Thursday, November 17, 2011

Pengerusi NFC sahkan dana NFC diguna untuk beli Kondo.



KUALA LUMPUR, 17 Nov ― Pelaburan kondominium di Bangsar bernilai RM6.9 juta seunit menggunakan wang pinjaman projek ternakan lembu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) adalah keputusan perniagaan bijak, demikian menurut Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mohamad Salleh Ismail hari ini.


Menjelaskan kontroversi yang timbul, beliau berkata, sekiranya wang itu ditempatkan di dalam bank, kadar pulangan tahunan hanya 2.6 peratus.

“Berbanding pelaburan sektor hartanah, ia mampu menjana keuntungan tahunan 12.9 peratus serta pulangan rebat tunai dan penyewaan untuk tahun pertama sebanyak RM900,000 yang disalurkan kepada syarikat dan bukannya individu,” katanya di Gemas hari ini.

Kata beliau, masih ada projek membabitkan perniagaan ternakan lembu NFC yang belum dilaksanakan.

“Justeru, sambil menunggu pelaksanaan projek seterusnya, saya fikir duit geran yang masih belum digunakan itu perlu dilabur supaya mendapat keuntungan,” katanya pada sesi taklimat media di pejabat ladang NFC, demikian menurut laporan Berita Harian Online.

Sebelum ini pembangkang memetik Laporan Ketua Audit Negara mendakwa syarikat milik keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Shahrizat Abdul Jalil itu telah menggunakan dana melalui NFC untuk membeli satu unit kondominium mewah dengan bayaran berjumlah RM9.8 juta.

Salleh adalah suami Shahrizat.

Dalam pada itu, Salleh belum memutuskan sama ada akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli ekoran kenyataannya mengenai isu NFC.

“Kami sekeluarga perlu duduk semeja dan berbincang sebelum memutuskan langkah susulan yang perlu diambil,” katanya.

Peguam NFC, Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah, yang turut hadir pada sidang media itu berkata, beliau sudah menasihatkan anak guamnya bahawa tindakan undang-undang ke atas pendakwa boleh dilakukan kerana tuduhan yang dilemparkan tidak berasas.

Bagaimanapun katanya, beliau hanya boleh memberi nasihat dari segi perundangan dan menyerahkan kepada anak guamnya untuk membuat keputusan.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails