Tuesday, November 29, 2011

Faktor ekonomi mungkin paksa Najib panggil PRU-13 awal



KUALA LUMPUR, 29 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kemungkinan akan dipaksa untuk memanggil pilihan raya umum ke-13 awal tahun depan bagi mengurangkan kesan ke atas kedudukan politik parti pimpinannya ekoran ramalan kemerosotan persekitaran ekonomi, kata firma Nomura dalam laporannya mengenai prospek 2012 Malaysia.


Ketika spekulasi menyebut Najib akan memanggil pilihan raya umum dalam tempoh enam bulan akan datang, mandat semasa kerajaan pusat hanya akan berakhir April 2013.

Kebanyakan parti mengatakan bahawa sudah bersedia ke arah pilihan raya umum. Parti teras Barisan Nasional pimpinan Najib (gambar) mengadakan perhimpunan tahunannya bermula hari ini, dengan fokus ke atas persiapan menghadapi pilihan raya umum.

Firma penyelidikan Jepun itu menambah, pertambahan pengundi baru sejak pilihan raya umum 2008 bermakna akan wujud persaingan sengit dalam mendapatkan sokongan.

“Detikan jam bergerak dengan cepat. Spekulasi memuncak bahawa pilihan raya akan datang boleh diadakan dalam beberapa bulan lagi,” kata laporan itu.

Firma itu menambah, selaku ekonomi berorientasikan eksport ketiga utama di Asia selepas Hong Kong dan Singapura, Malaysia terdedah kepada kesan kemungkinan kelembapan di China.

“Dalam senario sedemikian, Malaysia akan berakhir dengan kedudukan mudah terjejas,” katanya sambil menambah, tiga enjin pertumbuhan iaitu ekonomi sektor awam dan swasta, eksport pengeluaran dan sumber-sumber komoditi kemungkinan akan berada di kedudukan yang lebih lemah.

Bagaimanapun kerajaan mempertahankan bahawa ekonomi akan kekal tidak mudah luntur meskipun wujudnya masalah fiskal di negara-negara maju di Eropah.

Laporan Nomura juga berkata, dengan pengundi-pengundi layak meningkat sebanyak 1.9 juta kepada 16.3 juta pada akhir suku pertama tahun dan peningkatan pengundi-pengundi layak boleh mencecah 3.2 juta pada suku pertama 2013.

“Dengan mengambil kira 2.58 juta tidak keluar mengundi pada pilihan raya umum 2008, kami menganggarkan bahawa bilangan mereka sebenarnya mengundi boleh mencecah 9.43 juta, satu bilangan yang signifikan, yang pada pandangan kami kemungkinan akan meningkatkan saingan memandangkan perikatan yang memerintah hanya menang dengan majoriti 384,688 undi pada 2008,” kata laporan itu.

Nomura juga menyebut kemungkinan bukan semua pengundi yang layak akan mendaftar sebagai pengundi dalam pilihan raya umum ke-13.

The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails