Sunday, November 27, 2011

UMNO ancam kepentingan Melayu, bukannya DAP



KUALA LUMPUR, 27 Nov — Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menegaskan parti itu tidak pernah menjadi ancaman kepada kepentingan orang Melayu, sebaliknya hanya Umno, yang merupakan komponen teras Barisan Nasional (BN) mempamerkan sifat-sifat sedemikian.


Sehubungan itu kata Ketua Menteri Pulau Pinang ini, Umno bukan sahaja menjadi ancaman kepada orang Melayu tetapi juga kepada rakyat Malaysia dengan sikapnya yang menggunakan dan mempertahankan pelanggaran hak asasi manusia, rasuah dan salah guna kuasa.

“Dengan menanam rasa takut serta menggunakan ugutan, Umno mengaburkan mata rakyat daripada skandal-skandal kewangan dan rasuah yang telah mengakibatkan kehilangan beratus-ratus bilion ringgit,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Lim (gambar) berkata selama ini Umno telah menggunakan taktik kejam untuk menipu dan menanam perasaan takut di kalangan orang Melayu, kononnya DAP menjadi pengancam kepada hak dan kepentingan mereka.

“Ini langsung tidak berasas kerana perkhidmatan awam, polis dan tentera semuanya dikawal Melayu. Manakala sektor-sektor kritikal dalam ekonomi seperti insurans, perbankan, industri automobil, pelabuhan dan lebuh raya semuanya juga dikawal oleh usahawan-usahawan atau syarikat-syarikat Melayu,” katanya.

Dalam kenyataannya, Lim menambah, tindakan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Presiden Umno mempertahankan agenda perkauman partinya dan bahawa beliau adalah Melayu dahulu dan rakyat Malaysia kemudian merupakan bukti bahawa 1 Malaysia adalah slogan kosong yang hanya bertujuan untuk mengaut undi dan akan dibuang selepas pilihan raya umum ke-13.

“Yang lebih mengejutkan, Muhyiddin tidak merasa bahawa tindakannya untuk memperjuangkan agenda perkauman Melayu adalah bercanggah atau tidak konsisten dengan agenda rakyat Malaysia bukan Melayu.

“Malah Muhyiddin menggunakan logik yang tidak masuk akal bahawa pemimpin DAP seperti Lim Kit Siang dan saya merupakan Cina cauvinis walaupun DAP telah berjuang untuk semua rakyat Malaysia dan keahlian parti kita terbuka kepada semua termasuk Melayu, India, Iban dan Kadazan.

“Muhyiddin dengan mudah juga telah lupa bahawa saya telah dipenjarakan dan kehilangan kerusi Parlimen kerana memperjuangkan nasib seorang gadis Melayu bawah umur yang menjadi mangsa rogol,” katanya lagi.

Semalam, Muhyiddin merasmikan Seminar Kebangsaan Pemahaman Wasatiyyah dan 1Malaysia dengan berkata pendekatan wasatiyyah atau kesederhanaan bersesuaian dengan komposisi masyarakat majmuk di negara ini demi mengekalkan keamanan dan keharmonian yang dikecapi.

Muhyiddin berkata sikap fanatik dan taksub akan menyebabkan seseorang itu menutup fikiran mereka daripada menerima sebarang maklumat daripada pihak yang tidak mereka senangi.

Beliau berkata gagasan 1 Malaysia yang membawa nilai-nilai aspirasi seperti budaya berprestasi tinggi, ketepatan, budaya ilmu, integriti, ketabahan, kesetiaan, kebijaksanaan dan budaya inovasi turut diterap dan dibudayakan dengan konsep kesederhanaan.

Muhyiddin berkata matlamat akhir pendekatan wasatiyyah masih tidak lari daripada usaha mempertingkatkan kualiti hidup ummah, sama ada daripada segi penguasaan ilmu pengetahuan, pembangunan insan, sistem ekonomi dan kewangan, perpaduan, pertahanan, kenegaraan dan sebagainya.

Dalam kertas kerjanya pada seminar itu, Pengerusi Yayasan 1Malaysia Dr Chandra Muzaffar pula berkata konsep Malaysian Malaysia bertentangan dengan konsep wasatiyyah kerana ia berat sebelah dan idea dangkal ini meminggirkan hakikat sejarah serta latar belakang politik di negara ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails