Friday, November 18, 2011

Scandal Fidlot lambang transformasi Najib..



Mengikut piawaian Barisan Nasional (BN), skandal National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) tidak sebesar mana, kerana hanya melibatkan kurang dari RM300 juta dana awam.


Namun perdebatan hangat yang berterusan tentang skandal ini membolehkan kita menilai tahap tadbir urus negara ini. Dan yang lebih mustahak sama ada terdapat anjakan paradigma di kalangan pemimpin BN di bawah program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Skandal NFC ini memperlihatkan kebiasaan sikap rakus dan tamak BN apabila berdepan dengan dana awam. Sejumlah besar dana awam diberi kepada syarikat-syarikat kroni yang tidak kompeten yang merampok wang dan seterusnya menemui kegagalan untuk mengendalikan projek seperti yang diharapkan.

Respon daripada para pemimpin BN, dari perdana menteri ke bawah, tidak berasas melainkan hanya mencari pelbagai alasan dan percubaan untuk menutup skandal ini.

Budaya ketelusan dan kebertanggungjawaban nampak begitu asing bagi manusia seperti mereka ini meskipun beratus juta wang pembayar cukai dicurahkan begitu sahaja, ibarat ‘menuang air di daun keladi’, bagi mengembar gembur pelan transformasi Najib untuk negara ini.

NFC diberi tanggungjawab untuk “mentranformasi industri ternakan dan daging lembu supaya muncul sebagai pengeluar daging halal bertaraf antarabangsa”, menurut Bernama yang melaporkan majlis menandatangani perjanjian pinjaman mudah RM250 juta pada 6 Disember 2007.

Sasaran pengeluaran ialah sebanyak 60,000 ekor lembu bagi Fasa 1 dari ladang lembu di Gemas. Operasi dijadual bermula Februari 2008.

NFC kacau bilau

Empat tahun kemudian, Laporan Ketua Audit Negara 2010 menyebut situasi projek NFC berada dalam keadaan kacau bilau. Jumlah lembu yang mampu disembelih hanya 5,742 sehingga November tahun lalu. Walaupun sasarannya dikurangkan kepada 8,000 ekor lembu setahun, projek itu masih dianggap gagal.

Lebih memburukkan lagi keadaan apabila adanya laporan mengenai salah guna dana awam seperti RM9.8 juta digunakan untuk membeli kondominium mewah dan lebih RM800,000 dibelanjakan untuk keraian dan elaun perjalanan dalam tahun 2009 walaupun syarikat itu mengalami kerugian sebanyak RM7 juta dalam tahun 2008 dan RM11 juta pada 2009.

Kelihatannya, NFC akan menerima nasib malang seperti projek mega Barisan Nasional yang lain – Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ), Perwaja dan lain-lain.

Siapa yang memiliki NFC? Keluarga Shahrizat Abdul Jalil, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Ketua Wanita Umno.

Suaminya, Mohamad Salleh Ismail, adalah pengerusi dan tiga anak mereka adalah Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan pengarah- pengarah eksekutif syarikat itu.

Lebih malang, anggota keluarga Shahrizat langsung tidak mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang ternakan lembu dan pengeluaran daging lembu.

Umtuk makluman, terdapat lebih 300 ladang feedlot di negara ini dan banyak syarikat yang terbukti berjaya dalam industri penawaran daging lembu ini.

Dengan ramainya bilangan rakyat kita yang mempunyai kepakaran dalam bidang ini, bukankah lebih baik kita amanahkan sahaja kepada para usahawan yang lebih berkelayakan dari anggota keluarga Shahrizat?

Dan lebih melucukan apabila diperhatikan bahawa mereka yang sibuk membela NFC dan Shahrizat adalah personaliti tertinggi Umno seperti Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Ketua Pemuda Umno dan terkini, mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Pemimpin Umno bela Shahrizat

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Parlimen pada 11 November lalu, tidak ada apa yang salah dan sedikit masa lagi pengeluarannya akan meningkat kepada 12,000 ekor lembu dari 6,000 ekor lembu sebelumnya.

Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memulakan projek ini ketika beliau menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata dalam satu sidang media pada 29 Oktober lalu bahawa beliau “tidak nampak apa yang pelik dan satu kesalahan” dengan projek itu. Beliau kemudian menyerahkan kepada penggantinya Datuk Seri Noh Omar untuk menjawab soalan-soalan berikutnya.

Noh menafikan wujudnya penyelewengan dalam pemberian projek itu dan menyifatkannya sebagai satu “kejayaan”, dengan memberi berbagai alasan walaupun pengeluaran lembu dan daging lembu adalah rendah.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula, walaupun tidak memegang apa-apa jawatan dalam kerajaan, kelihatan pelik kerana secara tiba-tiba beliau muncul sebagai juara, sebagai pembela yang paling lantang bersuara.

Selain itu, Pak Lah juga timbul untuk menyelamatkan Shahrizat. Pada 15 November, beliau berkata, Shahrizat tidak perlu meletak jawatan kerana beliau bukan CEO dan tidak terlibat. Pak Lah menyuarakan pandangannya kerana ramai yang meminta Shahrizat melepaskan jawatannya sebagai menteri.

Tetapi agak menghairankan, tidak ada sesiapa pun yang mendesak supaya kedua-dua menteri ini (Muhyiddin dan Noh Omar) didakwa.

Muhyiddin kerana memberi projek ini kepada syarikat yang tidak layak dan Noh Omar kerana gagal mengawal-selia pelaksanaan projek ini.

Berhubung badan pemantau rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang selama ini membisu walau pun sudah tiga minggu skandal ini muncul, hanya baru-baru ini menyerahkannya kepada pihak polis dengan alasan bahawa ini kes polis, bukan SPRM.

Adakah pihak polis akan melakukan sesuatu? Tekaan anda adalah serupa dengan saya. Inilah yang dikatakan transformasi Najib!


Kim Quek, Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails