Friday, January 13, 2012

PANAS!! Mantan Pengerusi SPR dedahkan kenapa dakwat kekal dibatalkan pada PRU12 (Video Inside)


KOTA BHARU, Jan 13: Misteri pembatalan penggunaan dakwat kekal menjelang pilihanraya umum ke 12 telah terburai semalam di Wacana Perdana 9 bertajuk, “Pilihanraya Bebas dan Adil: Realiti atau Ilusi?” yang diadakan di sini malam tadi.


Forum yang berlangsung hampir tiga jam itu dipengerusikan oleh pensyarah UKM, Datuk Dr Mohd Agus Yusuf dengan tiga panelis – Datuk Paduka Husam Musa, Naib Presiden PAS, Tan Sri Abdul Rashid, mantan pengerusi Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan Datuk Seri Nazri Aziz, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Dalam hujahnya, Rashid berkata beliau dan SPR telah berusaha untuk memperkenalkan penggunaan dakwat kekal pada tahun 2007, sebelum ia dibatalkan oleh pihak-pihak tertentu menjelang PRU-12.

“Usahlah cakap pasal dakwat kekal, saya dulu pun dah nak buat kalau orang tak sekat… (tepukan gemuruh), undang-undang dah buat, tapi ada orang yang tidak bersetuju dia sekat.

“Jadi ini nak buat pula, baguslah, buat lah, memang itu patut dibuat… SPR tak tipu, kalau ada penipuan, itu orang lain tipu. Jangan salahkan SPR. Orang lain saya tak tahu. SPR ikut undang-undang 100 percent, jangan salahkan SPR. Kalau undang-undang itu bodoh macam lembu, bodoh macam lembulah,” kata Rashid dalam forum itu.

Pada masa ini, Husam mencelah, “Tan Sri, kalau parti-parti lain itu menipu, SPR duduk sana buat apa?”

Rashid pula membalas, “SPR tak ada kuasa.” Balasan Rashid itu membuatkan hadirin yang penuh sesak dalam dewan itu tidak kering gusi dengan gelak ketawa.

Menjawab Rashid, Nazri mengaku bahawa beliaulah antara orang yang mempertikaikan penggunaan dakwat kekal kerana berdasarkan perlembagaan negara, perkara yang melayakkan seseorang itu mengundi hanya dua – berumur 21 tahun dan berdaftar sebagai pengundi.

“Jadi, kalau ada seorang yang tak mahu dakwat kekal dicalit di jari dan mahu kertas undi, apa yang berlaku? Syaratnya cuma dua, berumur 21 tahun dan berdaftar. Disebabkan itu, dan waktu PRU dah dekat, SPR ambil pendekatan untuk batal penggunaan dakwat kekal,” terang Nazri mengenai sebab penggunaan dakwat kekal dibatalkan.

Mengenai persoalan mengapa dakwat kekal digunakan sekarang pula, Nazri berhujah bahawa Majlis Fatwa Kebangsaan baru sahaja memberikan lampu hijau untuk penggunaan dakwat kekal dan peguam negara bersetuju untuk tukar perlembagaan untuk membolehkannya.

“Sekarang Majlis Fatwa baru umum benarkan, maksudnya dulu tak pernah umum lah, kalau tak mengapa nak umum dua kali,” sindir Nazri.

Menjawab dakwaan Nazri mengenai halangan perlembagaan, Rashid secara sinis menjawab, “Saya tak setuju bantahan Peguam Negara pada 2007. Dalam perlembagaan pun tak kata mesti tunjuk kad pengenalan (IC) sebelum mengundi. Tapi kita suruh tunjuk IC, kalau tak dia tak boleh mengundi. Itupun dipatuhi. Kalau nak mengundi kena patuhi peraturan dan cara-cara mengundi.”

Dalam kontroversi Majlis Fatwa Kebangsaan, Husam mengingatkan Nazri bahawa fatwa sudahpun dikeluarkan pada 2007, dan semua ini boleh disemak melalui web e-fatwa di Internet.

“Tan Sri Rashid baru berbisik kepada saya, SPR ada menerima surat daripada Majlis Fatwa mengenai hal itu pada tahun 2007. Macam mana seorang menteri tak tahu mengenai hal ini? Wallahuaklam,” kata Husam.

Kemudian, exco kerajaan Kelantan turut mengingatkan Rashid mengenai alasan yang diberikannya kepada rakyat ketika pembatalan dakwat kekal bahawa terdapat laporan ada pihak yang cuba mensabotaj proses pilihan raya dengan menyeludup sejumlah besar dakwat kekal ke negara ini.

“Pada 5 Mac 2008, Tan Sri keluar di kaca TV memberikan 2 sebab mengapa dakwat kekal tak jadi guna. Dia memberi sebab keselamatan kerana ada orang ditangkap membawa dakwat ini termasuk di Kelantan.

"Ketua Polis Tan Sri Musa Hasan pula mengesahkan adanya dakwaan tersebut. Dan kemudian ditanya ahli parlimen Pakatan Rakyat selepas Mac 2008, Menteri Dalam Negeri Tan Sri Syed Hamid Albar menyatakan tiada tangkapan tersebut dan tiada dakwaan dibuat. Bermakna, Tan Sri Rasyid telah dipaksa berbohong,” selar Husam.

Husam turut berkata keputusan menggunakan dakwat kekal kini adalah hasil perjuangan Bersih 2.0.

“Yang berikan hujah yang kata dakwat kekal boleh digunakan untuk PRU akan datang ini ialah Tan Sri Abdul Ghani Patail, yang dulunya memberikan nasihat yang sama tak boleh pakai. Peguam Negara yang sama yang dulu kata tak boleh pakai, tetapi kini boleh pakai, bermakna ada sesuatu yang lompang kepada sistem piliharaya ini.

"Yang lebih penting ialah, bila Tan Sri Ghani Patail kata boleh pakai sekarang, ini adalah hasil daripada Bersih. Kalau tak ada Bersih, tak adalah dakwat kekal kini,” tambah beliau lagi.

Sementara itu, Rashid berkata undang-undang pilihanraya tidak dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana SPR tidak diberikan kuasa sepenuhnya.

“SPR kena share kuasa, jadi demokrasi negara tak lengkap. Orang lain berkuasa, polis berkuasa, kementerian penerangan berkuasa... bukan Umno berkuasa (gelak hadirin), tapi mereka tak bebas,” kata beliau.

Keterangan Rashid dipersetujui Husam.

“Setuju kuasa SPR tak mencukupi, jadi pemulihan PSC (Jawatankuasa Terpilih Parlimen) tidak kena pada core (tunjang) nya (memberikan kuasa sepenuhnya kepada SPR untuk laksana undang-undang pilihanraya).” - Harakahdaily



Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails