Thursday, October 20, 2011

Penggantungan Aziz Bari: Mahasiswa demo esok

PETALING JAYA: Sekumpulan mahasiswa akan mengadakan demonstrasi esok bagi membantah tindakan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang menggantung tugas pensyarah Fakulti Undang-Undangnya Prof Dr Abdul Aziz Bari.

Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) Syukri Abdul Razab berkata demonstrasi itu akan diadakan dihadapan pintu masuk utama UIA pada pukul 9 pagi esok, selain bercadang menghantar memorandum kepada Rektor UIA Prof Datuk Dr Zaleha Kamarudin menggesa agar penggantungan itu ditarik semula.


Menyifatkan tindakan itu sebagai tidak bertanggungjawab kerana membelakangkan prinsip ‘kebebasan akademik’, UIA sebagai institusi pendidikan tinggi seharusnya mempertahankan Aziz Bari atas dasar kebebasan berpendapat.

“Sebaliknya mereka tunduk kepada tekanan dan terus menghukumnya. Keadaan ini bukan sahaja memberi kesan kepada Aziz Bari sahaja tetapi semua pengamal akademik,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau juga bimbang jika situasi ini memberi kesan kepada mahasiswa lain apabila kebebasan perkongsian ilmu disekat dengan mengenakan tindakan disiplin termasuk di bawah Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) 1971.

“Pelajar nanti akan nampak ilmu hanya untuk disimpan, tak boleh mengkritik dan beri pandangan berbeza. Kalau tak, kena hukum,” katanya.

Selain SMM, demonstrasi itu akan turut disertai kumpulan mahasiswa lain termasuk Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Gabungan Mahasiwa Islam Se-Malaysia (GAMIS), Pro-Mahasiswa (Pro-M), Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (DEMA), serta Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.

“Kami menjangkakan 500 mahasiswa hadir memberikan sokongan esok,” katanya.

Sementara itu, sehingga petang ini hampir 2,000 penguna laman sosial Facebook menyatakan sokongan terhadap Aziz Bari melalui laman “10,000 mahasiswa menyokong penuh Profesor Dr Abdul Aziz Bari”.

Aziz Bari dilaporkan menerima surat tunjuk sebab semalam berhubung kenyataannya mengenai titah Sultan Selangor minggu lalu dan digantung tugas sehingga siasatan ke atasnya selesai.

Beliau dikenakan tuduhan itu dibawah Perkara 15(1) Peraturan-peraturan Disiplin Universiti dan diberi tempoh sehingga pukul 4 petang 25 Oktober ini untuk menjawab.


Free Malaysia Today

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails