Wednesday, October 26, 2011

PKR akan anjur lawatan ke Pusat Feedlot milik Suami dan anak Shahrizat.

PETALING JAYA: PKR menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) untuk memulakan siasatan ke atas National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFCSB) yang dimiliki oleh suami dan anak-anak kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Isu ini telah dibawa ke perhatian rakyat sejak awal tahun 2010 lagi memandangkan kedudukan strategik projek seperti yang didakwa oleh kerajaan dan peruntukan besar yang terlibat,” kata para pemimpin PKR dalam satu kenyataan media bersama


Mereka yang mengeluarkan kenyataan itu ialah Ketua Wanita PKR dan juga Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin; Pengarah Strategi Mohd Rafizi Ramli dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sikamat Aminuddin Harun.

Menurut kenyataan itu, di bawah Rancangan Malaysia Ke-9, Pusat Feedlot Kebangsaan yang dimiliki dan dikendalikan oleh NFCSB diberi status Projek Berimpak Tinggi dengan sasaran memenuhi 40% permintaan dan pengeluaran daging lembu untuk pasaran tempatan.

Pada hari Khamis, 20 Oktober 2011 satu pasukan peninjau PKR yang diketuai oleh Rafizi dan Aminuddin telah membuat kunjungan tidak rasmi ke Pusat Feedlot Kebangsaan seluas 5,000 ekar di Gemas bagi menilai prestasi pencapaian pusat tersebut sama ada dapat memenuhi sasaran yang ditetapkan.

Kata mereka, hasil dari temuramah dengan pekerja-pekerja, kami dapati sebanyak 1,000 ekor lembu yang diimport diperlihara pada satu-satu masa.

“Secara purata 20 ekor disembelih setiap hari dengan kira-kira 3,000 kg daging (anggaran 900,000 kg atau 900 tan daging lembu setahun) dipasarkan kepada Hypermarket seperti Giant, Carrefour dan lain-lain,” kata mereka dalam kenyataan itu.

Mereka menerangkan bahawa prestasi operasi ini perlu dibandingkan dengan sasaran yang ditetapkan memandangkan projek tersebut dikurniakan tanah kerajaan seluas 5,000 ekar di Gemas dan mendapat bantuan kewangan kerajaan berjumlah RM250 juta.

Mengikut prestasi Pusat Feedlot Kebangsaan, penggunaan daging lembu setahun di Malaysia ialah sebanyak 162,357 tan manakala pencapaian Pusat Feedlot hanya 0.6% sedangkan sasaran yang perlu dicapai ialah 60%.

Sementara jumlah lembu yang perlu disembelih untuk mencapai sasaran itu ialah sebanyak 1,500 ekor sehari tetapi jumlah lembu yang dapat disembelih hanya 20 ekor sehari.

Projek gagal

“Kajian awal oleh PKR ini jelas menunjukkan bahawa projek ini telah gagal walaupun menelan jumlah wang rakyat yang besar dan kurniaan tanah seluas 5,000 ekar.

“Malah, ada petani dan penternak kecil yang mempunyai operasi yang lebih besar dan berkesan meskipun tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan,” kata mereka.

Menurut mereka, penyelidikan PKR juga menunjukkan bahawa sehingga kini, komponen-komponen operasi yang lain yang diamanahkan kepada syarikat milik suami dan anak-anak Shahrizat masih belum dilaksanakan walaupun mendapat peruntukan besar.

Selain dari aktiviti mengimport lembu, syarikat ini juga dilantik oleh kerajaan untuk membangunkan penternak kecil melalui konsep “penternakan satelit” untuk menggandakan pengeluaran lembu, membangunkan makanan lembu berkualiti dan membangunkan baja dari operasi penternakan lembu.

Ujar mereka, “PKR berpendapat bahawa isu ini perlu diberi perhatian serius kerana ia salah satu contoh utama bagaimana penyelewengan wang rakyat akibat ketirisan mempunyai kesan mendalam kepada kenaikan harga barang yang menekan rakyat.

Projek ini dilancarkan oleh kerajaan bertujuan untuk mengurangkan import makanan yang memainkan peranan utama kepada kenaikan harga barang makanan yang terpaksa ditanggung rakyat.

Walau bagaimana pun, sebahagian besar dari peruntukan kepada projek-projek pertanian dan makanan untuk mengurangkan pergantungan kepada import tidak sampai dan diselewengkan sehingga mengakibatkan import makanan mencecah RM30 bilion setahun sehingga akhir 2010.

“Shahrizat sebagai menteri yang berkepentingan dalam projek ini dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai bekas Menteri Pertanian dan Agro Industri yang terlibat menganugerahkan projek ini kepada rakan menteri beliau tidak boleh lagi terus berdiam diri. Rakyat memerlukan penjelasan segera mengenai kegagalan projek nasional yang menelan belanja besar ini.

“Sekiranya kedua-dua mereka masih berdiam diri sehingga Isnin minggu depan, PKR akan menganjurkan satu lawatan menjejaki lembu ke Pusat Feedlot Kebangsaan di Gemas untuk mendedahkan perkara ini dengan lebih luas kepada rakyat,” kata mereka dalam kenyataan bersama.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails