Saturday, November 12, 2011

Lynas : MB Pahang silap fakta atau memang mahu auta?



Menteri Besar Pahang Adnan bin Haji Yaakob dalam satu temuramah yang dijalankan oleh aktivis Australia Ryan Albrey pada 7 September 2011 menyebut bahawa bahan di Bukit Merah adalah bukan nadir bumi. Beliau juga menyatakan bahawa Asian Rare Earth (ARE) itu hanya merupakan nama syarikat tetapi tidak membuat/memproses nadir bumi.


Ini merupakan satu kenyataan yang salah dan tidak berasas.

ARE menghasilkan Yttrium daripada Monozite. Yttrium pula merupakan bahan mentah untuk menghasilkan tiub TV. Mengikut definasi International Union of Pure and Applied Chemistry (IUPAC), nadir bumi terdiri daripada 17 jenis bahan, iaitu 15 jenis Lanthanides, Scandium dan Yttrium.

Maka jelas bahawa kilang ARE memang menghasilkan nadir bumi, manakala juga telah mengaut keuntungan besar dengan menggadaikan nyawa dan keselamatan rakyat tempatan.

Peristiwa pahit Bukit Merah telah memberikan satu iktibar besar kepada Rakyat Malaysia supaya jangan mengulangi kesilapan yang sama.

GHL menganggap mungkin Adnan tidak berapa memahami peristiwa Bukit Merah sehingga boleh melontarkan kenyataan yang tidak berasaskan fakta, membuat perbandingan yang meremeh-temehkan perjuangan penduduk, dan menyinggung perasaan mangsa dan keluarga mangsa di Bukit Merah.

Justeru, GHL menggesa Adnan Yaakob meminta maaf kepada penduduk Bukit Merah atas kesilapan fakta tersebut.

Selain itu, GHL juga berasa kesal dengan kenyataan Adnan Yaakob yang berbaur rasis dan cuba memutar-belitkan isu sebenar.

Dalam temuramah tersebut, Adnan tidak menolak kemungkinan bahawa orang Cina di Malaysia cuba bersuhabat dengan Negara China untuk menggagalkan projek Lynas Advanced Material Plant (LAMP) supaya China boleh kekal memonopoli pasaran tanah jarang di dunia.

Ini merupakan satu tuduhan yang serius dan GHL harap Adnan dapat menunjukkan bukti atas dakwaan beliau. Jika tidak, Adnan selaku Menteri Besar Pahang bukan sahaja tidak peka terhadap kesejahteraan dan keharmonian masyarakt majmuk di Malaysia, malah cuba mengkaburi mata orang awam dengan andaian yang tidak berasas malah bersifat perkauman.

GHL ingin mengingatkan Menteri Besar Pahang bahawa rakyat Kuantan dan Pahang sedang meneliti tindaklaku dan perbuatan Kerajaan BN sekarang. Rakyat Kuantan yang terdiri daripada berbilang kaum dan agama telah menghantar satu mesej yang jelas kepada pihak yang berkuasa bahawa mereka menolak Projek LAMP sepenuhnya.

Padahalnya, dalam temuramah tersebut Adnan sendiri mengakui bahawa Negeri Pahang tidak "mendapat apa-apa" daripada Projek LAMP melainkan cukai tahunan tanah dan cukai pintu sahaja.

Sementara itu, GHL juga meminta Adnan supaya hentikan percakapan yang bercanggah dari segi logik dan rasional. Misalnya, Adnan berkata semua perkara yang kita jalani kehidupan seharian ada risiko. Akan tetapi, Adnan sengaja mengabaikan hakikat bahawa Projek LAMP merupakan risiko lebihan yang disuapkan kepada rakyat dan generasi yang akan datang tanpa persetujuan mereka.

Kemudian dalam temuramah tersebut, secara semberono Adnan juga berkata bahawa keadaan hartanah turun harga merupakan satu perkara yang baik dan menasihatkan siapa yang ada duit untuk membeli hartanah yang sedang turun sekarang.

GHL menganggap kenyataan-kenyataan yang dibuat di atas oleh Adnan hanya menunjukkan kelalaian dan kecetekan pandangan beliau terhadap Projek LAMP serta hak dan kepentingan rakyat. GHL minta Adnan berhenti menjadi jurujual kepada LAMP dengan kata-kata yang manis tetapi tidak masuk akal dan tidak membawa makna. Apa yang rakyat harap adalah sikap pihak pemerintah yang akur dan mendengar kepada suara rakyat, tetapi bukan sikap politik yang dangkal dan jijik mainan pemimpin yang hanya mahu terus kekal berkuasa sahaja.

Kenyataan media daripada Gabungan Hentikan Lynas.

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails