Thursday, October 13, 2011

UMNO, dah tua pun masih macam budak-budak..

Umno masih belum dewasa dan gagal menunjukkan kematangannya bagi menangani isu-isu berkaitan masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti Selangor.

“Sebaliknya mereka lebih suka menenggek atas isu perkauman sempit dan agama; bukan untuk mencari penyelesaian tetapi menambah rumit keadaan,” kata Faekah Husin, setiausaha politik kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu kenyataannya.


Beliau berkata, tindakan Ketua Pembangkang Selangor, Dato’ Satim Diman menggesa Menteri Besar memohon maaf kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung isu pemeriksaan terhadap Gereja Methodist Damansara Utama (DUMC) jelas menunjukkan Umno sudah tiada isu lain hendak diketengahkan.

“Ia sekali gus menunjukkan Umno gagal mencari seorang pemimpin pembangkang yang dewasa dalam membincangkan isu-isu yang membangun ummah dan negeri Selangor,” ujarnya.

Faekah menjelaskan Khalid tidak pernah menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) seperti yang digembur-gemburkan pemimpin Umno. Ia hanyalah provokasi berniat jahat yang sengaja dicetuskan untuk membangkitkan keresahan umat Islam.

Malahan MB juga tidak pernah meminta maaf bagi pihak Jais kepada DUMC atau penganjur majlis makan malam amal seperti dilaporkan.

“Setelah membaca laporan awal Jais, MB hanya menyatakan rasa kesal dengan kejadian yang berlaku kerana beliau yakin amat sukar bagi Jais mempertahankan dakwaan. Ternyata, pandangan MB selari dengan pandangan Tuanku Sultan,” katanya.

Ujar beliau, “saya menggesa Satim supaya berhenti bermain ‘politik kekampungan’ dan mulai berhujah secara dewasa kerana menggesa MB meminta maaf kepada Sultan Selangor atas perkara yang beliau sendiri tidak jelas hujung pangkal, tidak akan membawa kebaikan kepada mana-mana pihak.

“Sedangkan seluruh rakyat Selangor maklum bahawa MB sentiasa menghormati Sultan Selangor selaku ketua negeri dan ketua agama Islam di negeri Selangor.

“Justeru, walaupun diasak media dengan pelbagai soalan, beliau tetap tenang dan hanya akan mengulas selepas Sultan Selangor bertitah,” terangnya.

Sungguh hina

Menurutnya, taktik Satim yang cuba mencuri populariti ini sungguh hina apatah lagi dengan cara cuba melaga-lagakan MB dan Istana dan pada masa yang sama menuduh kerajaan Pakatan Rakyat tidak membela umat Islam.

Katanya, Satim harus sedar, isu murtad ini berlaku jauh lebih awal sebelum Ogos 2011 bilamana isu DUMC ini diketahui ramai. Selama 52 tahun mentadbir, apakah yang dilakukan oleh Umno? Jika UMNO ikhlas memperjuangkan umat Islam, isu murtad ini tidak berlaku atau kalau ada pun, tidak serius seperti sekarang. Isu murtad bukan berlaku dalam tempoh empat tahun Pakatan Rakyat memerintah.

Justeru katanya, kerajaan negeri lebih melihat secara objektif dan maju ke hadapan. Kegagalan pentadbiran Barisan Nasional selama ini telah mengakibatkan kelemahan di pihak Jais dalam menentukan modus operandi yang berkesan dan profesional. Prosedur operasi standard (SOP) yang digunapakai juga tidak sesuai bagi menangani isu sebegini.

Justeru, MB menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk memperkasakan SOP ini supaya Jais lebih berkesan dalam tindakan bagi memelihara akidah umat Islam.

“Apa pula sumbangan Satim Diman sebagai Ketua Pembangkang beragama Islam dalam memelihara akidah dari terus terpesong?

Sebagai ketua pembangkang dan wakil rakyat, apa sumbangan yang boleh beliau berikan kepada JAIS dan masyarakat Islam?,” soalnya.

Faekah mempertikai sumbangan Satim dengan menyoal “selama menjadi ketua pembangkang, Satim tidak pernah memberikan cadangan untuk membaiki pentadbiran dan program membela nasib rakyat miskin, sedangkan itulah tanggungjawab hakiki beliau selaku ketua pembangkang.”

“Malang sekali walau telah memerintah lebih 52 tahun, Umno gagal melahirkan kepemimpinan yang matang dan sebaliknya mereka lebih suka menenggek atas isu perkauman sempit dan agama,” katanya.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails