Wednesday, October 19, 2011

Nasi lauk ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom cuma RM4.00?



PERCAYAKAH ANDA?

Nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom yang dimakan Najib di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku cuma berharga RM4.00


Menu Rakyat sedap, berkualiti




NAJIB Tun Razak bersama para pelanggan yang makan tengah hari menunjukkan isyarat 1Malaysia ketika berkunjung ke premis Program Menu Rakyat 1Malaysia di Restoran Ukhwah, Lorong Medan Tuanku, Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ismail Sabri Yaakob (dua, kiri) dan Yang Dipertua Ukhwah, Datuk Rahim Baba (dua, kanan). - BERNAMA


KUALA LUMPUR 18 Okt. — Datuk Seri Najib Tun Razak memuji makanan yang dijual di restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia sambil menyifatkannya sebagai sedap dan berkualiti.

Perdana Menteri menyatakan sedemikian selepas menikmati nasi berlaukkan ayam masak merah, ayam masak kicap, daging goreng, sayur taugeh dan papadom di Restoran Ukhwah di Lorong Medan Tuanku di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengiringi Perdana Menteri, berkata, kunjungan Najib ke premis itu adalah untuk menikmati dan menilai sendiri kualiti makanan yang dijual kepada rakyat pada harga RM4 untuk makanan tengah hari dan RM2 untuk sarapan.

"Perdana Menteri datang semata-mata untuk makan. Beliau nak rasa sendiri makanan yang dimakan oleh rakyat," katanya kepada pemberita.

Ismail Sabri berkata kunjungan Najib juga membuktikan bahawa persepsi sesetengah pihak kononnya menu murah di premis atau restoran yang menyertai program anjuran kementerian itu tidak berkuliti, adalah tidak benar.

Katanya, kualiti makanan yang dijual di premis atau restoran yang menyertai Program Menu Rakyat 1Malaysia adalah sama seperti makanan yang dijual di tempat lain dan kementerian sentiasa turun padang memantau keadaan agar aspek kualiti tidak diambil mudah.

"Saya rasa Perdana Menteri sangat gembira di mana hari ini, beliau dapat merasa sendiri apa yang rakyat rasa dan makan setiap hari dan ini menunjukkan beliau prihatin dengan apa yang dimakan dan dirasa rakyat," kata Ismail Sabri.

Program Menu Rakyat 1Malaysia dilancarkan pada 7 Julai lepas bertujuan membantu meringankan beban perbelanjaan harian rakyat.

Ismail Sabri berkata, program itu menerima sambutan amat menggalakkan dengan sasaran 1,000 kedai menjelang hujung tahun ini dicapai lebih awal kerana setakat ini 1,004 restoran sudah menyertai program itu.

Daripada jumlah itu, Perak mencatatkan jumlah terbanyak iaitu 152 diikuti Selangor (137), Terengganu (123), Kedah (104), Pahang (103), Sarawak (64), Pulau Pinang (61), Johor dan Sabah (52), Kuala Lumpur (46), Kelantan (41), Negeri Sembilan (34), Melaka (18), Perlis (12), Labuan (tiga) dan Putrajaya (dua).

Menurut Ismail Sabri, bagi kemudahan orang ramai, senarai kesemua restoran yang mengambil bahagian dalam program itu akan diiklankan di akhbar esok.

Beliau berkata, kementerian berharap lebih banyak restoran menyertai program itu yang mensyaratkan semua menu harus mempunyai kombinasi diet seimbang seperti nasi, lauk, sayur dan minuman. — BERNAMA

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails