Monday, November 28, 2011

Konsesi Tol : Guan Eng cabar Nor Mohamed Yakcop berdebat.



Sebelum itu.. perhatikan jumlah belanja yang dikeluarkan dan juga pendapatan yang telah dikutip oleh pemegang konsesi Jambatan dan Lebuhraya (baca Kroni UMNO) berikut yang telah disifatkan sebagai penangguhannya selama lima tahun membawa menafaat kepada rakyat oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop..


- Jambatan Pulau Pinang kos pembinaan RM944 juta, jumlah kutipan tol RM1,859 juta.
- Lebuhraya BKE kos pembinaan RM256 juta, jumlah kutipan tol RM340 juta.
- Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) kos pembinaan RM5,945 juta, jumlah kutipan tol RM24,266 juta.

Rakyat yang bagaimana dimaksudkan oleh Tan Sri Nor Mohamed Yakcop?


**********************************
Kenyataan Akhbar

Cabar Tan Sri Nor Mohamed Yakcop Untuk Berdebat

Isu Sama Ada Lanjutan Konsesi Jambatan Pulau Pinang Selama 17 Tahun Dan Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE) Selama 11 Tahun Sebagai Balasan Pembekuan Kenaikan Kadar Tol Selama 5 Tahun Membawa Manfaat Kepada Rakyat Pulau Pinang Mahupun Malaysia.


Saya ingin mencabar Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop untuk berdebat secara terbuka berhubung dengan isu sama ada lanjutan konsesi jambatan Pulau Pinang selama 17 tahun dan BKE selama 11 tahun sebagai balasan untuk pembekuan kenaikan kadar tol selama 5 tahun di 5 lebuhraya termasuk lebuhraya utara-selatan (NSE) akan membawa manfaat kepada rakyat Pulau Pinang mahupun Malaysia.

New Straits Times hari ini telah melaporkan bahawa Tan Sri Nor telah mengecam saya kerana mengamalkan “double-standards” dalam bantahan saya terhadap semakan semula perjanjian tol. Saya tidak dapat melihat bagaimana semakan semula yang menangguhkan kenaikan tol selama 5 tahun sehingga 2016 ini dapat membawa manfaat kepada rakyat.

Tambahan pula, saya tidak faham bagaimana saya boleh dikatakan sebagai mengamalkan “double-standards” apabila saya mengambil pendirian yang berprinsip untuk membantah syarikat-syarikat pengendali tol yang selama ini meraut keuntungan yang besar daripada rakyat.




Semakan semula terma konsesi seperti di atas BUKANLAH satu keadaan “menang-menang” bagi Kerajaan, pengendali tol dan juga rakyat tetapi satu kemenangan yang besar bagi syarikat-syarikat pengendali tol sahaja.

Rakyat Pulau Pinang akan menerima hukuman yang tidak adil sebagai balasan untuk pembekuan kenaikan kadar tol selama 5 tahun bagi Jambatan Pulau Pinang, NSE, BKE, Linkedua dan Elite. Rakyat Pulau Pinang sekarang dihukum dengan lanjutan tol selama 17 tahun untuk Jambatan Pulau Pinang, iaitu sampai 31.12.2038 dan bukan tarikh luput asal 31.12.2021. Bagi BKE pula, tempoh tol ditambah 11 tahun kepada 31.12.2038 daripada tarikh luput asal 27.6.2026. Ini telah dilakukan supaya kadar tol untuk 5 lebuhraya di atas akan dibeku selama 5 tahun. Tambahan pula, tidak ada lanjutan tempoh tol bagi NSE atau Linkedua.

Yang paling tidak adil dan tidak berhati nurani, adalah hakikat bahawa syarikat-syarikat pengendali tol sudah pun meraut keuntungan yang besar di mana kos pelaburan asal pun sudah selesai dikutip.

Jawapan bertulis Parlimen mengenai hasil yang telah dikutip syarikat-syarikat pengendali tol sehingga 31.12.2010 telah menunjukkan bahawa syarikat pengendali tol NSE telah membelanjakan RM5,945 juta untuk pembinaan lebuhraya tersebut, manakala telah menerima sebanyak RM24,266 juta daripada kutipan tol dan pampasan kerajaan dalam jangka masa yang dinyatakan. Dalam erti kata lain, syarikat pengendali tol NSE telah mencatat lebihan sebanyak RM18,321 juta setakat 31.12.2010 daripada pelaburan asal.

Adakah perlu lagi untuk syarikat tersebut untuk mengutip lagi banyak tol daripada rakyat apatah lagi untuk menaikkan kadar tol? Sepatutnya, dan jika diambil kira kepentingan rakyat, kutipan tol bagi NSE patut dihentikan serta merta sedangkan hasil kutipannya sudah pun 3 kali ganda pelaburan asal.

Keadaannya serupa untuk Jambatan Pulau Pinang yang telah mengutip sebanyak RM1,859 juta dengan kos pembinaan RM944 juta. Lebihan yang dicatat sebanyak RM924 juta. Bagi BKE, tol yang dikutip berjumlah RM340 juta manakala kos pembinaannya RM256 juta, iaitu lebihan sebanyak RM84 juta. Rakyat Pulau Pinang bukan sahaja tidak sepatutnya terus dibebani tol sehingga 31 Disember 2038, malah tol bagi Jambatan Pulau Pinang dan BKE harus dihentikan serta merta.

Namun demikian, Tan Sri Nor mendakwa bahawa semakan semula perjanjian tol ini membawa manfaat kepada rakyat melalui pembekuan kenaikan kadar tol, sedangkan kenaikan kadar tol ini sebenarnyamenyamar disebalik lanjutan tempoh tol. Kesannya mungkin tidak dirasai sekarang, tetapi kesakitannya akan berlanjutan selama 17 tahun bagi Jambatan Pulau Pinang dan 11 tahun bagi BKE.

Jika Tan Sri Nor betul-betul yakin bahawa semakan semula perjanjian ini membawa manfaat kepada rakyat, beliau patut berdebat dengan saya supaya rakyat dapat memahami bagaimana semakan semula perjanjian ini akan membawa manfaat kepada mereka dan bukan kepada syarikat-syarikat pengendali tol.


Ketua Menteri Pulau Pinang
Lim Guan Eng

28.11.2011

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails