Sunday, October 30, 2011

Polis sahkan Aziz Bari terima peluru jenis caliber 9mm

KUALA LUMPUR, 30 Okt — Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Prof Dr Abdul Aziz Bari hadir di ibu pejabat Polis Daerah Gombak dekat sini bagi memberi keterangan susulan berhubung sebutir peluru dan nota ugutan yang diterimanya pagi semalam.

Beliau berkata dalam kejadian pada pukul 11.45 pagi semalam peluru dengan nota ugutan yang tertulis “jangan kurang ajar dengan Sultan maut nanti” itu, dihantar melalui pos ketika beliau mahu pulang ke rumah mertuanya di Taiping, Perak.


Aziz kini disiasat pengurusan UIA, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung kenyataannya menyentuh titah Sultan Selangor berkenaan kes Gereja Methodist Damansara Utama, awal bulan ini.

“Saya telah membuat laporan semalam di Balai Polis Taiping dan hari ini saya datang untuk memberi keterangan lanjut . . . pihak polis telah mengambil peluru tersebut untuk siasatan,” katanya.

Dipetik Bernama Online, Aziz berkata ugutan yang diterima tidak akan mematahkan semangatnya untuk meneruskan tugas seperti biasa dan beliau yakin mungkin ada segelintir pihak yang kurang berpuas hati dengan komen beliau terhadap titah Sultan Selangor baru-baru ini.

Tindakan Aziz mempertikai titah Sultan Selangor dibantah beberapa pihak, termasuk bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyifatkan keengganan pensyarah itu meminta maaf sebagai “kurang ajar”.

Polis mengesahkan peluru yang diterima Aziz adalah jenis caliber 9mm dan motif pihak tertentu menghantarnya masih dalam siasatan.

Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Abdul Rahim Abdullah mengesahkan menerima laporan daripada Aziz pada pukul 7 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.


The Malaysian Insider

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails