nasution dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Parlimen.

“Berdasarkan laporan Ketua Audit Negara kepada Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara pada 21 November tahun lalu juga telah mengesahkan perkara yang sama tetapi semua ini dinafikan Jamil Khir,” katanya.

Laporan Audit mendedahkan Ketua Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali telah meluluskan bayaran interem berjumlah RM31,500 menggunakan peruntukan sumber am bagi perkhidmatan perundangan pada 28 Januari 2010 .

Bayaran ini diluluskan pada 9 Februari 2010 menggunakan peruntukan zakat terlebih dahulu kerana geran Kerajaan belum diterima pada tarikh tersebut.

Pada 29 April 2010, MAIWP telah membuat pembayaran baki kos guaman berjumlah RM32,150 ( termasuk perbelanjaan pelbagai berjumlah RM650) menggunakan peruntukan sumber zakat terlebih dahulu. Bayaran ini dibuat apabila menerima laporan daripada Tetuan Zainul Rijal Talha dan Amir setelah kes selesai.

Namun Jamil Khir menafikannya malah memberi alasan bahawa setiap kementerian mempunyai peruntukan bagi yuran guaman untuk kes-kes tertentu.

Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails