Sunday, December 4, 2011

Perhimpunan Agung UMNO gagal jamin BN undi padu PRU-13



SHAH ALAM, 4 Dis - Penganalisis politik Prof Dr Abu Hassan Hasbullah tidak yakin Umno akan memperoleh balik sokongan yang bulat meskipun Datuk Seri Najib Razak menyifatkan Perhimpunan Agung Umno yang berakhir semalam telah mencapai empat objektif dan meletakkan anggota parti dalam keadaan siap siaga menghadapi pilihan raya umum ke-13.


Dalam ucapan penggulungannya, Najib selaku Presiden Umno dan Perdana Menteri berkata para perwakilan partinya telah mengarap dengan baik empat objektif yang ditetapkan oleh beliau pada permulaan perhimpunan itu.

“Saya rasa tidak. Sebab Perhimpunan Agung Umno kali ini gagal memberi, tidak meninggalkan satu harapan yang besar dan berkesan (kepada ahli-ahli Umno dan rakyat)... ia gagal membincangkan isu-isu yang besar menyentuh kepentingan rakyat kecuali perkara-perkara tertentu yang menjadi bahan jenaka dan menghentam pihak-pihak, individu tertentu.

“Mana ada perbincangan mengenai isu-isu alam sekitar, pembangunan, prasarana yang menyentuh soal dasar, polisi kerajaan.... tidak ada, jadi saya melihat ia tidak memberi harapan yang diharapkan,” kata beliau ketika ditemui selepas Forum “Bersekutu Mendesak Perubahan” anjuran Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di sini malam tadi.

Oleh kerana ia tidak berjaya membawa kepada keyakinan dan harapan, Abu Hassan yang merupakan pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya menjelaskan, kemungkinan sukar bagi parti berkenaan mendapatkan balik sokongan penuh yang diharapkan oleh Najib sendiri.

Antara lain dalam ucapan penggulungannya Najib berkata bahawa perhimpunan yang berakhir semalam telah mencapai empat objektif iaitu pertamanya, beliau mahukan perhimpunan itu menggambarkan Umno satu parti yang ampuh dan bersatu serta menyakinkan berjuta rakyat dan pengundi bahawa Umno adalah sebuah keluarga dan sebuah organisasi politik serta teras politik tanah air dalam keadaan kukuh dan padu.

Objektif kedua, Najib mahukan perhimpunan itu membuktikan Umno sebagai sebuah parti bermaruah dan berada dalam tahap kesiapsiagaan menghadapi pilihan raya.

“Objektif ketiga, saya ingin supaya melalui perhimpunan ini kerajaan mendapat sokongan gagasan kita untuk membawa perubahan yang besar kepada negara kita yang kita gagaskan sebagai pelan transformasi nasional,” katanya.

Dalam objektif keempatnya, Najib telah mahukan perhimpunan itu menjadi pengisian dan memberi isyarat serta mesej yang jelas bahawa 12.4 juta pengundi dan 28 juta rakyat Malaysia boleh meletakkan keyakinan bahawa Umno akan membawa negara dan rakyatnya ke arah masa depan yang lebih cemerlang.

Najib juga berkata perhimpunan kali ini juga telah mencipta satu sejarah apabila ia diakhiri dengan satu ikrar atau bai’ah yang diketuai oleh timbalan presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin bertujuan untuk sumpah setia dan taat kepada parti dan pemimpin.

Dalam ucapan pada forum malam tadi, Abu Hassan juga menggesa pentadbiran Najib agar tidak meneruskan pembentangan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman 2011 yang dibantah banyak pihak.

“Saya sebagai ahli akademik tidak setuju dengan rang undang-undang ini,” kata Abu Hassan dengan lantang sambil menambah, beliau beliau sahaja tidak bersetuju malah ramai lagi.

Katanya, ramai tidak bersetuju kerana kerajaan gagal membawa bersama rakyat yang merupakan pihak utama berkepentingan untuk memberi pandangan.

“Saya berharap kerajaan kembali kepada rakyat semua lapisan untuk mendapatkan pandangan mereka. Ahli politik cuma satu lapisan dalam membuat keputusan. Dapatkan pandangan ahli akademik, doktor jurutera dan sebagainya.

“Masih ada masa, jangan teruskan pembentangan di Dewan Negara, balik kepada rakyat,” katanya sambil mempersoalkan objektif yang tersirat di sebalik penggubalan Rang Undang-undang Perhimpunan Aman dengan tergesa-gesa.

“Saya mengesyaki sesuatu, ada sesuatu yang tidak kena. Mengapa perlu digubal dengan tergesa-gesa, tiada keperluan yang terdesak untuk bawa undang-undang ini sekarang, penggubalan ini boleh dibawa tahun depan,” katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails