Saturday, October 22, 2011

Rektor UIA mula nak berbohong?



Semalam Rektor UIAM Profesor Datuk Dr Zaleha Kamaruddin telah berkata “Saya tahu ada beberapa pihak yang melaporkan di dalam akhbar dan laman web bahawa beliau digantung dan tidak menerima gaji, serta dihalang dari memasuki UIAM. Itu semua tidak benar,”


Zaleha juga berkata Aziz digantung selama tujuh hari mulai Rabu lalu dan dalam tempoh itu, pensyarah berkenaan perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIAM berhubung tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor sebuah gereja di Damansara Utama pada 3 Ogos lepas - sepenuhnya sila baca di (SINI)

Dan ini adalah kenyataan dari Peguam Aziz Bari menafikan kenyataan Rektor UIAM dan ianya juga membuktikan Rektor UIAM itu mula berbohong untuk menegakkan benang yang basah..

*******************

Peguam: Surat UIA amat jelas Aziz Bari digantung, dilarang masuk kampus

KUALA LUMPUR, 22 Okt — Prof Dr Abdul Aziz Bari menafikan kenyataan Rektor Universiti Islam Antarabangsa (UIA) bahawa pensyarah itu tidak pernah ditegah memasuki pusat pengajian tinggi tersebut sehingga siasatan ke atasnya selesai, demikian menurut peguam beliau hari ini.

Sebaliknya Dr Zulqarnain Lukman berkata, kandungan surat tunjuk sebab yang dikeluarkan, bertarikh 19 Oktober lalu, dengan jelas menunjukkan Aziz digantung perkhidmatan beliau berkuasa “serta-merta sehingga siasatan selesai dan bukan hanya dalam tempoh tujuh hari” sebagaimana dikatakan oleh Rektor Prof Dr Zaleha Kamaruddin semalam.

“Berhubung kenyataan yang diberikan oleh Rektor UIA Prof Dr Zaleha Kamaruddin, yang disiarkan oleh akhbar hari ini khususnya oleh Bernama (semalam), saya mendapat arahan anak guam bahawa kenyataan Rektor UIA berkaitan penggantungan perkhidmatan selama tujuh hari dan bahawa beliau bebas masuk ke dalam premis UIA adalah tidak tepat,” kata Zulqarnain sambil menambah, beliau diarah membuat penjelasan berhubung perkembangan terbaru ini.

Kenyataan Zaleha itu keluar semalam ketika banyak pihak menggesa UIA menarik balik penggantungan perkhidmatan ke atas Aziz (gambar) sehingga siasatan dijalankan.

Zulqarnain berkata, berdasarkan surat tunjuk sebab dikeluarkan, Aziz digantung perkhidmatan dengan gaji penuh, dengan serta-merta sehingga notis susulan.

Katanya, surat itu juga mengingatkan bahawa ketika tempoh penggantungan, Aziz tidak dibenarkan memasuki premis universiti tanpa kebenaran bertulis daripada Dekan Kulliyah Undang-undang.

Selain itu kata beliau, surat tersebut juga menyebut bahawa Aziz tidak dibenar mengadakan sebarang transaksi bagi pihak universiti atau menghubungi staf universiti atau sekutu bisnes UIA tanpa kebenaran Dekan Kulliyah Undang-undang.

“Oleh itu, adalah jelas bahawa penggantungan perkhidmatannya adalah berkuat kuasa serta-merta sehingga siasatan selesai dan bukan hanya tempoh tujuh hari.

“Tempoh tujuh hari yang dinyatakan Rektor UIA itu adalah merujuk kepada tempoh menjawab surat tunjuk sebab, bukan tempoh penggantungan. Tempoh penggantungan tidak ditetapkan, ertinya sepanjang yang mungkin selagi tidak ditamatkan secara rasmi oleh UIA,” kata beliau.

Aziz dikehendaki menjawab surat tunjuk sebab sebelum 4 petang 25 Oktober ini.

Begitu juga bahawa adalah jelas, kata Zulqarnain, pelangganya tidak dibenarkan masuk ke premis universiti atau berhubung dengan mana-mana staf UIA melainkan terdapat kebenaran bertulis daripada Dekan Kulliyah Undang-undang.

“Jika benar terdapat sebarang perubahan kepada notis yang diberikan kepada anak guam, seharusnya pihak universiti mengeluarkan notis baru membatalkan kandungan notis bertarikh 19/10/2011 ini,” kata beliau lagi.

Zulqarnain menambah, anak guamnya juga memohon pengurusan UIA tidak mengeluarkan kenyataan yang berkonflik dan bercanggah satu sama lain yang membingungkan masyarakat awam.

Dalam satu kenyataan semalam, UIA menjelaskan tindakan menggantung tugas Aziz bukanlah hukuman, sebaliknya bagi memastikan siasatan terperinci dapat dijalankan berikutan kenyataan beliau mempertikai titah Sultan Selangor.

Zaleha turut menafikan laporan media dan portal berita bahawa Aziz tidak dibenarkan masuk serta berurusan dengan pihak universiti, dan digajinya turut ditahan.

Beliau berkata UIA tetap membayar gaji Aziz seperti biasa dan pensyarah itu dibenarkan memasuki kawasan universiti untuk berurusan dengan fakulti.

Zaleha berkata Aziz digantung selama tujuh hari mulai Rabu lalu dan dalam tempoh itu, pensyarah berkenaan perlu menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan Lembaga Disiplin, Tatatertib dan Kakitangan UIA berhubung tindakan mempertikaikan titah Sultan Selangor mengenai serbuan Jabatan Agama Islam Selangor sebuah gereja di Damansara Utama pada 3 Ogos lepas.

Beliau berkata jika Aziz tidak membalas surat tunjuk sebab itu dalam masa yang ditentukan, pensyarah berkenaan boleh dihadapkan ke Lembaga Displin, Tataterib dan Kakitangan UIAM untuk dibicarakan.

Zaleha berkata kenyataan Aziz berhubung titah ucapan Sultan Selangor akan disiasat mengikut Peraturan 15 Peraturan Tatatertib Kakitangan universiti itu.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails