Monday, January 2, 2012

Demo UPSI: Mahasiswa 'bodoh macam lembu' ?


KUALA LUMPUR, 2 Jan: 17 orang mahasiswa yang ditahan pada Himpunan Kebebasan Akademik (Bebas) di hadapan Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) malam kelmarin, amat kesal dengan layanan pihak polis terhadap mereka sehingga mereka dikatakan 'bodoh macam lembu'.


Selain itu, mereka juga dimaki hamun oleh pihak polis dengan berbagai-bagai kata-kata lain yang amat menyakitkan hati antaranya termasuk "mahasiswa bodoh", "tak ada otak" dan "balaci".

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Ahmad Syukri Abd Razab berkata, kata-kata seperti itu bukan sekali dilontarkan oleh pihak polis terhadap mereka, malah berkali-kali sepanjang berada dalam tahanan, terutama ketika proses soal siasat.

Menurutnya, sebelum itu mereka telah pun berhadapan dengan tindakan kekasaran pihak polis ketika menangani perhimpunan itu sehingga menyebabkan beberapa orang rakannya mengalami kecederaan.

Katanya, ketika tangkapan dilakukan pula, mereka dilayan seperti penjenayah dan turut digari serta dimasukkan ke dalam kenderaan polis dengan kasar.

"Patutkah polis memperlakukan kami seperti itu? Patutkah kami dimaki hamun seperti itu, digari dan dilayan seperti penjenayah, sedangkan kami bukan penjenayah," katanya yang juga salah seorang pelajar yang ditahan ketika dihubungi Harakahdaily, di sini, hari ini.

Sambutan ketibaan tahun baru 2012 malam kelmarin dicemari insiden keganasan pihak polis yang bertindak memukul mahasiswa ketika cuba meleraikan mereka pada perhimpunan aman di hadapan UPSI.

Dua mahasiswa termasuk Timbalan Presiden Gamis merangkap Pengerusi Bebas, Safwan Anang Talib dilaporkan cedera parah.

Beliau dilaporkan patah tulang rusuk, patah gigi geraham terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan untuk mendapatkan rawatan di Hospital Slim River.

Seorang lagi mahasiswa yang cedera parah, Amar Rasyidi dari Universiti Malaysa (UM) dilaporkan menerima beberapa jahitan di hidungnya yang koyak akibat dipukul.

Selain itu, 17 mahasiswa lain ditahan dan dibawa ke balai polis Tanjung Malim untuk disoal siasat, sebelum dibawa ke balai polis Slim River.

Antara mereka yang ditahan sekitar jam 4 pagi itu termasuk Ahmad Syukri Abd Razab; pemimpin Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli; dua bekas Presiden SMM, Shazni Munir dan Hilman Idham serta Timbalan Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Khalid Ismath.

Kesemua mereka kemudiannya dibebaskan kira-kira jam 4.00 petang semalam dengan dibantu oleh peguam daripada Lawyer of Liberty (ILF).

Menurut Ahmad Syukri, tindakan kekasaran pihak polis terhadap mereka itu jelas menunjukkan sikap sebenar Menteri Dalam Negeri, Datuk Hishammuddin Hussein yang langsung tidak menghormati hak rakyat negara ini untuk berhimpun secara aman dan hak mahasiswa untuk menyatakan pandangan.

"Tindakan sedemikian ke atas kami tidak akan berlaku jika tidak dengan persetujuan Datuk Hishammuddin yang bertanggungjawab terhadap polis sesuai dengan kedudukannya sebagai Menteri Dalam Negeri," tegasnya.

Beliau juga amat kesal dengan kelemahan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin kerana terus gagal melakukan perubahan di institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini bagi kebebasan mahasiswa dan pemansuhan Auku, sehingga memaksa mahasiswa mengadakan perhimpunan seperti itu bagi menyatakan pandangan mereka.

"Saya juga amat kesal dengan tindakan Datuk Hishamuddin, Datuk Seri Mohamed Khalid Nordin, pihak polis dan kerajaan yang jelas bersikap double standard ke atas kami, apabila pihak Umno dan Perkasa yang telah melakukan perhimpunan di hadapan UPSI sebelum ini tidak pula dilayan seperti kami.

"Malah perhimpunan daripada pihak Umno dan Perkasa itu ditangani dengan cukup lunak dan diberikan kerjasama yang cukup baik oleh pihak polis," ujar beliau.

Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails