Saturday, November 26, 2011

Bodohkah saya? tanya Anwar



JOHOR BARU, 26 Nov — Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan kerajaan Umno-Barisan Nasional (BN) agar melupakan hasrat dan cita-cita untuk menawan negeri-negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) termasuk Selangor.


Kenyataan itu dikeluarkan Anwar pada Ceramah Perdana PKR di pejabat Angkatan Muda Keadilan cabang Gelang Patah malam tadi sempena kongres tahunannya di sini.

“Umno jangan mimpi nak tawan negeri-negeri Pakatan Rakyat, mustahil, ... Umno tidak akan berjaya untuk menawan kembali Selangor,” tegasnya di hadapan 300 penyokong parti itu.

“Negeri-negeri PR sudah membuktikan kami mampu mentadbir dengan berhemah dan cekap, buktinya di Selangor, hasil pentadbiran yang cekap, kami mampu untuk memberikan air percuma kepada rakyat Selangor,” katanya lagi.

Tambah Ketua Umum PKR ini, Johor juga tidak akan mampu menahan arus perubahan yang sedang melanda politik negara dewasa ini.

“Sekiranya pimpinan Umno-BN masih lagi mengamalkan corak pentadbiran sedia ada, mengabaikan hak dan kepentingan Melayu, tidak mustahil kami akan menawan negeri ini, walaupun ia kubu kuat Umno, ini sudah dibuktikan di Ijok.

“Dahulunya Ijok juga merupakan kubu kuat Umno, tapi kita lihat apa yang jadi? Bila rakyat bangkit menolak pemimpin yang korup, PR mampu menawan Ijok,” katanya.

Namun begitu, Anwar juga memberikan teguran kepada pimpinan PR supaya tidak mengikuti sikap pemimpin Umno-BN yang menurutnya takbur, dan lupa diri.

“Ingat, pimpinan PR jangan jadi seperti pemimpin Umno-BN, jangan takbur riak, dan lupa diri apabila sudah memerintah, utamakan hak rakyat dan bukannya pentingkan diri sendiri,” katanya memberi peringatan kepada pemimpin parti berkenaan.

Penasihat Ekonomi Selangor ini juga berjanji sekiranya parti pimpinannya berjaya menawan Putrajaya, tarif elektrik negara dan harga minyak akan diturunkan dalam masa seminggu pemerintahannya.

“Ini janji saya, sekiranya PR berjaya menawan Putrajaya, harga tarif elektrik dan minyak akan saya turunkan.

“Umno-BN akan cakap saya hanya buat janji kosong, tidak berasas, negara boleh bankrup sekiranya saya laksanakan perkara ini, tapi mereka lupa, lapan tahun saya pegang jawatan Menteri Kewangan, bodohkah saya?” katanya mempersoalkan tuduhan kerajaan terhadapnya.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails