Friday, November 25, 2011

Akta baru perhimpunan aman sekat rakyat berhimpun?



Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pengenalan Akta Perhimpunan Aman 2011 sebenarnya merupakan tindakan Putrajaya untuk mengehadkan pergerakan ahli-ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam memberi penjelasan kepada rakyat mengenai pelbagai isu yang berkaitan dengan salah guna kuasa, rasuah dan salah pengurusan oleh pihak pemerintah.


Ketua Umum Pakatan Rakyat ini (gambar) menegaskan peruntukan dalam undang-undang perhimpuan aman yang mana menetapkan denda sehingga RM20,000 jika didapati bersalah membolehkan kerajaan mengheret ahli-ahli Parlimen ke muka pengadilan jika melakukan ceramah, penjelasan dan perhimpunan yang merupakan salah satu cara untuk perikatan itu terus memberi penjelasan kepada rakyat.

“Undang-undang ini merupakan satu cara untuk menghalang Pakatan Rakyat untuk memberi penjelasan kepada rakyat secara berterusan mengenai perkara yang berbangkit kerana permohonan untuk mengadakan perhimpunan yang merujuk kepada ceramah dan sesi dialog dengan rakyat memerlukan kelulusan 30 hari sebelum perhimpunan itu diadakan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Anwar juga berkata Pakatan Rakyat menyokong pemansuhan tiga proklamasi darurat tetapi perkara ini adalah hanya satu perkara kecil yang seharusnya telah dilaksanakan lama dulu.

Proklamasi-proklamasi yang terbabit termasuk Proklamasi Darurat 1966 iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 14 September 1966 di Sarawak bertujuan untuk membolehkan kerajaan menyelesaikan pertikaian politik di Sarawak, Proklamasi Darurat 1969 iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 1969 berikutan dengan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969 dan Proklamasi Darurat 1977 iaitu Proklamasi Darurat yang dikeluarkan oleh Yang di-Pertuan Agong pada 8 November 1977 di Kelantan bertujuan untuk menyelesaikan pertikaian politik di negeri Kelantan.

“Kita gembira kerana Perdana Menteri menerima cadangan-cadangan Pakatan Rakyat, khususnya setelah Rang Undang-Undang Pemansuhan Darurat yang dicadang Pakatan Rakyat ditolak Speaker Dewan Rakyat pada April 2011.

“Tambahan lagi, pendirian Perdana Menteri diwakili oleh Menteri Datuk Seri Nazri Aziz begitu berbeza pada 16 Mac 2011 apabila dalam jawapan Parlimen beliau menjawab soalan daripada Ahli Parlimen Lembah Pantai tentang kesediaan memansuhkan serta merta pengisytiharan darurat ‘pada pandangan kerajaan, Proklamasi Darurat pada tahun 1969 masih wajar dikekalkan’,” katanya lagi.

Kata beliau, pun begitu, “kami alu-alukan pemansuhan ini kerana menandakan suara rakyat tidak dapat dihadang oleh kerajaan lagi.”

Jelas Anwar, pemansuhan ini seharusnya membawa kepada kebebasan demokrasi yang lebih baik di Malaysia tetapi malangnya pemerintah tidak mengotakan janji mereka dengan memperkenalkan Rang Undang-Undang Perhimpunan Aman yang menyekat kebebasan rakyat dan sekali gus melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.

“Pembangkang telah lama membawa usul untuk memansuhkan proklamasi darurat sejak lama dulu iaitu sejak 1979, malahan Pakatan Rakyat telah membawa usul untuk memperkenalkan Akta Pemansuhan Darurat untuk dibentangkan di Dewan Rakyat pada Mac lepas tetapi yang melibatkan pemansuhan kesemua proklamasi darurat dan beberapa undang-undang serta peraturan-peraturan yang dikuatkuasakan oleh kerajaan apabila diperkenalkan Proklamasi Darurat ini,” kata Ketua Pembangkang ini.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails