Wednesday, November 2, 2011

Dalam pertahan, Najib akui Projek Lembu Shahrizat gagal...



Dalam kenyataannya yang cuba mahu menyelamatkan Projek Lembu Shahrizat, Laki dan Anak-anak,Perdana Menteri menafikan dakwaan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Agroscience Sdn Bhd.


Menurut Najib sehingga 31 Julai 2011, jumlah pengeluaran pinjaman kepada NFC ialah sebanyak RM181.9 juta bagi membiayai pembangunan kandang, bangunan, kilang baja, kilang makanan dan sebagainya.

Najib juga menegaskan NFC kini menjalankan peningkatan kapasiti pengeluaran fidlot dari 6,000 ekor lembu kepada 12,000 ekor lembu manakala kapasiti penyembelihan di pusat penyembelihan kepada 200 ekor lembu sehari dan pembangunan itu dijangka siap pada awal tahun depan.

Dengan mengatakan NFC kini menjalankan peningkatan kapasiti pengeluaran fidlot dari 6,000 ekor lembu kepada 12,000, Najib secara tidak langsung telah mengakui Projek NFC tersebut telah gagal kini.

Ini kerana sasaran rasmi yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani seperti berikut:

- Pusat Fidlot Kebangsaan perlu menyediakan sekurang-kurangnya 60,000 ekor lembu fidlot setahun yang diternak di ladangnya di Gemas tetapi angka yang dicapai hanyalah 8,016 ekor antara tahun 2008 dan 2010; iaitu kurang dari 3,000 ekor lembu setahun.

-Pada masa yang sama, sebagai integrator projek syarikat tersebut juga perlu membangunkan 310 penternak kecil seluruh negara dengan saiz ternakan 600 ekor setahun, menjadikan sasaran ternakan lembu sebanyak 186,000 ekor setahun dansSasaran ini gagal sama sekali kerana Pusat Fidlot Kebangsaan masih belum pun menjalankan skim untuk membangunkan penternak-penternak kecil.

-Kementerian juga menetapkan supaya Pusat Fidlot Kebangsaan membangunkan sebuah ladang komersil bebas dengan sasaran 30,000 ekor setahun. Sasaran ini juga gagal kerana syarikat yang dikenalpasti telah menarik diri.

-Sasaran keseluruhan ternakan lembu di bawah skim yang diusahakan oleh Pusat Fidlot Kebangsaan ini adalah 276,000 ekor lembu setahun, iaitu sasaran yang lebih munasabah berbanding dengan sasaran 8,000 ekor lembu menjelang tahun 2010 seperti yang disebut Datuk Seri Noh Omar.

-Sasaran pengeluaran bekalan daging mencecah 50,000 tan setiap tahun menjelang 2009, iaitu memenuhi sasaran 40% permintaan daging Malaysia.

-Mengikut perkiraan kasar dengan anggaran seekor lembu menghasilkan 150 kg daging mentah, sasaran 50,000 tan daging lembu setiap tahun bersamaan dengan penyembelihan sebanyak 330,000 ekor lembu setiap tahun. Sasaran penyembelihan ini bertepatan dengan sasaran ternakan lembu sebanyak 276,000 ekor lembu setahun seperti yang ditetapkan Kementerian.

-Angka yang dicapai oleh Pusat Fidlot Kebangsaan hanyalah 5,742 ekor lembu disembelih di antara tahun 2008 dan 2010; jauh lebih rendah dari sasaran kebangsaan yang ditetapkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Lebih lengkap sila lihat di SINI

*****************

Najib nafi projek lembu salah guna pinjaman RM250 juta

Perdana Menteri menafikan dakwaan wujudnya penyalahgunaan dalam pinjaman mudah kerajaan berjumlah RM250 juta yang disalurkan kepada Agroscience Sdn Bhd.

Datuk Seri Najib Razak yang juga Menteri Kewangan berkata pinjaman itu telah diluluskan kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) untuk melaksanakan projek Pusat Fidlot Nasional.

Beliau menjelaskan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, yang dipertanggungjawab untuk melaksanakan Pusat Fidlot Nasional, menjemput enam syarikat untuk mengemukakan cadangan pelaksanaan pembangunan industri daging tempatan dan sekaligus meningkatkan pengeluaran daging lembu tempatan.

Jawatankuasa pemilihan syarikat peneraju, yang ditubuhkan untuk membuat pilihan syarikat yang memberi cadangan terbaik dan berpandu kepada kriteria dikehendaki, telah memilih Agroscience Sdn Bhd, katanya.

Menurut Najib sehingga 31 Julai 2011, jumlah pengeluaran pinjaman kepada NFC ialah sebanyak RM181.9 juta bagi membiayai pembangunan kandang, bangunan, kilang baja, kilang makanan dan sebagainya.

"Tujuan pinjaman itu adalah untuk membangunkan projek tersebut bagi menampung keperluan daging negara kepada tahap sara diri sebanyak 38 peratus," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada soalan Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) yang meminta penjelasan Menteri Kewangan sama ada berlakunya penyalahgunaan pinjaman mudah berjumlah RM250 juta kepada Agroscience Sdn Bhd pada 2003.

NFC ialah projek "Lembah Daging" di Gemas, Negeri Sembilan untuk meningkatkan pengeluaran daging tempatan dan mengurangkan penggantungan negara kepada pengimportan daging dari luar negara.

Najib berkata syarikat NFC telahpun membangunkan Pusat Fidlot Nasional dan kini mengeluarkan produk daging tempatan yang berkualiti tinggi pada tahap komersil.

Produk pengeluaran NFC dijual di pasar raya seperti Jaya Jusco, Giant, Carrefour, Cold Storage, pasar segar, kilang pemprosesan daging, restoran dan pasar runcit di seluruh negara.

NFC kini menjalankan peningkatan kapasiti pengeluaran fidlot dari 6,000 ekor lembu kepada 12,000 ekor lembu manakala kapasiti penyembelihan di pusat penyembelihan kepada 200 ekor lembu sehari dan pembangunan itu dijangka siap pada awal tahun depan, katanya.

- Bernama

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails