Tuesday, November 1, 2011

Malaysia masih ada risiko jadi muflis - Idris Jala



KUALA LUMPUR, 1 Nov ― Datuk Seri Idris Jala hari ini menegaskan semula bahawa Malaysia masih berhadapan dengan risiko menjadi negara muflis dalam satu dekad lagi jika ia membelanjakan wang yang dipinjam untuk perbelanjaan-perbelanjaan operasi seperti subsidi berbanding menggunakannya bagi tujuan pelaburan.


“Jika ekonomi kita mengalami pertumbuhan kurang empat peratus dan jika kita tidak memotong perbelanjaan operasi kita, jika kita pinjam pada kadar 12.5 peratus, jika hutang tahunan kita meningkat 12.5 peratus dan pulangan kita pula tidak berkembang, maka ia akan berlaku,” kata Jala hari ini selepas mengumumkan perkembangan terkini mengenai pelaburan dalam Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Beliau (gambar) mencetuskan kebimbangan yang sama tahun lalu ketika ramai membicarakan mengenai isu subsidi, yang kemudiannya menjadi kontroversi.

Hutang kebangsaan Malaysia meningkat 12.3 peratus untuk mencecah RM407 bilion tahun lalu, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2010 yang dikeluarkan minggu lalu.

Meskipun ekonomi mengalami pertumbuhan 7.2 peratus tahun lalu, defisit fiskal tahun lalu mengekalkan hutang awam lebih 50 peratus berbanding kadar KDNK bagi tahun kedua berturut-turut.

Pakar ekonomi juga berkara bahawa pertumbuhan ekonomi negara boleh perlahan ke paras 3.6 peratus tahun depan daripada kadar 4.3 peratus yang dijangkakan tahun ini ekoran risiko kemelesetan berganda global.

Bagaimanapun kata beliau, Malaysia tidak akan melalui kemelesetan tetapi akan melalui perkembangan ekonomi yang perlahan ekoran merebaknya krisis kewangan di Eropah.

Katanya, jangkaan beliau tidak bermakna Putrajaya akan berhenti daripada membuat pinjaman.

“Kita harus membuat pinjaman dengan syarat wang itu digunakan untuk pelaburan berbanding untuk perbelanjaan operasi,” kata beliau lagi.

“Kita harus memastikan pinjaman kita sepadan dengan pelaburan,” katanya lagi.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails