Tuesday, November 15, 2011

Isu Fidlot : Pak Lah dan Muhyiddin muncul membela Shahrizat..



Dua lagi Hero UMNO telah muncul untuk menyelamatkan Shahrizat, seorang ialah Perdana Menteri semasa projek ini dilancarkan yang tiba-tiba terbangun dari tidurnya.. manakala seorang lagi pula adalah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu.


Kata Hero yang menjadi Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani ketika itu "Beliau (Bung Moktar) tidak mengatakan Shahrizat secara langsung terlibat sebab ini adalah soal bisnes yang dikendalikan oleh keluarganya, tetapi beliau tidak terlibat,"

Kata yang menjadi Perdana Menteri semasa projek ini dilancarkan..“Tanya individu yang berkenaan, apa kena-mengena dengan Shahrizat, itu suami dia... Shahrizat tidak terlibat, jadi jangan tanya dia.


*****************************

NFC: Shahrizat tak perlu letak jawatan, kata Muhyiddin
Oleh Lisa J. Ariffin

PUTRAJAYA, 15 Nov - Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menegaskan Datuk Seri Shahrizat Jalil tidak terlibat secara langsung dalam Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), projek kontroversial yang diuruskan oleh anggota keluarganya, dan tidak perlu meletakkan jawatan sebagai anggota Kabinet dan parti.

Beliau mengulas demikian ekoran kenyataan pelbagai termasuk desakan wakil rakyat Umno-BN dari Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin semalam di Dewan Rakyat agar mereka yang bertanggungjawab dalam skandal NFC wajar meletakkan jawatan.

"Beliau (Bung Moktar) tidak mengatakan Shahrizat secara langsung terlibat sebab ini adalah soal bisnes yang dikendalikan oleh keluarganya, tetapi beliau tidak terlibat," kata Muhyiddin kepada pemberita hari ini.

Bagaimanapun katanya, gesaan timbalan pengerusi BBC-BN itu agar Shahrizat meletakkan jawatan adalah sesuatu yang tidak perlu di kalangan "orang sendiri."

“Ini sudah dijawab di Parlimen oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (Datuk Seri Noh Omar) dan telah dibincang dan diperjelaskan dengan mendalam lebih sejam dan seharusnya disambut dengan baik.

“Sama ada betul (untuk meminta agar letak jawatan)Datuk Bung Moktar dengan sendirinya boleh fikir,” katanya lagi.

Muhyiddin juga berkata syarikat yang terlibat seharusnya datang dengan penjelasan mereka sendiri dalam isu ini.

Kata beliau, ia akan membolehkan syarikat terbabit menjelaskan apa yang berlaku sebagaimana ditekankan oleh Ketua Audit Negara dalam laporannya.

“Terserah kepada mereka,” katanya.


***************************

NFC: Pak Lah minta Pakatan jangan heret Shahrizat, tapi tanya suami dia
Oleh Syed Mu’az Syed Putra

KUALA LUMPUR, 15 Nov — Tun Abdullah Ahmad Badawi menegaskan tidak wajar meminta Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil meletakkan jawatan berhubung isu Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC), yang dilaporkan gagal, memandangkan anggota Kabinet itu tidak terlibat dalam projek tersebut.

Sebaliknya, bekas perdana menteri ini berkata individu yang perlu menjawab segala persoalan berkaitan adalah suami Shahrizat yang juga Pengerusi Eksekutif NFC, Datuk Dr Mohamad Salleh Ismail.

Abdullah menambah Shahrizat tidak perlu melayan desakan supaya meletakkan jawatan.

“Tanya individu yang berkenaan, apa kena-mengena dengan Shahrizat, itu suami dia... Shahrizat tidak terlibat, jadi jangan tanya dia.

“Kalau Shahrizat jadi CEO bolehlah (tanya) tapi sekarang dia tidak terlibat dan sangat tidak adil melabelkan Shahrizat terlibat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Sains dan Nilai: Isu-isu Kontemporari dan Jalan Penyelesaian di Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim) di sini.

The Malaysian Insider difahamkan NFC mula beroperasi pada 2008 semasa pentadbiran Abdullah dan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika itu memegang jawatan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Ditanya mengenai NFC, Abdullah bagaimanapun enggan memberi sebarang komen dengan alasan ia perkara lama.

Isu projek NFC didedahkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan 24 Oktober lalu.

Susulan pendedahan laporan itu, pada Khamis lalu, PKR mendakwa NFC telah membayar RM10 juta bagi membeli kondominium milik National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC).

Ekoran skandal itu, banyak pihak terutamanya dari PKR menggesa supaya Shahrizat selaku Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Ketua Wanita Umno meletakkan jawatan yang disandang dan bertanggungjawab atas perkara itu.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata apartmen mewah di One Menerung, Bangsar itu direkodkan oleh NFC, projek ternakan lembu yang dikurniakan kepada keluarga Shahrizat, sebahagian daripada “pinjaman” RM83 juta disalurkan kepada NMLC.

Menurut Abdullah, Salleh adalah individu yang paling tepat untuk menjawab segala persoalan yang dibangkitkan.

“Saya cadangkan supaya Ahli Parlimen kita jemput Dr Salleh beri taklimat dan terangkan mengapa isu ini timbul.

“Berapa banyak duit, ke mana duit itu dibelanjakan... tanya mereka yang tahu, jangan terlalu cepat keluarkan pandangan dan selepas itu nak buat kesimpulan. Apa yang penting tanya orang yang berkenaan,” katanya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails