Monday, December 5, 2011

Masa depan Melayu ‘gerhana’ jika Pakatan menang PRU - Najib kata

Masa depan Melayu atau masa depan pemimpin Melayu UMNO yang akan gerhana?



Datuk Seri Najib Razak memberi amaran masa depan orang Melayu akan “gerhana” jika Barisan Nasional (BN) pimpinannya tidak lagi kekal berkuasa dalam pilihan raya umum ke-13.


Susulan ketegasan pada Perhimpunan Agung Tahunan Umno hujung minggu lalu, perdana menteri memberitahu sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang mendakwa mempunyai keahlian lebih dua juta orang bahawa menjadi tanggungjawab mereka untuk mempertahankan kerajaan semasa.

“Pilihan alternatif, adakah mereka lebih baik daripada apa yang ada sekarang? Adakah mereka boleh menjamin kuasa kita tidak dibuang atau kedudukan kita tidak terhakis? Bagaimana dengan maruah Islam dan orang Melayu?” kata beliau (gambar) pada pertemuan anjuran Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia’s (Pekida) di sini hari ini.

Najib juga memberi amaran negara akan menghadapi pelbagai ancaman sekiranya Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk pemerintahan negara.

“Kita akan terus mempertahankan pemerintahan sedia ada dan berjuang berhabis-habisan untuk menegakkan pemerintahan yang memperjuangkan martabat Melayu dan Islam.

“Mereka (Pakatan) menawarkan janji alternatif yang menarik, sedangkan mereka sendiri belum tahu sama ada dapat menunaikannya atau tidak,” kata Najib.

Tambah beliau, rakyat tiada pilihan lain selain mengekalkan kerajaan sedia ada bagi memastikan kemakmuran dan keamanan negara ini terus terpelihara.

“Kita tiada pilihan lain, hanya kerajaan sedia ada yang mampu menjamin keamanan dan kesejahteraan negara, saya tidak dapat bayangkan sekiranya kita terlepas kuasa ini, masa depan akan berubah menjadi gerhana dan cita-cita kita akan terkubur begitu sahaja,” tegasnya merujuk kepada Pakatan Rakyat yang dilihat tidak berwibawa untuk mentadbir negara ini.

“Mereka belum memerintah, tetapi sudah berjanji untuk memberi bulan dan bintang kepada rakyat,” katanya lagi menegaskan hanya Umno dan BN yang memperjuangkan martabat Melayu dan agama Islam di negara ini.

Jelas Najib lagi, BN juga menolak fahaman ekstremis yang cuba merosakkan hubungan kaum di negara ini.

“BN menolak fahaman yang ekstrem, fahaman itu bukan dasar pemerintahan BN, tetapi kerajaan lebih kepada membantu dan menghulurkan tangan kepada kaum lain untuk kemakmuran negara,” tegasnya mempertikaikan dakwaan pembangkang yang menyatakan Umno dan BN bersifat rasis.

“Melayu tidak pernah berat sebelah, tidak pernah menjadi rasis semenjak mentadbir negara ini sejak merdeka, bahkan memberikan keadilan kepada semua,” tegasnya lagi.

Dalam ucapannya itu, Najib turut memberikan contoh negara-negara besar yang menghadapi pelbagai krisis akibat daripada pemerintahan yang tidak cekap seperti Greece dan Itali.

“Kerajaan berusaha mentadbir negara dengan berhemah, sekiranya rakyat tersilap membuat pilihan sewaktu pilihanraya akan datang, tidak mustahil kita akan mengikuti jejak mereka,” katanya memberi ingatan kepada ahli Pekida yang hadir daripada seluruh negara.

Perdana Menteri turut menegaskan Umno-BN tidak akan sekali-kali membiarkan bangsa Melayu menjadi bangsa yang merempat di negara sendiri, dan beliau akan mempertahankan setiap inci negara daripada kekuasaan pembangkang bagi memastikan pemerintahan sedia ada terus kekal.

Dalam perhimpunan itu, ahli Pekida turut membuat sumpah bai’ah untuk tetap setia bersama Umno bagi memastikan kemenangan sewaktu pilihan raya akan datang.

Perhimpunan tersebut turut dihadiri oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor yang juga Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Presiden Pekida, Jamaluddin Yusof.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails