Wednesday, January 11, 2012

KITA Melaka bubar, Ahli sertai PKR


Satu-satunya cawangan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) di Melaka yang mempunyai keahlian seramai 60 orang hari ini bertindak membubarkan parti berkenaan sekaligus memasuki PKR di bawah Cabang Tangga Batu, Melaka.


Menurut bekas pengerusi parti KITA Melaka, Leftenan Kolonel (B) Hashim Puteh, tindakan itu diambil berikutan ahli merasakan beberapa perkara telah terkeluar daripada perjuangan asal parti.

Justeru katanya, ahli terkeliru dengan perjuangan yang dibawa presidennya, Datuk Zahid Ibrahim.

"Kita telah mengambil keputusan bahawa kita tidak lagi menyokong parti KITA kerana akar umbi yang bersama-sama kita di sini sudah keliru dengan perjuangan yang dibawa Datuk Zahid Ibrahim dan juga parti KITA.

"Penubuhannya empat bulan sebelum itu memang ada pelbagai aktiviti tetapi selepas itu sehingga sekarang kira-kira dalam enam bulan dan tujuh bulan setelah itu kita tidak dipanggil untuk bermesyuarat, mungkin telah dipinggirkan berikutan tiada gerak kerja parti yang dijalankan.

Turunkan papan tanda

"Kita ada pejabat iaitu di Taman Gadong Perdana, Pulau Gadong Melaka, tetapi kita hanya bergerak dalam negeri Melaka sahaja dan pusat tidak pernah memanggil kita atau memberi arahan melakukan gerak kerja dan lain-lain," katanya pada sidang media di perkarangan bekas pejabat parti berkenaan hari ini.

Sebaik sahaja papan tanda parti itu diturunkan di premis berkenaan Hashim bertindak menyerah 60 borang keahlian PKR kepada Ketua Pemuda PKR, Shamsul Iskandar Md Akin.

Sementara itu, bekas setiausaha agung parti KITA yang dipecat 10 Disember lalu, Abdul Latif A Tambi yang turut dijemput pada majlis berkenaan mendakwa setakat ini hanya parti KITA cawangan Kedah sahaja yang dilihat aktif sementara yang lain sepi.

"Biarpun parti KITA adalah sebuah parti yang sah namun kita masih meragui pada peringkat cawangan di Melaka kerana ia dikatakan masih tidak memperolehi kelulusan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Mungkin mereka tidak mahu wujudkan lagi cawangan ini, jadi saya rasa eloklah kami bubar dan berjuang di bawah parti lain yang sesuai kepada kehendaki kita justeru kami memilih PKR.

"Kita bekerja bukan untuk mendapatkan kedudukan dan pangkat tetapi bekerja untuk menumbangkan BN dan Umno dan kita akan bekerja kuat menerusi PKR Cabang Tangga Batu untuk menyatukan kekuatan kita.

"Kita nampak Datuk Zahid Ibrahim tiada tumpuan dan terlalu berubah kerana suatu ketika dahulu dia terlalu taksub memuji-muji BN sehingga melakukan "road show" meminta maaf kepada Datuk Seri Najib Razak bagi menyokong transformasi BN itu sendiri dan menidakkan keupayaan Pakatan Rakyat terutama PKR.

Memohon maaf

"Tetapi sejak akhir-akhirnya setelah dia kurang mendapat perhatian daripada BN dia memuji pula Pakatan Rakyat dan tidak mahu bertanding enggan tidak mahu meletakkan sebarang calon semata-mata mahu menyokong pembangkang.

"Dua tiga hari lepas menerusi laman sosial Twitter dia memohon maaf kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim seolah-olah nampak macam tidak ada pendirian jadi kita merasakan tidak patut lagi mengikut pemimpin seperti ini," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul menyambut baik kemasukan seramai 60 ahli dari parti KITA ke dalam PKR.

"Saya ingin menyeru semua ahli KITA seluruh negara untuk bersama sama Pakatan Rakyat dan kita mengambil pendirian tegas di dalam persiapan PRU 13 nanti.

"Kita memerlukan sokongan dari semua segmen dalam masyarakat sama ada yang pernah menentang PKR dan Anwar.

"Selepas pembebasan kes liwat Datuk Seri Anwar telah mula menampak cahaya baru dan rakyat sedar ia merupakan fitnah politik," katanya.

Parti KITA dilancarkan pada 12 Jan 2010 oleh Zahid manakala cawangan KITA di Melaka mula diwujudkan pada 19 Jun 2011.

Pembubarangan itu bermakna parti berkenaan hanya bertahan dalam tempoh kira-kira enam bulan sahaja di Melaka.

Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails