Monday, October 24, 2011

Husam saman RBF Setengah Juta RM kerana memfitnah..



Kota Bharu - Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa memberi keterangan di Mahkamah Tinggi, di sini semalam berhubung kes saman malunya berjumlah RM500,000 terhadap blogger yang didakwa menyiarkan artikel memfitnahnya, dua tahun lalu.


Beliau yang juga Exco Kerajaan Kelantan menuntut ganti rugi itu terhadap Mohd Faisal Rohban Ahmad, 37 berikutan penyiaran artikel bertajuk ‘Husam & Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta’, di ruangbicarafaisal.blogspot.com pada Sabtu 3 Oktober 2009.

Antara kenyataan fitnah itu termasuk menyatakan plaintif sengaja berkonspirasi dan berkomplot dengan satu pihak ketiga untuk memberi 4,000 hektar tanah kawasan balak kepada seorang pihak ketiga bernama Tamrin Ghaffar.

Balak itu cuba dijual kepada seorang tauke dengan harga RM25 juta. Pembahagiannya pula adalah plaintif sebanyak RM10 juta, pihak ketiga pula RM10 juta dan Pas Pusat RM5 juta.

Plaintif mendakwa keseluruhan artikel tersebut juga sengaja memfitnahnya dengan mengatakan kawasan balak berkenaan tidak dapat dijual dengan harga RM25 juta dan hanya dijual dengan harga RM15 juta dan wang tersebut dibahagikan; plaintif mendapat RM5 juta, pihak ketiga RM6 juta dan Pas Pusat RM3 juta.

Artikel itu ternyata mahupun tersirat menuduh secara melulu bahawa plaintif adalah seorang yang korup dan tidak boleh dipercayai serta menyalahgunakan kuasa sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Kelantan.

Ketika memberikan keterangan, Husam menegaskan artikel itu secara terang terangan memfitnahnya dan menafikan dakwaan itu kerana beliau bekerja keras untuk menjaga keharmonian rakyat Kelantan.

“Saya kecewa, malu, tertekan kerana artikel fitnah itu yang merosakkan nama baik saya. Kesannya saya malu kerana dipandang serong masyarakat. Saya juga tertekan kerana ramai pihak yang bertanyakan perkara itu sehingga saya sukar fokus kepada kerja.

“Kesan akibat penyiaran artikel itu masih wujud berikutan masyarakat masih memandang serong dan ada sesetengah pihak yang masih memetik artikel berkenaan dan menyiarkannya sehingga kini,” katanya ketika menjawab soalan peguam belanya, Hisham Fauzi.

Menurutnya, tuntutan saman itu dibuat bagi memberi pengajaran setimpal kepada defendan yang berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu dan teladan kepada masyarakat supaya tidak sewenang-wenangnya memfitnah seseorang.

Peguam bela defendan, Adzly Abdul Manas mempertikaikan kesahihan maklumat diberikan pihak ketiga yang membantu plaintif mendapatkan latar belakang Mohd Faisal Rohban termasuk nombor telefon, alamat dan pekerjaannya.

“Akibat artikel itu setujukah Datuk jika dikatakan kesan-kesan seperti tidak boleh fokus kerja, tertekan, dipandang serong yang dialami adalah rekaan. Tuntutan jumlah ganti rugi itu juga banyak,” katanya dalam soal balas terhadap plaintif.

Dalam jawapannya, Husam berkata, sepatutnya Adzly sebagai peguam bersimpati terhadap nasibnya.

Saksi pihak plaintif yang hadir memberi keterangan semalam, Mohammad Syahfahrin Ali Rajkumar Abdullah, 40 yang menyerahkan notis saman itu kepada defendan di kediamannya di Selangor, 31 Mei tahun lalu.

“Saya diarahkan plaintif untuk ke rumah defendan, ketika tiba di rumahnya, saya dapati defendan terkejut apabila diberitahu tujuan kedatangan saya lalu beliau hubungi polis dan rakannya. Beliau juga mengaku bernama Mohd Faisal Rohban dan membaca notis writ saman yang saya berikan. Saya juga sempat mengambil beberapa keping gambar defendan menggunakan telefon bimbit saya,” katanya yang mendakwa rakan plaintif dan tinggal di Dun Salor.

Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim kemudian menetapkan 12 dan 13 Disember ini sebagai tarikh sambung bicara kes itu.

Blogger berkenaan dijangka hadir memberi keterangan pada tarikh itu bersama dua saksi lain - Sinar Harian


*****************


Blogger sembunyi wajah ketika dirakam gambar

KOTA BHARU, 23 Okt: Saksi plaintif kes saman anggota EXCO Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Husam Musa terhadap Blogger Mohd Faisal bin Rohban Ahmad memberitahu, defendan cuba menyembunyikan wajah ketika gambarnya dirakam semasa beliau menghantar writ saman.

Mohd Shah Karim, 30 berkata, semasa menghantar writ saman kepada Mohd Faisal pada 31 Mei 2010, dia (Faisal) membantah ketika cuba dirakam gambar dengan telefon bimbit di hadapan rumahnya di Shah Alam.

“Ketika saya sampai di rumahnya dia baru tiba dan terkejut ketika diberitahu ada notis saman daripada Dato' Husam.

“Selepas itu beliau menghubungi rakan, peguam dan anggota polis. Tidak lama kemudian datang seorang anggota polis lengkap beruniform dan dua lagi berpakaian biasa serta peguam.

“Anggota polis yang datang dengan kereta Kancil itu membaca writ saman yang saya bawa, kemudian meminta kad pengenalan saya dan Faisal. Ketika itu saya nampak namanya pada kad pengenalan,” katanya menjawab soalan peguam Adly Abdul Manas, mewakili Mohd Faisal pada perbicaraan kes itu di Mahkamah Tinggi Kota Bharu hari ini.

Kes terebut dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim. Plaintif diwakili peguam Hisham Fauzi.

Faisal dalam blognya ruangbicarafaisal.blogspot.com pada 3hb. Oktober, 2009 menulis rencana berunsur fitnah terhadap Husam yang bertajuk, “Husam dan Tamrin Balun Balak Kelantan RM15 juta.”

Husam dalam pernyataan tuntutannya menjelaskan artikel disiarkan dalam blog defendan adalah mengelirukan dan bermaksud memberi gambaran buruk serta tidak benar terhadapnya.

Ekoran itu plaintif melalui peguamnya mengemukakan notis menuntut defendan memohon maaf secara terbuka dan membayar ganti-rugi.

Husam menuntut defendan memohon maaf secara bertulis tanpa syarat kepadanya, menyiar permohonan maaf dalam blognya, mengiklan permohonan maaf dalam akhbar harian utama & membayar ganti rugi RM500,000.

Selain itu juga Husam juga mebuat tuntutan ganti-rugi teladan, ganti-rugi melampau, punitif, injuksi menghalang defendan atau agen mengulangi penerbitan kenyataan tersebut.

Mohd Shah seorang peniaga yang berasal dari Salor, merupakan saksi kedua kes tersebut.

Sebelum itu Husam dalam keterangan secara bersumpah memberitahu Mahkamah, sebelum artikel tersebut disiarkan beliau menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada Faisal.

Katanya, selepas artikel tersebut disiarkan, beberapa blog lain turut memetik rencana tersebut sehingga nama baiknya sebagai seorang Ahli Politik dan Anggota Pentadbir Kerajaan terjejas teruk.

”Oleh itu saya berpendapat wajar dikenakan ganti rugi yang lebih tinggi kerana melemparkan fitnah sehingga menjatuhkan air muka seseorang,” katanya.

Husam berkata, berdasarkan kepada pencarian dibuat melalui nombor talifon yang digunakan Faisal didaftar bukan menggunakan namanya yang sebenar sebaliknya menggunakan nama adiknya.

Ketika disoal balas peguam defendan, Husam memberitahu Mohd Faisal menggunakan banyak alamat, namun rumah bapanya dikesan di Wakaf Bharu, Tumpat.

Menjawab soalan peguam lagi katanya, selepas menerima notis saman, defendan tiba-tiba berubah sikap di mana Faisal dalam SMSnya memberitahu mahu sertai PAS dan memohon balak.

Hakim kemudian menangguh kes tersebut dan menetapkan sambung bicara pada 12 dan 13 Disember hadapan. Adly sebelum itu memohon penangguhan kes tersebut memandangkan anak guamnya sedang menunaikan haji.

Beliau juga memberitahu akan mengemukakan tiga saksi iaitu Mohd Faisal, wakil daripada Umno Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM)- Harakahdaily

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails