Sunday, January 29, 2012

Pensyarah Korea bimbang tulisan jawi semakin dilupakan di Malaysia... Salah siapa??


Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea Prof Dr Kang Kyoung Seok, dari Pusan University of Foreign Studies yang mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 hari ini dilaporkan melahirkan kebimbangannya berikutan semakin tenantnya tulisan itu... Hmmm.. Salah siapa??



Pensyarah Korea: Jawi 'sedang tenat'

KUALA LUMPUR - Seorang pakar tulisan jawi berbangsa Korea melahirkan kebimbangan tulisan itu semakin dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda di Malaysia.

Prof Dr Kang Kyoung Seok, daripada Pusan University of Foreign Studies, mula mengkaji tulisan jawi sejak 1974 dan menganggapnya sebagai satu keunikan milik Malaysia.

Menurutnya, tulisan jawi sedang "tenat" dan jika keadaan itu berterusan, ia mungkin pupus satu hari nanti.

"Malaysia perlu mendidik generasi muda dalam tulisan jawi. Sekarang terlalu ramai pakar saya kenali sudah bersara tanpa ada pengganti. Bila pakar sudah tiada, siapa akan menerajui usaha pemeliharaan tulisan jawi nanti?," kata Dr Kang yang fasih berbahasa Melayu kepada Bernama.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris, menegaskan media memainkan peranan penting dalam memastikan tulisan jawi digunakan secara lebih meluas.

Kyoung Seok berharap akhbar yang menggunakan bahasa jawi seperti Utusan Melayu diberi nafas baru untuk menarik minat rakyat di negara ini membacanya.

Selain itu, pihak terlibat seperti Institut Terjemahan Negara Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka perlu memainkan peranan dalam menterjemahkan lebih banyak buku ke tulisan jawi, katanya.

Kyoung Seok menarik perhatian bahawa sistem ejaan jawi sekarang perlu dikembalikan kepada sistem ejaan jawi Za'ba yang lebih ringkas dan mudah dipelajari bagi menarik lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya generasi muda menggunakan sistem tulisan itu.

Beliau berkata jika rakyat Malaysia menguasai sistem ejaan jawi Za'ba, mereka akan lebih mudah memahami sistem ejaan jawi yang lebih kuno, malah mampu memahami manuskrip jawi berusia ratusan tahun.

"Ini kerana asas ejaan jawi Za'ba menggunakan asas yang sama dengan tulisan jawi kuno yang berasal daripada tulisan al-Quran. Tulisan jawi sekarang asasnya daripada tulisan rumi yang 'lari' daripada asas tulisan jawi kuno," jelas beliau.

Beliau berkata Malaysia perlu melahirkan lebih ramai pakar tulisan jawi terutamanya daripada kalangan generasi muda bagi menggantikan pakar yang telah bersara - Sinar Harian



Kat bawah ini ialah tulisan dari TG Nik Aziz pada tahun 2004

Tulisan jawi dan Kementerian Pelajaran

Oleh Nik Abdul Aziz Nik Mat

TEKANAN kepada tulisan jawi supaya generasi tidak buta Al Quran seperti yang cuba dibuat sekarang benar-benar menggambarkan Umno tidak pernah pasti apa yang dibuatnya.

Bagai sibuta, Umno urus banyak perkara di Malaysia dengan meraba-raba. Saya mengatakan begini kerana tidakkah kira-kira 30 tahun yang lalu seorang Menteri Pelajaran dalam kabinet Umno jugalah yang menghapuskan tulisan jawi di sekolah-sekolah.

Ini terang-terang mahu membuta hurufkan generasi anak-anak kita daripada jawi. Tidak pandai jawi akan dengan sendirinya tidak boleh membaca dan menulis dalam jawi.

Ini juga bermakna melemahkan penguasaan terhadap Bahasa Arab. Ini seterusnya menjejaskan kefahaman mengenai Al Quran. Bukankan Islam itu berada didalam Al Quran?.

Sedar akan tersangat silapnya langkah Umno, PASlah satu-satunya parti yang menegur Umno di ketika itu dengan sekuat-kuatnya. Ada pemimpin Umno dengar?.

Setelah 30 tahun kemudian, baru sekarang mahu perkenalkan jawi dan Bahasa Arab dalam kurikulum pendidikan mulai tahun 2005. Dalam kes ini, Umno terang-terang telah melakukan tiga kesilapan.

i) Menguburkan tulisan jawi.

ii) Umno berdosa kerana telah melahirkan satu lapisan generasi yang teramat lemah dalam tulisan jawi dan Bahasa Arab yang menjadi bahasa Al Quran.

iii) Umno telah memundurkan tulisan jawi dikalangan umat Islam 30 tahun kebelakang.

Ertinya di sini, PAS betul dan Umno telah mengakui kesilapan mereka. Seperti yang selalu saya katakan Umno memang parti yang tiada dasar. Dia tidak tahu apa yang dibuatnya.

Sekarang pula sibuk nak bantu perkembangan bahasa, baik Tamil, Mandarin dan Bahasa Melayu. Menurut Dato’ Rais Yatim, Dewan Bahasa dan Pustaka diberi kuasa penuh untuk mengutkuasakan pendaulatan Bahasa Malaysia sebagai Bahasa Kebangsaan.

Dua tahun lepas, tidakkah pemimpin Umno jugalah yang cuba memperlekehkan kempen Bahasa Kebangsaan. Bahasa Inggeris lebih utamalah. Gunakan Bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematiklah.

Sekarang, bila bahasa dah jadi rojak, sibuk pula itu dan ini. Sekali nak suruh semua sekolah Tamil dan Cina menyertai sekolah Wawasan. Sekarang pula, bagaimana masa depan sekolah-sekolah dari dua aliran berkenaan?

Sekali nak kuatkan tulisan jawi dan majukan penguasaan Bahasa Arab. Sekali pula nak tutup, malah dah hentikan bantuan kepada semua sekolah-sekolah agama rakyat yang memang telah sekian lama menitikberatkan penggunaan tulisan jawi, Bahasa Arab dan penguasaan ilmu Al Quran.

Dalam banyak perkara PAS sentiasa terkehadapan. “We are leading”. Pendek kata, segala kecelaruan ini adalah berpunca dari “kerja tangan” pemimpin Umno yang keliru dan mengelirukan. Seluruh umat Islam amnya dan orang Melayu khasnya jadi pening dengan Umno.

Dulu, Kementerian Pelajaran. Kemudian tukar kepada Kementerian Pendidikan di zaman Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana konon terlalu pentingkan adab, ilmu dan akhlak. Sekarang, kembali semula ke Kementerian Pelajaran pula. Mana rakyat tidak pening.

Dulu nak hapus tulisan jawi. Kemudian nak terap nilai-nilai Islam. Kemudian terus isytiharkan Malaysia Negara Islam tanpa perlu apa-apa pindaan. Kini Islam Hadhari pula.

Esok? apakah bermakna, Umno tidak lagi berminat dengan adab dan akhlak apabila menukar nama kementerian daripada Pendidikan kepada Pelajaran? Mendidik lain. Mengajar lain.

Setahu saya, mendidik lebih hampir kepada mengasuh dan lebih mesra dengan falsafah Pendidikan Negara yang menekankan pembangunan jasmani, emosi, rohani dan intelek. (JERI).

Dengan pertukaran nama kementerian, Kementerian Pelajaran nak ambil dasar pendidikan mana pula? Jika mahu diubah, nak diubah ke mana? Nampaknya, gerakan Islam yang dipimpin oleh PAS di negara ini sentiasa berada di hadapan dalam banyak perkara.

Kita telah lama membuktikan bahawa tulisan jawi itu penting. Lihatlah apa yang kita didik dan asuh anak-anak melalui pendidikan di PASTI. Jawi telah diberi tempat yang istimewa dari dulu hingga sekarang sejak di peringkat pra sekolah disemua sekolah PASTI.

Kami tidak pusing kiri dan pusing kanan ikut suka. Kami pasti seyakin sekolah PASTI. Cemburukan kejayaan ini, Umno mencetuskan fitnah seolah-olah sekolah PASTI mengajar anak-anak membenci pemimpin mereka. Bila diminta bukti, sampai sekarang Umno terdiam.

Begitu juga dalam soal bahasa. Kami sentiasa konsisten. Kita yakin bahawa bahasa dan tulisan itu sejenis nikmat anugerah dari Allah S.W.T. Allah yang menjadikan manusia itu berbangsa-bangsa.

Tentunya bangsa yang berlainan melahirkan bahasa dan tulisan yang berlainan. Begitu juga dengan budaya. Islam mengiktiraf perbezaan-perbezaan ini. Bagaimanapun, tidak salah untuk diadakan Bahasa Kebangsaan. Akan tetapi, kewujudan bahasa-bahasa lain perlu dibenarkan.

Saya sendiri naik pening dengan dasar-dasar Umno. Sekali, ajak rakyat ke Sekolah Wawasan. Sampai sekarang, kita pun tidak tahu lagi apa yang pemimpin Umno nak buat kepada sekolah-sekolah kebangsaan Cina dan Tamil.

Yang kita pasti ialah bantuan perkapita kepada semua Sekolah Agama Rakyat yang terang-terang mengajar tulisan jawi, menghafal Al Quran dan berbahasa Arab telah disekat.

Itu sangat jelas. Entahlah apa nak jadi dengan Umno pun kita tidak tahu. Dalam soal Islam, mereka tidak jelas. Dalam soal perjuangan melayupun mereka tidak jelas. Dalam perkara bahasa dan tulisan pun mereka tidak jelas.

Jika benar-benar diperhati, Umno sudah tiada modal. Apa yang dibuat semuanya tak kena. Sudahnya, mereka berpatah balik dan kembali mengikuti nasihat PAS. Walaupun di peringkat awal mereka melenting, tetapi beberapa tahun kemudian mereka akan kembali kepada apa yang pernah disarankan oleh PAS.

Di sinilah hikmat adanya parti pembangkang. Kami menegur berasaskan keadilan yang terkandung didalam Islam. Dalam soal PLKN pun sama. Kita minta Latihan Khidmat Negara dihentikan segera dan buat kajian semula yang lebih terperinci.

Masukkan pendidikan Islam secara amali yang berpanjangan didalam latihan Pada kami, program yang menelan wang rakyat lebih RM500 juta itu dibuat dengan tiada perancangan. Ada dia dengar?

Tengoklah nanti. Kudis anti akhlak akan terbit satu demi satu jika Umno masih berdegil tidak mahu dengar nasihat. Dasar orang yang terlalu fikir dia kuat, begitulah.

Kesombongan mereka lazimnya sentiasa melebihi batas. Melanggar batas Allah lah yang sangat-sangat kita bimbang. Ia mengundang bala laknat dan musibah!. Cakaplah beberapa banyak pun mengenai Islam Hadhari. Jika hukum dan peraturan Allah ditolak, maka inilah padah.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails