Tuesday, October 18, 2011

Mana ada tayang video seks kata Ahmad Maslan... Hanya..

Laporan Polis dah dibuat.. jadi nafikanlah di Balai Polis atau Mahkamah bukannya dalam Media..

Apa dia ingat sebagai pemimpin UMNO dengan menafikan dalam media pihak Polis tak perlu menyiasat?

Dari Malaysiakini

Ketua penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menafikan bahawa parti itu dan BN menayangkan pita video seks seorang lelaki yang menyerupai Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu taklimat kepada kakitangan awam dan pemimpin masyarakat di Perak Sabtu lalu.


Ahmad, yang juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata hari ini tiada video seks yang ditayangkan pada majlis itu.

“Mana ada tayang video seks... Hanya yang (ditayangkan) ada dalam TV1 dan TV3 yang keluar sebelum ini.

“Macam gambar-gambar yang dah masuk dalam Utusan dan lain-lain akhbar... tak kan lah bodoh sangat saya ini (untuk menayangkan video seks itu),” katanya dalam jawapan sms ringkas kepada Malaysiakini.

Majlis Penerangan Perdana anjuran kerajaan negeri Perak di dewan Jubli Perak Kuala Kangsar pada Sabtu lalu dihadiri oleh lebih daripada 2,000 kakitangan awam, pemimpin masyarakat, ahli-ahli badan-badan bukan kerajaan dan orang ramai.

Akhbar Sinar Harian hari ini (baca SINI) melaporkan bahawa Pakatan Rakyat membuat laporan polis semalam berhubung dakwaan klip video seks yang dikatakan mirip Anwar ditayangkan semasa majlis itu.

Diiketuai oleh ketua penerangan PKR Perak Zulkifly Ibrahim, Pakatan mempersoalkan tayangan klip berkenaan kerana perkara itu masih dalam siasatan oleh pihak berkuasa.

Tak bermoral

"Kami kecewa kerana video itu terdapat unsur seks dan tidak bermoral tetapi ditayangankan kepada umum.

“Tayangan ini juga menyalahi perundangan negara kerana melibatkan aspek moral keterlaluan dan menunjukkan penganjur juga tidak bertamadun,” Zulkifly dipetik Sinar Harian hari ini.

Beliau juga mendakwa majlis itu anjuran menteri persekutuan, timbalan menteri, exco kerajaan negeri dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Dalam perkembangan yang sama, timbalan pesuruhjaya PAS Perak, Misbahul Munir berkata Umno dan BN dilihat kian terdesak dengan menggunakan program rasmi kerajaan untuk menayangkan video lucah.

Sehubungan itu, beliau mahu pihak polis menyiasat dan mengambil tindakan ke atas Umno kerana menggunakan majlis dan premis kerajaan untuk menayangkan video lucah itu.

“PAS menyifatkan Umno dan pemimpinnya adalah parti yang tidak bermaruah, tidak bertamadun apabila sanggup melakukan apa sahaja demi kepentingan politik mereka,” katanya.

Bagi Misbahul, Umno sudah kehabisan modal untuk berdepan dengan Pakatan Rakyat yang lebih berwibawa.

"Rakyat perlu menolak parti dan pemimpin Umno yang tidak ada harga diri pada pilihan raya umum ke 13 nanti.

"Ini adalah satu percubaan untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dan kita mahu pihak polis untuk mengambil tindakan dan menyiasat perkara itu (kerana) Umno menggunakan acara dan premis-premis milik kerajaan untuk menunjukkan video itu,” katanya.


Malaysiakini

Followers

Archive

Related Posts with Thumbnails