Friday, November 25, 2011

Tipu 686 Pembeli Rumah Kos Rendah : "Mohd Yatim Dato' Abu Bakar" Bukan Kakitangan MB Selangor



Pejabat Menteri Besar Selangor hari ini mengeluarkan kenyataan bahawa individu yang bernama Mohd Yatim Dato' Abu Bakar bukan Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Besar Selangor.


Individu berkenaan dikatakan menipu pembeli rumah kos rendah dengan mengambil sejumlah bayaran sebagai deposit untuk memperdaya pembeli rumah di beberapa kawasan di Klang, Balakong, Selayang dan Cheras.

Sehubungan itu, Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin berkata dakwaan Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) yang menuduh pegawai Menteri Besar terlibat dalam penipuan ini adalah tidak benar dan fitnah semata-mata.

Justeru, sejak mengambil alih pentadbiran 2008 Kerajaan Pakatan Rakyat membuat keputusan untuk memansuhkan kuota politik samada secara nyata mahupun tersirat dalam segala bentuk bantuan kepada rakyat.

"Sekarang berbeza ketika pentadbiran Umno-BN terdapat kuata politik bagi pembelian rumah kos rendah dan banyak penyalahgunaan kuasa dan banyak penyelewengan yang berlaku," kata Faekah yang meminta mangsa yang terpedaya membuat laporan polis dan mengesa pihak berkuasa menyiasat segera perkara ini.

Malah, Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) telah membuat laporan polis terhadap individu berkenaan sebanyak empat kali berdasarkan maklumat yang diterima daripada mangsa.

Ditegaskan sekali lagi, Kerajaan Negeri Selangor, Pejabat Menteri Besar dan LPHS tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga atau individu untuk mengutip bayaran bagi mendapatkan rumah kos rendah atau perkhidmatan lain - TVS News

**************************************

686 Dakwa Ditipu Beli Rumah Kos Rendah Minta Dibela MB Selangor

SHAH ALAM: Seramai 686 orang yang mendakwa ditipu untuk membeli rumah murah menghantar memorandum kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada Khamis menuntut supaya Menteri Besar Selangor itu membela nasib mereka.

Memorandum diserahkan oleh wakil kumpulan itu Mohamed Durrany Izam, yang diiringi kira-kira 50 pembeli rumah murah berkenaan, kepada Pegawai Komunikasi Menteri Besar Selangor, Noor Amin Ahmad. Mereka mendakwa ditipu seorang individu yang mengaku sebagai pegawai khas Menteri Besar Selangor hingga membuatkan mereka membayar wang pendahuluan sebanyak RM2,100 bagi pembelian rumah kos rendah di Taman Botani Klang, Taman Selayang Mulia, Taman Harmoni Balakong dan Taman Intan Cheras yang didakwa atas kuota politik oleh individu terbabit. "Kami pernah mengadu masalah kami kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Faekah Husin namun tidak mendapat jawapan yang memuaskan jadi kami harap Menteri Besar dapat membela nasib kami.

"Kami dijanjikan oleh individu yang turut mendakwa dirinya Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS). Malah diberikan surat oleh LPHS dan bawa kami melihat rumah tapi akhirnya kami diperdaya," katanya kepada pemberita di sini, Khamis. Pengerusi Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) Hamidzun Khairuddin yang turut bersama kumpulan itu berkata kumpulan itu juga mahukan permasalahan mereka dibawa kepada perhatian persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor yang sedang berlangsung. Sementara itu, kerajaan Selangor menafikan terbabit dalam urusan jual beli rumah kos rendah seperti yang didakwa oleh kumpulan berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan negeri, Iskandar Abdul Samad berkata pihaknya tidak pernah melantik ejen untuk menguruskan penjualan mana-mana rumah kos rendah kerana semua urusan dilakukan secara terus melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah.

"Malah penjualan rumah murah tidak memerlukan sebarang deposit. Siasatan kami juga mendapati rumah-rumah murah yang ditawarkan kepada pembeli terbabit sebenarnya sudah ada pembeli," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pihaknya akan cuba membantu pembeli yang tertipu dengan menawarkan rumah murah di lokasi yang lain. - BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails