Saturday, January 28, 2012

NFCorp perlu bertanggungjawab atas kelemahan NFC - Noh Omar


PETALING JAYA, 28 Jan — Datuk Seri Noh Omar mengakui Pusat Fidlot Nasional (NFC) dan National Feedlot Corporation (NFCorp) “terikat” antara satu sama lain seperti yang dimeterai dalam perjanjian.


Justeru Menteri Pertanian dan Asas Tani ini berkata NFCorp perlu bertanggungjawab atas kelemahan yang berlaku dalam NFC walaupun mereka merupakan entiti yang berlainan.

Sebelum ini NFCorp mengatakan Laporan Ketua Audit Negara mengakui wujudnya kelemahan dalam NFC, yang merupakan agensi kerajaan dan bukan NFCorp yang dimiliki keluarga Datuk Seri Shahrizat Abd Jalil.

“Ia perlukan komitmen kedua-duanya,” jawab Noh apabila ditanya oleh wartawan jika NFCorp bertanggungjawab atas kelemahan NFC.

Jelas beliau, NFC dan NFCorp memerlukan antara satu sama lain untuk memberikan perkhidmatan yang baik dalam bidang pengeluaran daging lembu.

“Ya, kedua-duanya mesti tolong antara satu sama lain, dua-dua ada komitmen masing-masing sebab itu ada perjanjian.

“Ada dua perjanjian yang perlu ditandatangani, satu perjanjian pinjaman dan satu lagi perjanjian pelaksanaan dan perjanjian itu berjaya dicapai pada 2010,” katanya.

Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata mengenai kelemahan yang wujud NFC dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menyiasat sekiranya terdapat unsur-unsur penyelewengan.

Beliau berkata perkara yang menjadi fokus utama pengauditan oleh Jabatan Audit Negara ialah NFC sejak penubuhannya pada 2006 dan bukan NFCorp sebagai sebuah syarikat.

Tambah Noh, segala perkembangan baru mengenai NFC akan dimaklumkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Skandal NFC telah menjadi topik hangat tahun lepas apabila Laporan Ketua Audit Negara 2010 mendapati terdapat kecelaruan terhadap projek ternakan lembu yang diuruskan keluarga Shahrizat itu.

Semenjak itu, beberapa siri pendedahan telah dibuat PKR, termasuk pembelian dua unit kondominium mewah di Bangsar, Kuala Lumpur, dan pertuduhan menggunakan dana berkenaan untuk kegunaan peribadi keluarganya.

Namun demikian, NFCorp menafikan dakwaan tersebut dan menegaskan perbelanjaan kad kredit tersebut digunakan hanya untuk tujuan perniagaan.

Syarikat itu turut menafikan dakwaan dan tuduhan dana RM250 juta itu dimasukkan ke dalam akaun mereka sebelum perjanjian pinjaman berkenaan ditandatangani.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails